KASIH...kemurungan tidak bermakna ibu tidak sayangkan bayinya.
KEMURUNGAN di kalangan ibu yang baru melahirkan bayi atau dikenali sebagai baby blues bukan masalah asing dan sering berlaku terutama kepada mereka yang baru pertama kali mendapat zuriat.
Masalah berkenaan berlaku apabila ibu berasa sedikit rapuh daripada segi emosi sebaik melahirkan anak dan ia sesuatu yang normal.
Mengikut kajian, 80 peratus daripada ibu yang baru melahirkan bayi akan mengalami kemurungan ini iaitu reaksi emosi yang bermula beberapa hari selepas kelahiran dan selalunya tidak berpanjangan lebih dua minggu.
Antara simptom kemurungan di kalangan wanita adalah bersedih, hilang minat atau kesukaan pada perkara yang selalunya digemari, berasa bersalah, hilang harapan dan rasa tidak berharga, manakala ada sebahagian yang lebih ekstrem memikirkan mengenai kematian.Simptom lain yang menunjukkan seseorang itu kemungkinan mengalami kemurungan lepas bersalin adalah gangguan tidur iaitu sama ada lebih banyak tidur atau kurang tidur, perubahan selera dan berat badan, sukar memberi tumpuan dan tidak bertenaga.Ada ibu yang mudah tersentuh, menangis, susah hati dan cepat tersinggung walaupun pada perkara yang kecil dan tidak memberi makna.
Sokongan pasangan dan keluarga dengan membantu menguruskan bayi dan memberi ruang kepada ibu untuk mendapatkan lebih banyak rehat, boleh membantu ibu melalui fasa berkenaan dengan baik.
Namun sekiranya rasa sedih dan kemurungan itu berlanjutan lebih daripada dua minggu, wanita berkenaan perlu bertemu dengan doktor supaya simptom berkenaan boleh dikenal pasti seterusnya merujuk wanita yang mengalami masalah kemurungan kepada kaunselor sekiranya perlu.
Kemurungan boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian dan kira-kira 10 hingga 15 peratus ibu baru mengalami kemurungan klinikal, kerisauan melampau atau gangguan obsesif-kompulsif (OCD).
Kemurungan boleh bermula dalam tempoh dua bulan pertama selepas melahirkan bayi dan segelintir wanita yang mengalami masalah itu tidak mampu menjaga bayi dengan baik malah ada kemungkinan boleh membahayakan bayi mereka.
Jika wanita mengalami rasa bimbang atau panik yang berulang-ulang, dia mungkin mengalami gangguan kerisauan selepas melahirkan.
Simptom kerisauan itu selalunya muncul dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas melahirkan tetapi ia hanya tiba ke kemuncak beberapa minggu selepas itu.
Antara simptomnya adalah kerisauan ekstrem, tidak tenteram, nafas menjadi pendek, sakit dada, ketidakselesaan, rasa tercekik, pening, rasa cucukan di kaki dan tangan, menggigil, berpeluh, pitam, rasa panas dan sejuk serta kebimbangan akan mati, hilang akal atau hilang kawalan.
Sesetengah wanita yang mengalami kerisauan selepas bersalin, mempunyai kebimbangan yang berulang mengenai bahaya yang akan menimpa anak-anak mereka, orang yang disayangi atau diri sendiri.
Wanita yang mengalami OCD selepas bersalin pula sentiasa mengalami pemikiran atau imej mengenai perkara yang mengganggu atau kejam.
Pemikiran itu datang secara spontan dan selalunya ibu memikirkan perkara yang tidak masuk akal seperti mencederakan bayi mereka sendiri.
Mereka yang mengalami OCD juga sentiasa melihat bahaya di mana-mana saja sehingga mencuci tangan mereka berkali-kali serta berulang kali memeriksa pintu sama ada ia sudah dikunci.
Ada juga yang mencipta ritual sendiri yang dijalankan berulang kali dalam usaha membuang pemikiran buruk yang sentiasa bermain dalam fikiran mereka.
Mereka mungkin dengan sengaja mengelak memasuki dapur, memegang pisau, enggan menjaga atau memandikan bayi kerana khuatir akan mencederakan bayi mereka.
Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Premitha Damodaran, antara faktor yang menyumbang kepada kemurungan di kalangan ibu yang baru melahirkan bayi adalah kadar hormon estrogen yang menurun sebaik proses kelahiran berlaku.
Katanya, ia juga boleh berlaku di kalangan ibu yang menyusukan bayi mereka kerana faktor hormon estrogen yang berkurangan berbanding ketika mengandung.
“Semua ibu yang baru melahirkan boleh mendapat baby blues tapi sama ada ia boleh membawa kepada masalah kemurungan, ia bergantung kepada kekuatan dalaman diri serta bagaimana seseorang wanita itu menanganinya.
“Ibu perlu bertenang, tidur yang cukup dan pastikan susu badan sentiasa ada supaya bekalan tidak berkurangan hingga boleh mengakibatkan susah hati.
“Sekiranya ibu rasa tidak mampu menghadapi perubahan selepas melahirkan, dia boleh mendapat kemurungan,” katanya.
Tiada faktor khas yang menyumbang kepada masalah murung selepas bersalin tetapi gabungan hormon, biokimia, persekitaran psikologi dan genetik memainkan faktor dalam masalah berkenaan.
Wanita yang mula mengalami rasa susah hati melampau ketika mengandung terutama pada trimester ketiga, mempunyai sejarah kemurungan, sejarah ada ahli keluarga yang mengalaminya, masalah rumah tangga, masalah kewangan, kehilangan kerja, tekanan untuk menjaga bayi, keyakinan diri yang rendah dan kurang sokongan sosial mempunyai risiko untuk mengalami kemurungan selepas bersalin.
Selain itu, kemurungan selepas bersalin juga kemungkinan boleh berlaku pada wanita yang melahirkan bayi yang tidak dirancang, tidak berkahwin dan tergolong dalam status ekonomi yang rendah.
Selain mendapatkan nasihat pakar, wanita yang mengalami kemurungan boleh membantu diri sendiri dengan meminta sokongan daripada pasangan, rakan dan keluarga untuk membantu menguruskan bayi dan melakukan kerja lain.
Mereka juga boleh mendapatkan rehat secukupnya dan makan dengan teratur selain berhenti berfikir serta melabel diri sendiri sebagai ibu yang tidak cukup bagus kepada bayi.
Antara cara lain untuk mengatasi rasa murung selepas bersalin adalah tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi pada diri sendiri selain perlu berkongsi perasaan dengan seseorang yang dipercayai.
Hubungi rakan yang bersedia mendengar masalah atau menyertai kumpulan sokongan ibu sama ada secara fizikal atau melalui Internet untuk mendapatkan sokongan emosi sebanyak yang mungkin.
Selain itu, ibu baru bersalin juga boleh mengurangkan kemurungan dengan mengambil pendekatan menjaga diri sendiri, tidur secukupnya, berehat dan mandi air suam, keluar membeli-belah, berpakaian cantik serta bersolek sekiranya perkara itu biasanya menggembirakan hati.
Ibu juga boleh mengurangkan kemurungan dengan keluar berjalan membawa bayi mereka dan bertemu rakan serta menghabiskan masa lapang dengan aktiviti santai.
Wanita yang mengalami simptom murung juga boleh mengatasinya dengan mengambil pendekatan tidak terlalu tergesa-gesa untuk melakukan sesuatu perkara contohnya mencuci baju ketika bayi tidur, sebaliknya mereka boleh mengambil masa itu untuk berehat.
Tugas lain boleh diselesaikan dengan meminta bantuan pasangan atau keluarga untuk melakukannya supaya wanita itu tidak perlu sentiasa terkejar-kejar untuk menyiapkan semuanya sehingga menimbulkan rasa susah hati.
Simptom kemurungan selepas melahirkan anak:
Golongan berisiko:
Cara tangani:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: