Wednesday, May 9, 2012

Produk mesra alam Hitachi

Masahiro Sakata (dua dari kiri) bersama Pengarah Eksekutif Hitachi Sales (Malaysia) Sdn. Bhd., Frankie Tan menunjukkan rangkaian produk mesra alam Eco Midori pada majlis pelancarannya di ibu negara, baru-baru ini.

PENGGUNAAN perkakas rumah mesra alam sememangnya menjadi pilihan masyarakat negara ini sebagai usaha menyokong usaha memelihara alam sekitar.

Sejajar dengan kemantapan dan kemajuan teknologi terkini, beberapa syarikat pengeluar perkakasan rumah tampil memperkenalkan produk terbaru sebagai tanda sokongan membentuk masa depan yang lebih baik dan gaya hidup sihat.

Baru-baru ini, pengeluar barangan elektrik terkemuka, Hitachi Sales (Malaysia) Sdn.Bhd (Hitachi) turut memperkenalkan beberapa rangkaian produk terbaru yang menepati ciri-ciri mesra alam.

Bertemakan Eco Midori, perkakas-perkakas rumah tersebut termasuk peti sejuk, mesin basuh, penyaman udara, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi, penapis udara dan pembersih vakum.

Menurut Pengarah Urusannya, Masahiro Sakata, kesemua produk tersebut direka khas dengan ciri-ciri mesra alam bermutu tinggi bagi menjamin mutu dan fungsi yang sempurna kepada pelanggan.

"Rangkaian produk terbaru daripada kami ini diharap dapat meningkatkan kualiti hidup pengguna di samping menggalakkan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.

"Dengan pelancaran rangkaian produk Eco Midori, dunia akan berhadapan dengan masa depan yang lebih baik," katanya pada pengenalan produk-produk berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara produk yang dilancarkan adalah rangkaian siri peti sejuk Big French iaitu model R-W750FPMX yang membawa reka bentuk gelombang baru dilengkapi dengan teknologi jimat tenaga serta sistem dwi pendingin kipas.

Teknologi itu bukan sahaja dapat menjimatkan tenaga malah memberi kuasa pendinginan yang lebih cekap dengan kipas berasingan untuk peti sejuk dan peti sejuk beku.

Di samping itu, Sensor Eko-Terma juga mampu mengesan pertukaran suhu dan memberi pendinginan optimum bagi menjamin kecekapan operasi sekali gus mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

Ia juga dilengkapi Sistem Penulenan Teknologi Nano sebenar yang memberikan kuasa antibakteria, antikulapuk dan kesan nyah bau.

Bagi pengguna yang mahu mencuba mesin basuh sepi dan tenang, Big Drum 510 merupakan pilihan yang baik kerana dilengkapi teknologi penyongsang pacuan untuk beroperasi secara senyap.

Dibina dengan ciri pengangkat pancuran antibakteria, BD-W80MV juga dilengkapi sensor getaran 3D, sensor muatan serta sensor revolusi yang berfungsi serentak bagi mengesan jenis fabrik sekali gus mengawal putaran drum dalam memberikan kesan basuhan terbaik.

Selaras dengan konsep Eko Midori, Hitachi sentiasa berusaha menggalakkan gaya hidup lebih sihat dengan mengguna pakai pendekatan tradisional dalam menjamin kebersihan alam sekitar.

Dengan memperkenalkan penyaman udara RAS-SX10CB yang berteknologi bersih tanpa cemar, ia turut dilengkapi sistem penulenan udara ganda tiga menggunakan keluli tahan karat anti bakteria pada saluran udara, ram pendingin udara serta pra-penapis.

Selain itu, ia juga mempunyai teknologi penapis penulenan udara Nano Titanium Wasabi untuk memberi kesan antibakteria, antikulapuk, antialahan dan nyah bau terbaik.

Lebih menarik, meskipun model itu mempunyai kapasiti pendinginan paling tinggi, RAS-SX10CB mampu memberi penjimatan tenaga sehingga 50 peratus.

Di samping itu, Hitachi turut melancarkan dua model ketuhar gelombang mikro buatan Jepun iaitu MRO-AV200E dan MRO-AV100E yang mampu mengoptimumkan proses masakan mengikut jenis makanan.

Dibina dengan ciri Sensor Berat Ganda Tiga, teknologi itu berfungsi sebagai penimbang berat makanan di samping menetapkan suhu optimum dan masa memasak.

Ia juga menawarkan mekanisme wap panas untuk membantu menyediakan sajian lebih sihat dan pengurangan kalori berbanding masakan melalui medium periuk atau kuali biasa.

Pembersih vakum Siklon Kuasa Tinggi CV-SU23V yang juga diperkenalkan dilihat mampu membantu operasi pembersihan rumah secara lebih cekap dan selesa.

Ia disempurnakan bersama ciri-ciri kawalan jauh infra merah untuk kemudahan pengguna menukar tetapan kuasa ketika melakukan proses pembersihan.

Bagi memantapkan proses pembersihan, model terbaru daripada Hitachi ini juga mempunyai penapis nyah bau Nano Titanium yang membantu menyah bau dan menghapuskan bakteria.

Kesemua produk keluaran Hitachi ini boleh didapati di rangkaian gedung elektrik utama seluruh negara bermula bulan ini.

Maklumat lanjut mengenainya, pengguna boleh layari laman web www.hitachiconsumer.com.my atau menyemak aplikasi Hitachi Malaysia menerusi iPad App Store.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: