Wednesday, May 2, 2012

Jangan beri kepercayaan melampau

SEDIA...pembantu rumah perlu patuh arahan majikan.
SEDIA...pembantu rumah perlu patuh arahan majikan.

ADA rakan bercerita kepada penulis mengenai pembantu rumah berkelakuan seperti bos ketika ketiadaan majikan di rumah. Itu belum termasuk kerenah yang pelbagai seperti panjang tangan, suka berbohong, berpura-pura sakit dan membuat bermacam alasan apabila diminta melakukan kerja rumah.

Pakaian hanya digosok bila diarah, pelbagai perkataan keluar daripada mulutnya apabila ditegur. Padahal kerjanya hanya membasuh baju, memastikan rumah kemas dan menyediakan masakan untuk anak-anak yang semuanya sudah bersekolah menengah.

  • Foto

    KEMAS...pembantu rumah menjalankan tugas yang diamanahkan majikan.

  • Foto

Itu belum termasuk menonton rancangan kegemaran sinetron pada setiap petang dan berkumpul dengan rakan-rakan pembantu rumah lain bagi menjayakan ‘mesyuarat tingkap’.

“Mengapa tidak diberhentikan saja dan mengambil pembantu rumah yang lain?” saran penulis.


Katanya, tidak mahu pening kepala, lagipun bukan mudah mahu mengambil orang gaji jika tidak disertakan bayaran pendahuluan ribuan ringgit. Pendek kata, perangai mereka benar-benar menguji kesabaran dan memeningkan kepala.


Namun mahu atau tidak, rata-rata majikan terpaksa menghadapinya disebabkan tekanan ekonomi yang semakin menghimpit, lebih-lebih lagi keluarga yang mempunyai anak ramai. Daripada terpaksa membayar sehingga RM700 sebulan untuk tiga anak di rumah pengasuh atau pusat asuhan kanak-kanak, lebih baik mengupah pembantu rumah dengan bayaran RM550, selain menjaga anak, rumah bersih dan kemas.

Bertukar ganti orang gaji kini menjadi situasi biasa di Malaysia. Jarang yang mampu bertahan hanya dengan seorang amah untuk jangka masa lama. Jika ada hanya segelintir majikan bernasib baik mendapat pembantu rumah serasi dan saling memahami keperluan masing-masing.

Bagi pensyarah Kolej Pengajian Siswazah, Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Kampus Putrajaya, Prof Madya Dr Rusinah Siron, berpengalaman hampir 14 tahun mempunyai dua pembantu rumah bermula daripada Operasi Pemutihan di awal 1990-an sehinggalah masuk ke era operasi 6P. Daripada gaji pembantu rumah ketika itu RM350 sehinggalah dinaikkan setiap tahun, dan kini mereka boleh dipanggil jutawan di negara asal.

“Ramai bertanya bagaimana saya boleh bertahan dengan seorang pembantu rumah hampir 10 tahun sedangkan sebagai manusia sudah semestinya ada perkara yang kurang disenangi. Sejak dulu pembantu rumah saya hanya melakukan tugasan rutin dan tugas kecil saja. Ini kerana saya tiada anak kecil, hanya dua anak yang sudah dewasa. Mereka selalu tiada di rumah kerana tuntutan kerja dan juga tidak banyak aktiviti tambahan yang boleh menyusahkan pembantu rumah.

“Setiap petang pembantu rumah menonton televisyen siri sinetron dan seminggu sekali, saya mencari ruang membawanya makan di luar. Saya memberikan keselesaan hidup kepada mereka atas dasar budi bicara dan sikap insaniah. Jika diikutkan sebenarnya pembantu rumah melalui kehidupan selesa kerana dari semua segi termasuk makan, minum, pakaian, sehingga keperluan harian seperti sabun, ubat, gigi, perubatan, semuanya diberi percuma. Itu belum termasuk bonus hujung tahun serta membawa pembantu rumah bercuti,” katanya.

Berdasarkan pengalaman bersama pembantu rumah yang sama lebih 10 tahun, Rusinah memberitahu, hubungan harmoni antara pembantu rumah dan majikan harus dibentuk.
Walau sebaik mana sekalipun, perlu ada had di antara kedua-duanya. Biar mereka takut dan pada masa sama menghormati majikan.

“Apa yang berlaku sekarang majikan terlalu mempercayai pembantu rumah dan menganggap seperti keluarga sendiri. Sebab itu, ada pembantu rumah sanggup mencuri, melarikan wang dan barang kemas majikan,” katanya.

Menurut Rusinah, dalam hal perhubungan di antara majikan dan pembantu rumah, majikan harus bijak mentadbir dan mengurus rumah. Jangan sesekali membiarkan pembantu rumah menjadi pengurus. Suami sebagai ketua keluarga manakala isteri mengurus dalam aspek dalaman rumah tangga.

Aspek penting yang perlu diambil perhatian ialah mengekalkan keserasian di antara kedua-duanya. Sebagai contoh bersikap sabar, tidak cepat melatah dan menerima pendapat antara satu sama lain. Selain itu, persekitaran rumah yang selesa, mempunyai ruang untuk tidur, tenang, bersih dan kemas turut menyumbang kepada kesefahaman di antara dua pihak.

“Bilangan anak yang ramai terutama masih kecil menyebabkan ada sesetengah pembantu rumah tidak dapat bertahan lama. Ini kerana ada pembantu rumah kekok membuat kerja rumah dan pada masa sama melayan anak kecil,” katanya.

Dalam hal ini, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sebelum pembantu rumah memulakan kerja antaranya majikan perlu menerangkan bidang tugas dan undang-undang di rumah secara lembut, tegas dan spesifik.

“Ia perlu diucapkan dalam bahasa mudah kerana setiap pembantu rumah datang daripada pelbagai latar belakang, usia dan budaya. Banyak salah faham berlaku antara majikan dan pembantu rumah kerana kedua-duanya menganggap bahasa digunakan adalah sama padahal berbeza. Di Indonesia saja ada lebih 500 bahasa jadi banyak salah faham berlaku pada peringkat awal.

“Ada pula yang langsung tidak pernah menggunakan peralatan elektrik dan tidak boleh membaca. Jadi semua ini perlu diberi penerangan secara terperinci.

“Bagi menyenangkan kerja, majikan harus membuat jadual secara terperinci misalnya mengemas rumah, mop lantai, menggosok baju, memasak, mencuci bilik air dan masa mereka boleh berehat. Terangkan dengan lembut tetapi tegas bagi memastikan mereka berasa takut dalam pada masa sama, menghormati majikan,” katanya.

Selain itu, jelaskan juga perkara larangan misalnya tidak boleh menyelongkar almari atau laci di dalam bilik tidur, tidak boleh melakukan kekasaran pada anak, hanya boleh menonton televisyen pada waktu tertentu, memanggil anda sebagai kakak dan suami sebagai encik sebagai tanda hormat, tidak berkelakuan kurang sopan atau menunjukkan rasa tidak puas hati sekiranya ada saudara-mara bermalam di rumah, tidak dibenarkan bergaul dengan pembantu rumah jiran atau membawa lelaki masuk ke rumah. Perkara ini harus diterangkan supaya mereka memahami apa yang tidak boleh dibuat dan sekiranya mereka ingkar, hukuman akan dikenakan.

Majikan pula harus bertimbang rasa dan bertolak ansur dengan mereka. Didik dan ajar orang gaji dengan cara yang baik agar dia lebih yakin membantu dan menguruskan rumah.

“Dalam hal ini, semuanya bermula daripada majikan. Pembantu rumah adalah manusia yang berperasaan serta perlu dihormati. Namun begitu, majikan harus bijak mengawal konflik serta menentukan strategi pengurusan konflik agar suasana harmoni dapat dibentuk. Tidak salah sekali-sekala marah atau menegur pembantu rumah tetapi dengan cara yang betul,” jelasnya.

Sekiranya mereka mempunyai minat misalnya menjahit atau mengait, boleh dibelikan peralatan jahitan supaya masa mereka terisi. Tetapi jelaskan hobi ini hanya boleh dilakukan sekiranya semua kerja rumah sudah selesai.

Menurut Rusinah, dua tahun adalah tempoh menilai sama ada pembantu rumah mampu menjalankan tugas dengan sempurna. Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian sebelum memikirkan sama ada mahu menerus atau memberhentikan perkhidmatan pembantu rumah antaranya:


Melakukan kesalahan.

Sekiranya pembantu rumah mencuri, menipu atau memfitnah, dia sudah melanggar undang-undang di rumah. Misalnya mencuri makanan, duit anak, pakaian serta memfitnah tuan rumah kepada jiran sebelah.


Melakukan perkara dilarang agama.

Pembantu rumah tidak pernah bersolat atau berpuasa malah melakukan amalan keagamaan di rumah majikan.


Membawa masuk orang yang tidak dikenali ke rumah.

Menjadi kesalahan sekiranya pembantu rumah membawa masuk orang yang tidak dikenali majikan ke rumah terutama lelaki. Ini kerana ia bukan saja menimbulkan syak wasangka tetapi bahaya kepada keluarga.


Membuat jenayah kepada majikan.

Jenayah tidak semestinya menggunakan senjata tetapi unsur mistik seperti mengasap kemenyan di bilik, makan makanan mencurigakan atau menyebabkan majikan dalam keadaan tidak terkawal, ini akan memberi kesan kepada ahli keluarga.


Tidak hormat majikan.

Ini boleh dilihat menerusi cara dia bercakap misalnya pembantu rumah suka meninggikan suara, menengking anak-anak dan majikan, menjeling, bermasam muka dan mengeluarkan kata-kata kesat.

Menggunakan senjata sebagai ancaman.

Ada pembantu rumah menggugat keselamatan majikan dengan menyimpan pisau, parang dan racun di dalam bilik. Sekiranya berlaku, jangan mengambil masa yang lama untuk mengambil tindakan kerana ini akan mengancam nyawa keluarga anda.


Dalam menghadapi kekangan serta masalah yang melanda negara mengenai perkhidmatan pembantu rumah, Rusinah menyarankan supaya suami isteri bijak mencari alternatif dalam penjagaan anak-anak.

Pada masa sekarang terdapat pembantu rumah hujung minggu yang dibayar mengikut jam. Ini dapat membantu mengurangkan bebanan keluarga dalam menguruskan rumah tangga. Pusat asuhan juga menyediakan perkhidmatan profesional yang mampu menjaga anak-anak dengan baik mengikut kehendak dan keperluan agama.

“Selain itu buat perancangan dan pengurusan diri dengan sempurna contohnya membeli barangan dapur dan basah selama seminggu, menyediakan bahan asas memasak supaya mudah digunakan apabila pulang ke rumah dan menghantar baju kerja ke pusat dobi. Ini bagi mengurangkan tugas isteri sekiranya tidak ada pembantu rumah,” ujarnya.

Bantuan keluarga juga sangat penting terutama pada saat suami isteri
perlu bekerja di luar kawasan atau mengambil adik atau saudara-mara lain sebagai pembantu rumah, sementara menunggu keputusan peperiksaan. Paling penting, bagi mereka yang tiada pembantu rumah jangan sesekali merungut mengenai bebanan kerja di rumah kerana ini akan menambah tekanan seterusnya menggugat keharmonian rumah tangga.

“Bagi mereka yang mempunyai pembantu rumah, ingatlah dalam aspek pengurusan rumah tangga seperti keselamatan, kejayaan anak-anak dan sosial adalah atas asuhan ibu bapa dan bukan mengikut budaya pembantu rumah. Selain itu, perlakuan serta cara percakapan majikan haruslah dalam keadaan yang baik kerana ini akan menjadi idola bagi pembantu rumah sekali gus mencetuskan rasa hormat dan sayang kepada majikan,” katanya yang meminta semua majikan berpegang kepada konsep pembantu rumah berwibawa majikan bahagia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: