|
KUNJUNGAN ke Rumah Rehat Adeline di Kampung Geruntum, Gopeng, Perak cukup signifikan lebih-lebih lagi kerana faktor lokasinya yang agak jauh ke dalam hutan.
Perjalanan dari pekan Gopeng yang sejauh tujuh kilometer sahaja dirasakan mencabar. Pengunjung perlu mendaki laluan berliku yang cuma muat dilalui oleh sebuah kereta.
Ironi, Rumah Rehat Adeline bukan untuk penginapan semata-mata bahkan turut menawarkan pakej aktiviti luar yang menarik seperti jungle trekking, redah jeram, abseiling air terjun dan meneroka Gua Tempurung.
Kedatangan kru Jurnal baru-baru ini disambut mesra oleh pemiliknya, Adeline Kuo Yoon Moy, 46.
Memulakan bicara, wanita berketurunan Cina itu berkata, reka bentuk rumah rehat itu berkonsepkan rumah Orang Asli yang beratapkan nipah selain menggunakan buluh dan kayu hutan.
Hampir 90 peratus rumah rehat itu menggunakan bahan-bahan tersebut.
Rumah penginapan itu dilengkapi kemudahan air panas dan sajian makanan. Biliknya pula dipasang kipas dinding. Namun, tutur Adeline dengan jujur, ia tidak menyediakan televisyen.
"Saya ingin pengunjung benar-benar berehat di sini. Kemudahan internet juga tiada kerana kawasan ini terletak jauh ke dalam hutan, apatah lagi isyarat telefon.
"Jadi, pengunjung dapat berehat dengan selesa dan merasai ketenangan suasana hutan di sini. Sebagai ganti, mereka boleh mengikuti pelbagai aktiviti luar yang mendebarkan," katanya yang merupakan anak jati pekan Gopeng.
Di laman rumah rehat, terdapat buai-buai rajut yang terikat pada pokok untuk pengunjung berehat santai sambil menyaksikan keindahan pohonan menghijau.
Kata wanita yang selesa berpakaian ringkas ini, lapan tahun lalu beliau hanya berniat membuka rumah rehat itu untuk memenuhi hobinya yang suka memasak.
"Daripada hobi ia menjadi satu perniagaan yang membanggakan. Bermodalkan RM5,000 sewaktu mula beroperasi, kini rumah rehat ini berkembang pesat dengan mempunyai 18 buah rumah rehat dan 10 buah vila.
"Saya juga mempunyai 33 orang pekerja yang terdiri daripada Orang Asli suku Senoi Semai," katanya yang hanya berkelulusan tingkatan tiga.
Kadar penginapan bagi rumah rehat bermula daripada RM138 termasuk makan pagi, tengah hari dan malam. Bagi vila pula ia bermula daripada RM188 seorang termasuk makanan.
Bagaimanapun, harga penginapan tersebut tidak termasuk pakej aktiviti luar memandangkan kadar bayaran dikenakan mengikut jenis aktiviti.
Berbeza
Adeline yang gemar memasak menambah, pada musim buah-buahan pengunjung berpeluang menikmati buah-buahan seperti rambutan, langsat, manggis, ciku, duku dan langsat secara percuma.
Rumah rehat ini masih dikelilingi pokok getah yang merupakan sumber ekonomi utama penduduk negeri Perak sebelum ini.
Suasana seperti di dalam hutan cukup dirasakan apabila sebatang anak sungai mengalir berhampiran rumah-rumah buluh tersebut, sekali gus mewujudkan satu bunyi yang harmoni.
Setelah penat berbicara, tiba masa untuk tidur.
Walaupun tiada katil mewah disediakan, hanya tilam nipis menjadi alas, nikmat tidur berlantaikan buluh juga cukup menyegarkan.
Aktiviti luar disediakan Rumah Rehat Adeline pasti menguji tahap adrenalin.
Pengurus aktiviti lasaknya, Jamjahuri Ahmad memberitahu, tarikan utama adalah aktiviti redah jeram di Sungai Kampar yang terletak lebih kurang lima kilometer dari rumah rehat itu.
Pengunjung pasti berdebar dibawa ke Sungai Kampar menggunakan kenderaan pacuan empat roda atau lori kecil.
Laluan sempit melalui jalan-jalan kampung di samping mengelak daun pokok kelapa dan kelapa sawit semasa perjalanan pasti akan diingati selamanya.
Mengharungi Sungai Kampar untuk aktiviti redah jeram menggunakan bot getah begitu mendebarkan kerana tetamu perlu melepasi jeram-jeram yang agak mencabar.
Menjelajah Gua Tempurung yang berusia hampir 400 juta tahun dan terbentuk daripada formasi hebat batu kapur dan marmar yang indah pula pasti meninggalkan momen manis kepada pengunjung.
Jamjahuri memberitahu, bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke gua itu tidak perlu gusar kerana kebanyakan laluan di kawasan curam dan bertebing telah dipasang tangga demi keselamatan pengunjung.
"Pengunjung pasti terpesona melihat pelbagai formasi stalagmit dan stalaktit yang terbentuk daripada larutan air batu kapur termasuk juga batu marmar yang terdapat di kawasan sungai," katanya.
Masih tidak cukup lagi?
Menuruni air terjun menggunakan tali di Kampung Ulu Geruntum yang terletak lima kilometer dari rumah rehat itu pasti memberikan sudut berbeza kepada penggemar aktiviti lasak.
Air terjun setinggi tujuh meter cukup mendebarkan.
Bagi seorang jurutera komputer yang berasal dari Mesir tetapi menetap di Australia, Asser Samak, beliau agak takut untuk memulakan aktiviti tersebut.
"Arus deras air terjun dan pergerakan menuruni air terjun dari atas puncak sungguh mendebarkan.
"Ini kerana kawasan di bawah air terjun bukan kolam sebaliknya batu sungai," katanya.
|
|
Pengunjung juga berpeluang melihat rama-rama spesies Rajah Brooke yang kini dilindungi kerana hampir pupus.
Spesies rama-rama terbesar di negara ini itu mempunyai warna yang cukup unik seperti hijau, kuning, hitam dan merah.
Malah, rama-rama itu didakwa mampu terbang dengan laju selain keistimewaannya menghisap air garam yang mengalir di tepi batu sepanjang Sungai Kampar.
Rama-rama ini juga bijak melarikan diri dengan pantas selain mampu mengesan kehadiran manusia dari jarak yang jauh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: