Nenek 15 cucu dicekup khalwat
Anggota penguatkuasa menyoal siasat warga emas bersama pasangan yang dicekup dalam operasi cegah maksiat

AMPANG - Seorang nenek kepada 15 cucu ditahan bersama seorang lelaki di sebuah rumah di Taman Pandan Perdana, di sini dalam operasi cegah maksiat, awal pagi semalam.

Dalam pemeriksaan jam 1 pagi itu, wanita warga Indonesia berusia 63 tahun itu bersama teman lelakinya warga Bangladesh berusia 41 tahun ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, serbuan ke atas rumah terbabit dilakukan hasil maklumat orang ramai.

“Penguat kuasa agama mengetuk pintu bilik rumah berkenaan beberapa kali sebelum dibuka seorang lelaki yang hanya berseluar pendek beberapa minit kemudian,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, wanita yang mempunyai lima anak itu memberi alasan kononnya dia menumpang membasuh baju di rumah sewa lelaki terbabit kerana rumah cucunya mengalami masalah bekalan air.

“Kami mendapati pasangan berkenaan tidak mempunyai sebarang hubungan mahram. Difahamkan mereka saling mengenali sejak tujuh bulan lalu.

“Lelaki yang sudah berkahwin itu merupakan pekerja di sebuah restoran di ibu kota,” katanya.

Dalam operasi berasingan, sepasang kekasih dicekup di sebuah pangsapuri di sini pada jam 1.50 pagi, semalam.

Ahmad Nawi berkata, pasangan berusia 24 dan 30 tahun itu ditahan anggota penguat kuasa selepas dipercayai pasangan itu berasmara dalam bilik sewa milik lelaki berkenaan.

“Perempuan itu memberi alasan berjumpa dengan teman lelakinya untuk mengadu berhubung masalah tempat kerjanya.

“Ketika serbuan perempuan itu berpakaian lengkap, manakala pasangannya hanya berseluar pendek,” katanya.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Pandan Indah untuk membuat laporan.

Operasi itu dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.