Thursday, May 10, 2012

Malbatt 4 bantu isi tabung darah

Anggota Malbatt 4 menyerahkan paket darah yang didermakan kepada kakitangan Hospital Tibnin sebagai simbolik bagi membantu mengisi tabung darah hospital tersebut.

KEHADIRAN Batalion Malaysia 4 (Malbatt 4) di bumi Lubnan bukan sekadar untuk menjayakan misi pengaman di bawah pasukan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) turut membawa nama negara di peringkat antarabangsa.

Malah kehadiran mereka di negara itu semakin penting dengan penambahan bilangan anggota terlibat dan keluasan kawasan tanggungjawab yang semakin besar.

Penambahan anggota dan kawasan tanggungjawab itu menandakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semakin meyakini peranan Malaysia.

Keyakinan itu berdasarkan kepada cara bekerja para pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sentiasa mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi.

Mereka juga ternyata berupaya memenangi hati dan minda masyarakat tempatan di selatan Lubnan sekali gus memudahkan penugasan semua kontinjen dan batalion negara.

Cabaran utama Malbatt 4 bukan sekadar menjalankan misi pengaman, tetapi juga perlu memastikan penduduk tempatan menerima baik kehadiran pasukan Unifil selain menjaga imej Malaysia.

Sebab itu, apa juga aktiviti yang membabitkan Malbatt 4, ia akan turut membawa nama Malaysia terutama di kalangan penduduk tempatan.

Oleh itu, sejak menjalankan misi di negara bergolak itu mulai Oktober tahun lalu, Malbatt 4 bukan sahaja memberi tumpuan kepada tanggungjawab utama mereka iaitu misi ketenteraan bagi mengekalkan keamanan, tetapi turut melakukan pelbagai aktiviti yang bersifat tanggungjawab sosial.

Aktiviti-aktiviti yang membabitkan orang awam itu bersifat serampang dua mata, iaitu supaya mereka menerima baik kehadiran pasukan Unifil selain menjaga nama baik Malaysia.

Baru-baru ini Malbatt 4 di Lubnan sekali lagi menunjukkan keprihatinan dan tanggungjawab mereka kepada penduduk tempatan di Tibnin melalui penganjuran acara derma darah di kalangan anggotanya untuk diagihkan kepada Hospital Tibnin.

Sebanyak 100 anggota Malbatt 4 telah menyertai usaha murni itu bagi membantu mengisi tabung darah hospital tersebut.

Malah, Malbatt 4 menjadi pasukan pertama yang berkhdimat di bawah Unifil yang mengadakan acara seperti itu.

Sikap yang ditunjukkan oleh anggota Malbatt 4 itu sangat dihargai masyarakat tempatan dan mereka berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan oleh para anggota kontinjen Malaysia itu.

Penduduk tempatan turut memuji barisan kepimpinan pasukan Malbatt 4 kerana acara derma darah itu diketuai sendiri oleh Timbalan Komander Malbatt 4, Lt. Kol. E.D. Mustafa Bakar yang menjadi orang pertama menderma darah dalam acara tersebut.

Pengarah Hospital Tibnin, Dr. Mohamed Ali Hammadi amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Malbbatt 4 kerana menyumbang darah untuk kegunaan hospital tersebut.

Ini kerana katanya, hospital di negara itu sering berhadapan dengan kesukaran mendapatkan bekalan darah daripada penduduk tempatan.

"Ini adalah merupakan kali pertama kita mendapat sumbangan darah daripada pasukan Unifil di mana ia telah berjaya mengatasi semua masalah kekurangan darah yang dihadapi oleh Hospital Tibnin," kata Dr. Mohamed Ali.

Sementara E.D. Mustafa menjelaskan, program derma darah itu merupakan satu lagi strategi khidmat masyarakat Malbatt 4 yang dikenali sebagai Cimic untuk menarik hati penduduk tempatan menerima kehadiran pasukan Unifil.

"Aktiviti sebegini telah membuktikan kepada masyarakat tempatan bahawa kehadiran pasukan Unifil bukan sahaja menjaga keamanan tetapi turut melaksanakan pengorbanan untuk membantu orang awam yang memerlukan darah untuk rawatan pembedahan.

"Ia memberi kesan yang besar kepada masyarakat tempatan kerana sumbangan murni secara peribadi daripada setiap individu amat dihargai oleh mereka berbanding dengan sumbangan barangan yang selalu dilaksanakan oleh setiap kontinjen," katanya.

Sehubungan itu, beliau juga mengharapkan aktiviti seperti itu diteruskan bagi pasukan misi yang akan datang kerana sumbangan yang diberikan amat tinggi nilainya kepada masyarakat tempatan.

Aktiviti seperti itu juga katanya, telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di bumi Lubnan berbanding dengan pasukan Unifil lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: