Sunday, May 6, 2012

Mengabadikan khazanah samudera

KOMBINASI...(dari kanan) Alie Aaron, Mazlan, Zulkarnain, Ariffin, Halimi, Muzie dan Shahroul mengabadikan kenangan selepas menyelam.
KOMBINASI...(dari kanan) Alie Aaron, Mazlan, Zulkarnain, Ariffin, Halimi, Muzie dan Shahroul mengabadikan kenangan selepas menyelam.

SEMACAM satu trend di era alaf baru, generasi Y gemar mengendong kamera. Apa saja mahu dipotretkan lalu dimuat naik ke laman sosial.

Jika dulu kamera objek berharga yang tidak semua berkemampuan membelinya, tetapi kini ia menjadi barangan keperluan untuk setiap orang, majoritinya remaja, memilikinya.

  • Foto

    TELITI...rakaman dasar laut perlu berhati-hati bagi mengelak sebarang kerosakan.

  • Foto

    SENI...teknik mengampung penting untuk jurugambar merakan sudut terbaik ‘angelfish’.

  • Foto

    KAGUM...terumbu karang beraneka warna dan pelbagai spesies ikan menjadikan Pulau Tenggol antara taman laut pilihan penyelam.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Namun, satu hal yang sukar kita menidakkan ialah, kamera di darat dan kamera di dalam air ada jurang perbezaan.

Di darat, sesiapa saja boleh menjadi jurugambar ‘mi segera’ tetapi di dalam air, bukan semberono jurugambar kerana mereka tergolong dalam kelompok profesional yang mempertaruhkan kreativiti seni fotografi tersendiri, selain memiliki kemahiran menyelam (scuba diving) bagi mengabadikan apa saja di dasar laut.


Cabaran dasar laut sememang-nya ada, berdepan beraneka warna terumbu karang, pelbagai spesies ikan serta hidupan laut lain yang menuntut setiap jurugambar itu lebih berhati-hati supaya tidak mencemari persekitaran dan habitat semula jadi di dasarnya.


Bagi menyingkap gambaran sebenar pahit getir di sebalik kerjaya jurugambar laut, Metro Ahad diundang Virtour 360 Sdn Bhd untuk membuat liputan penggambaran dasar laut di Pulau Tenggol, Terengganu, baru-baru ini.

Pihak Virtour 360 adalah syarikat yang dilantik Pelancongan Malaysia untuk melaksanakan penggambaran di dasar laut di rangkaian pulau di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.

Menarik mengenai ekspedisi ini, jurugambar profesional dasar laut daripada Scuba Ocean Elements dan DKM2 Sdn Bhd sememangnya pakar menyelam, sebaliknya Ketua Pegawai Eksekutif Virtour 360, Zulkarnain Hashim, Jurufoto Bahagian Sokongan Pemasaran Pelancongan Malaysia; Mohd Fairul Mohd Aris dan jurufoto Metro Ahad, Roslin Mat Tahir bukan calang orang turut mempamerkan kemahiran menyelam, sekali gus mengambil fotografi di dasar laut.

Ekspedisi penggambaran dasar laut Pulau Tenggol turut disertai Pengurus Ocean Elements, Mudzirah (Muzie), penyanyi Shahroul dan Timbalan Presiden Virtour 360.

Datuk Mazlan Sabli. Kerjasama turut diberi pihak Discovery Arcade Sdn Bhd yang menyediakan jurupandu scuba berdarah kacukan Iran-Malaysia, Alie Aaron Ooi.
Bagi Halimi, pembabitannya dalam fotografi dasar laut awalnya bermula dengan hobinya yang gemar menyelam sejak 18 tahun lalu.

Bermula hobi sekadar mengisi masa santai menimbulkan keseronokan bekas Pengurus Jaminan Kualiti Tenaga Nasional (TNB) ini lalu beralih ke bidang baru iaitu menjadi jurugambar dasar laut.

“Saya hanya mempunyai pe-ngalaman jurugambar biasa hasil pelbagai kursus yang saya sertai. Untuk fotografi dasar laut, saya belajar melalui forum sosial di Internet. Kami bertukar-tukar maklumat untuk menambah pengetahuan.

“Melihat bidang ini mempunyai prospek, saya mengambil keputusan berhenti kerja di TNB pada 2010 selepas berkhidmat 15 tahun. Anak tempatan yang menceburi bidang ini boleh dibilang kerana lazimnya orang luar menjadikan bidang ini secara profesional,” katanya.

Untuk penggambaran tempoh hari, Halimi menggunakan kamera Sony Nex-7 berharga RM18,000. Bagi Halimi, kurangnya anak tempatan menceburi bidang fotografi laut menjadi antara penyebab sebelum ini jurugambar dari luar diberi kepercayaan untuk merakam keindahan pelbagai pulau cantik di tanah air.

“Antara cabaran menjadi jurugambar laut dalam ialah, selain kena pandai mengawal pernafasan dan tahu teknik pengapungan, kita kena tahu subjek yang hendak diambil.

“Umpamanya jika nak ambil gambar terumbu karang tertentu, kita harus tahu lokasi mana sesuai untuk menyelam supaya tidak membuang masa dan tenaga,” katanya.

Minat fotografi bagi Pengarah Fotografi Arniati Resources & DKM2 Sdn Bhd, Khairul Ariffin Mohd Aris, berputik sejak berusia 10 tahun atas dorongan ayahnya, Mohd Aris Ahmad.

Jika sebelum ini, Ariffin hanya bergerak secara sambilan ketika bertugas di Langkah Teknologi Sdn Bhd, kini lebih profesional untuk tujuan komersial.

Bekas siswazah Western Michigan University, Amerika Syarikat ini berkata, kecenderungan generasi baru menceburi fotografi dasar laut ini kian meningkat sejak 2004, apatah lagi pelbagai pihak, terutama Pelancongan Malaysia dan Coral Malaysia, mengadakan pertandingan fotografi dasar laut dengan menjanjikan hadiah lumayan.

“Jika lapan tahun lalu, anak tempatan menjadi jurugambar dasar laut boleh dikira dengan jari, tetapi sekarang ini ada lebih 100 orang.

“Cuma bidang ini lebih menarik jurugambar Cina berbanding Melayu dan India. Bagi saya, jika ada yang mengagungkan jurugambar asing, hakikatnya kami sama saja yang membezakan kreativiti dan peluang.

“Setakat ini saya belum memenangi anugerah fotografi dasar laut. Maklum saja, saya melaksanakan tugas untuk Coral Malaysia, mana mungkin saya menyertai pertandingan anjuran pihak sendiri. Saya yakin pertandingan sebegini boleh merangsang minat generasi baru menceburi bidang ini,” katanya.

Sementara itu, Zulkarnain ber-kata, pembabitannya dalam scuba sejak lima tahun lalu ternyata berbaloi apabila syarikatnya diberi tanggungjawab oleh Pelancongan Malaysia untuk penggambaran dasar laut di pelbagai pulau
di tanah air.

Cabaran di Pulau Tenggol jelas kerana selain mengambil gambar still, buat kali pertama pihak mereka menggunakan teknik kamera 2 D dan 3 D bagi menampakkan keindahan dasar laut dengan lebih interaktif.

“Jika mengambil gambar siput kecil, kami guna mikro lens.

Paparan teknik 3 D tidak dapat dielak kerana ia aliran masa kini. Sekalipun berdepan banyak cabaran, umpamanya laut bergelora dan keadaan penyelam menjadi tidak stabil, hasil yang kami lihat dengan teknik 3 D di dasar laut ini sungguh menakjubkan,” katanya.


PROFIL

Nama: Zulkarnain Hashim
Tarikh Lahir: 24 Oktober 1977
Asal: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Keluarga: Bongsu daripada empat beradik
Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif Virtour 360 Sdn. Bhd

Nama: Mohd Halimi Abdullah
Tarikh Lahir: 15 Februari 1971
Asal: Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Keluarga: Bongsu daripada tiga beradik
Jawatan: Pengarah dan Jurulatih Scuba Ocean Elements Sdn Bhd

Nama: Ariffin Aris
Tarikh Lahir: 5 Julai 1978
Asal: Taman Keramat, Kuala Lumpur
Keluarga: Sulung daripada 6 beradik
Jawatan: Pengarah Fotografi Arniati Resources & DKM2 Sdn Bhd

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: