MENCABAR...tembok mendaki di TSLSA, Seksyen 13, Shah Alam.
SHAH ALAM: Kewujudan Taman Sukan Lasak Shah Alam (TSLSA) di Seksyen 13, di sini, sejak lima tahun lalu bukan saja mencapai matlamatnya untuk menjadi medan kepada peminat sukan lasak menjalankan aktiviti mereka, tetapi secara tidak langsung ia turut menyuburkan perkembangan sukan itu di Selangor.
TSLSA yang dibuka pada 2007 hasil kerjasama Hikers Climber Adventure Team, Worldwide Holdings dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyediakan pelbagai aktiviti sukan lasak termasuk permainan papan selaju, memanjat dinding, litar permainan basikal BMX dan go-kart.
Pengurus Hikers Climber Adventure Team, Ahmad Nazri Ismail berkata, pihaknya dengan kerjasama Worldwide Holdings dan MBSA terpanggil untuk membuka TSLSA selepas menyedari warga kota memerlukan kelainan untuk bersukan.
“Sebelum membuka TSLSA, saya pernah membuka permainan memanjat dinding di Kompleks Muhibbah berdekatan Uptown Shah Alam,” katanya ketika ditemui di TSLSA, baru-baru ini.
Ahmad Nazri berkata, tujuan pembukaan TSLSA ialah menggalakkan masyarakat khususnya generasi muda di Shah Alam menikmati keseronokan bermain sukan lasak.
Selain itu, katanya, penubuhan TSLSA selari dengan hasrat untuk memupuk remaja menceburi bidang sukan baru, sekali gus menjauhkan mereka daripada membuang masa melakukan perkara tidak berfaedah.
Di TSLSA, terdapat pelbagai permainan sukan lasak seperti permainan papan luncur, memanjat dinding, litar basikal BMX dan medan permainan kasut roda.
“Kami menyediakan pakej menarik kepada orang ramai untuk mencuba permainan lasak seperti memanjat dinding dan sambutan amat menggalakkan.
“Pada hujung minggu, anggaran pengunjung yang datang ke taman lasak itu 500 hingga 600 orang dan dalam tempoh sebulan menunjukkan lebih 2,000 pengunjung dan meningkat apabila musim cuti sekolah,” katanya.
Menurutnya, permainan papan selaju yang mencabar dan menguji kemahiran adalah permainan popular di TSLSA.
“Ramai remaja bermain papan luncur di sini kerana kemudahan dibina menyajikan bentuk cabaran hebat,” katanya.
Ditanya perancangan masa depan, katanya, pihak TSLSA akan memperkenalkan permainan paintball yang kini amat digemari.
Menurutnya, pihak TSLSA bercadang membuka lapangan permainan paintball dalam masa terdekat kepada pengunjung dengan harga berpatutan.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Pemasaran City Karting Event Management, Muhammad Redhzuan berkata, permainan lumba go-kart di Shah Alam juga mendapat sambutan menggalakkan.
“Litar go-kart Shah Alam yang dibuka sejak 17 tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutama peminat sukan ekstrem permotoran.
“Mereka mengambil masa hujung minggu untuk melepaskan penat lelah dengan bermain go-kart. Selain itu, ada juga kanak-kanak bermain go-kart.
“Kanak-kanak juga boleh bermain go-kart asalkan mereka mendapat izin dan pemantauan daripada keluarga selain pemantauan daripada kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: