KANAK-KANAK sememangnya memerlukan insan pembimbing terutama ibu bapa, kakak atau abang yang prihatin ketika membesar.
Malangnya keistimewaan itu tidak diperolehi oleh anak-anak yatim yang kehilangan orang tua mereka.
Menyedari hakikat tersebut, Garnier menjemput wanita yang penyayang dan prihatin untuk menjadi sinar cahaya kepada anak-anak yatim perempuan.
Program Sinar Cahayaku merupakan usaha Garnier untuk membuka peluang kepada wanita-wanita Malaysia membimbing anak-anak yatim perempuan dengan menjadi kakak angkat mereka dan menawarkan nasihat serta sokongan sebagai seorang sahabat dan kakak.
Melalui laman Facebook yang baru dilancarkan sempena Sinar Cahayaku itu, orang ramai boleh menjadi sebahagian daripada inisiatif tersebut hanya dengan satu klik.
Wanita yang berminat hanya perlu mendaftarkan nama dan butiran diri di laman Facebook Garnier.
Setelah butiran disahkan, mereka akan dijadikan sebahagian daripada program tersebut dan dapat meluangkan masa dengan adik angkat mereka ketika berlangsungnya aktiviti-aktiviti yang bakal dianjurkan.
Dalam pada itu pasukan Garnier bersama dengan selebriti, Heliza Helmi memulakan langkah awal dengan melawat Rumah Amal Siraman Kasih, salah satu dari rumah anak yatim yang menyertai program tersebut.
Mereka telah meluangkan masa bermesra serta bermain dan berjamu selera bersama 'adik-adik angkat' di rumah tersebut.
Kesemua anak-anak di rumah itu tersenyum lebar apabila menerima hadiah daripada kakak angkat masing-masing.
"Ternyata mereka senang didekati apabila kita bersedia menunjukkan rasa prihatin dan sokongan kepada anak-anak yatim perempuan ini.
"Mereka memang memerlukan seorang kakak angkat untuk berkongsi, menjadi pendengar dan peneman setia tatkala mereka bersedih.
"Selain daripada pelajaran dan agama, mereka memerlukan bimbingan dalam aspek-aspek lain dalam kehidupan mereka," kata Heliza.
Lawatan itu diakhiri dengan janji bahawa kakak angkat maing-masing akan kembali melawat mereka lagi.
Sementara itu Penolong Pengurus Produk Garnier, Florence Ong, percaya sokongan emosi yang diberikan oleh seorang kakak angkat dapat membawa perubahan pada masa depan anak-anak yatim berkenaan.
"Kebanyakan daripada kita lahir dengan keadaan emosi yang stabil kerana ada keluarga yang sentiasa prihatin dan menyayangi kita sepanjang zaman kanak-kanak dan remaja.
"Apabila meletakkan diri dalam situasi adik angkat saya, saya sedar betapa sukar keadaannya. Sekiranya dibiarkan berterusan, anak-anak yatim ini mungkin membesar dengan keadaan emosi yang kurang kukuh dan kurang keyakinan diri," jelas Ong.
Bagi mereka yang ingin menjadi sinar cahaya bagi anak-anak yatim perempuan boleh mendaftar sebagai seorang kakak angkat hari ini melalui laman www.facebook.com/GarnierMalaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: