Monday, May 7, 2012

Siri jelajah forum perdana

Forum perdana yang dianjurkan ini tidak berunsurkan politik tetapi mementingkan perpaduan ummah.

PERPADUAN umat Islam mutakhir ini menimbulkan kebimbangan ramai kerana berlakunya pecah-belah yang diakibatkan oleh ketaksuban rakyat yang 'menganut' parti-parti politik.

Isu yang sama turut diberi perhatian oleh Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung) yang tidak mahu 'barah' ini merebak sehingga tidak boleh dirawat, yang mana melalui kesepakatan anggotanya membawa kepada penganjuran siri jelajah Forum Perdana Hal Ehwal Islam ke semua 10 daerah di Johor.

Forum dengan tema Kesatuan, Perpaduan, Pemuafakatan dan Persaudaraan Adalah Tuntutan Fardu Ain adalah dengan kerjasama Kumpulan Johor Corporation (JCorp), mensasarkan menjayakan keseluruhan 12 siri jelajah dalam masa sebulan.

Tambahan pula, sambutan Maulidur Rasul di negeri ini disambut untuk satu jangka waktu yang panjang.

Malah rakyat Johor yang merindukan teguran dan nasihat daripada Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut, berpeluang mengikuti ceramahnya yang juga panel tetap dari awal hinggalah ke penamat forum perdana itu.

Empat siri pertama forum perdana itu telah diadakan di empat daerah secara berturut-turut bermula dengan acara sulung di tempat letak kereta Larkin Sentral, Johor Bahru pada 13 April lalu.

Hampir 20,000 penduduk Islam negeri ini hadir ke keempat-empat siri tersebut dan pasti lebih ramai lagi yang akan turut serta sepanjang ia berlangsung sehingga awal bulan depan.

Antara yang ditegaskan oleh Nooh ialag umat Islam perlu mempunyai keperkasaan seperti harimau dengan taring dan kukunya, bukan dalam keadaan lemah sehingga tidak ada yang takut malah berani mengancam kedaulatan agama suci itu.

"Namun forum perdana yang dianjurkan ini tidak sama sekali berunsurkan politik tetapi mementingkan perpaduan ummah.

"Pada masa yang sama saya menasihatkan pemimpin beragama Islam di negara ini mencontohi sahabat Rasulullah, Khalid Al-Walid dalam kebijaksanaan dan ketulusan hati seorang panglima perang tanpa merajuk atau mementingkan kepentingan sendiri," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: