Wednesday, May 2, 2012

Murdoch tak layak urus syarikat


ANGGOTA-ANGGOTA Jawatankuasa Budaya, Media dan Sukan Parlimen Britain mendedahkan laporan berhubung penggodaman telefon di Dewan Portcullis, London semalam.


LONDON - Bilionair terkenal, Rupert Murdoch (gambar kecil) sengaja memejamkan mata berhubung perbuatan curi dengar perbualan telefon oleh tabloid miliknya, News of the World sekali gus tidak layak menguruskan sebuah syarikat antarabangsa, kata satu jawatankuasa Parlimen Britain dalam laporan berhubung skandal berkenaan semalam.

Jawatankuasa tersebut memberitahu, tabloid tempatan milik taikun media berkenaan, News International telah memperdayakan parlimen Britain.

Menurut jawatankuasa itu, Murdoch, 81, dan anak lelakinya yang berusia 39 tahun, James Murdoch perlu bertanggungjawab berhubung skandal menggodam perbualan telefon oleh News of the World.

"Rupert Murdoch tidak layak menerajui sebuah syarikat antarabangsa utama," kata Jawatankuasa Budaya, Media dan Sukan Parlimen Britain dalam laporannya.

"Ekoran kegagalan untuk menyiasat dengan betul dan tidak mempedulikan bukti tentang salah laku yang berleluasa, News International dan induknya, News Corporation bersikap memejamkan mata dengan pengarah syarikat berkenaan, Rupert Murdoch dan James Murdoch perlu memikul tanggungjawab ke atas skandal yang berlaku," tambah kenyataan sama.

Jawatankuasa Parlimen tersebut meluluskan laporan itu dengan enam menyokong manakala empat lagi anggota menentangnya.

Laporan setebal 121 muka surat itu turut menyebut tiga bekas pembantu Murdoch iaitu bekas pengerusi eksekutif News International, Les Hinton, Editor News of the World, Colin Myler dan pengurus undang-undang Tom Crone sebagai sengaja cuba memperdayakan Parlimen Britain.

Murdoch menutup News of the World pada Julai 2011 selepas skandal mencuri dengar perbualan telefon tersebut terbongkar susulan pendedahan bahawa tabloid itu telah mencuri dengar perakam suara seorang pelajar perempuan yang mati dibunuh.

Rupert dan James pernah memberi keterangan kepada jawatankuasa berkenaan pada 19 Julai tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: