Thursday, May 3, 2012

Kembalikan populariti masakan Filipina


TAYAG merupakan individu yang cuba memikul tanggungjawab mengangkat kembali populariti makanan tradisional Filipina.


CLAUDE TAYAG melihat dirinya sebagai mubaligh makanan apabila cuba untuk mengubah selera masyarakat seluruh dunia kepada keenakan hidangan Filipina.

Negara yang terletak di rantau Asia Tenggara itu sudah lama dihimpit reputasi miskin berbanding rantau-rantau kejiranannya.

Di seluruh dunia, restoran kari dari India bersaing dengan restoran mi sup Vietnam atau dim sum China yang menawarkan hidangan Asia, tetapi hanya sedikit tempat menawarkan hidangan Filipina.

Di Filipina sendiri, penduduk tempatan tanpa ragu-ragu lebih gemarkan makanan yang mudah dan murah, seperti ayam goreng dan burger yang pernah diperkenalkan bekas penjajah mereka iaitu Amerika Syarikat (AS).

Sambil berdiri di dapurnya dekat sebuah periuk besar berisi tulang sumsum babi yang dimasak dengan campuran adobo iaitu cuka, sos soya dan bawang putih, Tayag yakin bahawa makanan Filipina mampu menyerlah seperti masakan negara Asia lain.

"Ia adalah salah faham masakan. Pertama, hidangan Filipina adalah pelbagai.

"Anda tidak dapat menjelaskannya dalam satu ayat. Anda memerlukan sehari suntuk, sebulan untuk berbicara mengenainya," katanya sambil mengacau masakan babi yang disediakan untuk berdozen tetamu yang berkumpul di rumahnya.

Tayaq, seorang artis, penulis dan chef telah mengubah rumah desanya di utara Manila kepada sebuah restoran tidak formal. Pada hari itu, tetamu jemputannya dapat menikmati 10 jenis hidangan yang membawa mereka menikmati kulinari kepulauan.

Sesi makan tengah hari itu berlangsung selama tiga jam dengan sajian gastronomi hari itu dimulakan dengan beras yang ditapai, lemak ketam dan pesto yang dibuat menggunakan kacang pili asli.

Ia berakhir dengan hidangan panna cotta Itali versi Filipina yang dibuat menggunakan susu kerbau. Susu kerbau mempunyai lebih kandungan lemak berbanding susu lembu. Antara hidangan berkenaan ialah ayam panggang yang disajikan selepas diperap dengan serai dan limau kasturi.


MENU masakan laut kare-kare yang menggabungkan sotong, udang harimau dan kupang.


Sepanjang waktu tengah hari itu tetamu yang hadir juga dapat menikmati teh ais yang dibuat menggunakan jus limau kasturi, halia, serai dan madu.

Kemuncak hidangan untuk tetamu adalah apabila mereka berkumpul di sekeliling Tayag untuk mengambil gambar ketika dia sedang menyediakan hidangan yang dipanggil sisig.

Tempahan seringkali perlu dibuat beberapa minggu awal di restoran berkenaan yang diusahakan oleh Tayag bersama isterinya, Mary Ann.

Mary bertindak sebagai pengacara yang akan menjelaskan lebih lanjut mengenai hidangan-hidangan yang disediakan.

Tayag, 55, memberitahu, populariti restorannya adalah bukti kepada pembangunan budaya yang kecil, tetapi berkembang di Filipina.

"Di setiap wilayah utama, terdapat manusia seperti kita yang bekerja untuk memelihara dan mengembangkan hidangan tradisional ini.

"Boleh dikatakan terdapat penemuan semula hidangan Filipina. Ia sedang berkembang perlahan-lahan ke arah kemunculan restoran Filipina berkelas di Manila. Rancangan masakan pengembaraan TV kabel dan blogger makanan juga mula memberi perhatian kepada sajian tradisi Filipina," katanya.

Kebangkitan kuisin Filipina

Hakikatnya, 15 tahun lalu, restoran-restoran yang menyediakan hidangan tradisi Filipina amat jarang ditemui di Manila, tetapi diusahakan di lokasi yang tersorok seperti di rumah Tayag dekat Bandar Angeles.

Kini, dengan kepantasan pembangunan kelas pertengahan, restoran Filipina mula tumbuh di lebih banyak bandar-bandar besar.

Bagaimanapun, Tayag mengakui bahawa makanan segera gaya AS masih kekal sebagai pilihan popular oleh kebanyakan penduduk Filipina ketika keluar rumah, terutamanya penduduk miskin yang gemarkan makanan murah.

"Kita perlu mencipta kesedaran. Kita sedang kehilangan gaya hidup tradisi dengan serangan makanan-makanan segera ini," katanya.


PENGUNJUNG restoran Tayag boleh melihat demonstrasi masakan sebelum menikmati sajian kulinari tradisional di restoran itu.


Tayag pernah menulis atau menjadi penulis bersama dalam tiga buah buku yang mempromosikan masakan Filipina. Dia pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila bergandingan dengan chef selebriti AS, Anthony Bourdain untuk rancangan televisyen, No Reservation.

Bourdain benar-benar bersemangat melihat hidangan yang disediakan Tayag, malah dia turut mengunjungi tengah bandar Filipina dan merasai sendiri hidangan kegemaran negara berkenaan, daging babi panggang.

Terpesona dengan rasa kulit yang rangup dan daging berjus, Bourdain meletakkan hidangan yang dikenali sebagai lechon itu sebagai terbaik pernah dirasainya, dengan kedudukan di hadapan selepas versi lain yang ditemuinya di Bali, Indonesia.

Bagi Tayag, pengiktirafan sedemikian merupakan bukti bahawa Filipina mampu disenaraikan bersama Thailand dan Malaysia sebagai destinasi makanan popular di Asia Tenggara.

Ketika ditanya untuk menggambarkan hidangan Filipina, Tayag memberitahu ia tidak semestinya perlu terlalu hebat, memiliki rasa yang kuat seperti masakan India dan Thai yang pedas.

"Rasa masakan kita lebih pelbagai, ia gabungan rasa manis, masam, masin dan pahit," katanya.

Tayag kemudian menjelaskan satu daripada ekspresi kegemarannya untuk menggambarkan kepuasan orang Filipina apabila menikmati makanan kegemaran mereka ialah linamnam.

Linamnam, yang tidak mempunyai terjemahan langsung dalam bahasa Inggeris merujuk kepada keseronokan, kegembiraan dan sensasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: