Monday, May 28, 2012

Mencari cinta di Shanxi

PADA Mac tahun lalu, krew NS Star terdiri daripada saya, pengurus lokasi, Prof. Dr. Ros Aman, penulis skrip, Farhana Fauri dan pembantu peribadi, Norhaslinda Ismail bertolak menaiki China Eastern Airline dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing.

Dari Beijing, kami menaiki kereta api laju selama tiga jam setengah ke bandar Tai Yuan, Shanxi. Sepanjang perjalanan, kami dihidangkan dengan pemandangan bukit-bukau dan gunung-ganang yang begitu mendamaikan namun sedikit terganggu menyaksikan air sungai membeku dan tanaman kering dalam cuaca musim sejuk.

Pada waktu siang, suhunya adalah 10 darjah Celsius (C) manakala sebelah malam mencecah ke negatif 1 darjah C kerana Shanxi terletak di kawasan pergunungan.

Alhamdulillah pada masa itu, saya sedang mengandungkan Nur Nashrullah, usia kandungan tujuh bulan - badan yang besar dan mudah panas menguatkan ketahanan sejuk di sana (saya terpaksa mendapatkan surat doktor kerana perut agak besar sebagai persediaan di pintu imigresen lapangan terbang.)

Setibanya di Taiyuan, bandaraya Shanxi, kami mendapatkan teksi untuk ke hotel penginapan di Sinotel dan bermulalah kerja tinjauan kami.

Van sewa telah tersedia dan wakil kami di sana, Shenli merangkap kawan saya, membawa kami ke lokasi pertama iaitu kawasan perkampungan di puncak Gunung Shanxi.

Perjalanan satu jam ke puncak gunung agak menggerunkan kerana jalan yang tidak bertar, tanpa pembahagi jalan dan berais.

Demi tekad mendapatkan lokasi yang cantik, kami meneruskan misi. Pemandangan sangat menakjubkan ditambah pula dengan ais yang terdapat di celah-celah gunung.

Perkampungan Shanxi sangat unik kerana rumahnya dibina di dalam gunung itu sendiri.

Membuatkan kami lebih teruja - peti ais mereka adalah sebuah gua terowong sedalam 300 meter yang dibentuk di dalam gunung di mana kentang, epal dan pir boleh tahan selama enam bulan sehingga setahun di dalamnya.

Di sinilah lokasi watak Safiah akan duduk merana menanti kehadiran suaminya yang kunjung tiba dalam drama Cinta Shanxi.

Kerjasama baik daripada tuan rumah meyakinkan kami agar menjadikan kediamannya sebagai lokasi utama drama bersiri ini.

Keesokan harinya, kami meninjau lokasi utama lain iaitu Kolej Akupunktur, Hospital Buasir dan bandaraya Taiyuan, Shanxi.

Alhamdulillah kerja kami menjadi mudah kerana Shenli ialah pemilik kolej manakala suaminya pemilik Hospital Buasir.

Selesai tinjauan di hospital dan kolej, kami ke satu lagi lokasi penting iaitu masjid tertua di Shanxi. Ini adalah lokasi di mana Safiah memeluk agama Islam dan majlis pernikahan Safiah dan Zarul diadakan.

Imam masjid tersebut sangat menyukai rakyat Malaysia dan kagum dengan negara kita.

Awal pagi esoknya kami mendaftar keluar dari Hotel Sinotel, Taiyuan dan bertolak ke stesen kereta api untuk ke daerah Datong, Shanxi.

Perjalanan mengambil masa selama lapan jam. Kereta api mempunyai katil dan kami menghabiskan masa sambil makan mi segera dan serunding sebagai alas perut.

Menariknya di Datong terdapat kuil tergantung yang begitu ajaib. Saya tidak melepaskan peluang menyaksikannya.

Selain itu di Yunggang Grottoes terdapat 50,000 ukiran patung Buddha di atas batu gua yang berusia lebih 1,000 tahun.

Cuaca lebih sejuk di Datong kerana lokasinya terletak di puncak gunung.

Sepanjang perjalanan, saya merakamkan video sebagai montaj untuk drama Cinta Shanxi.

Esoknya kami bertolak ke Beijing untuk penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

Di Beijing, kami mengambil peluang untuk bersiar-siar dan membeli belah.

Terima kasih atas bantuan dan kerjasama semua pihak yang menjayakan drama Cinta Shanxi.

Tidak lupa kepada Mama, Habibah Jaffar dan warga keluarga NS Star yang sentiasa di belakang saya.

Drama bersiri percintaan dua benua Cinta Shanxi sedang ditayangkan setiap Rabu pukul 9 malam di RTM1.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: