|
Pentas final program realiti televisyen Mania yang telah berlangsung pada Sabtu lalu menyaksikan pertarungan lima penjuru antara penyanyi yang sudah ada nama iaitu Hazama, Stacy, Jaclyn Victor, Hafiz dan Aril.
Seolah-olah menyaksikan pertarungan antara bekas peserta program realiti Akademi Fantasia iaitu Stacy, Aril, Hafiz dan Hazama, final Mania bagaimanapun boleh dilabelkan sebagai pertandingan antara bintang program realiti apabila dalam barisan finalis berkenaan turut sama ialah Jaclyn yang merupakan juara program realiti Malaysian Idol musim pertama.
Pada akhir pertandingan, keputusan dan undian khidmat pesanan ringkas (SMS) telah menjulang Hafiz sebagai juara Mania musim pertama dengan habuan hadiah kemenangan wang tunai sebanyak RM500,000.
Ahmad Dhani selaku komposer yang menaungi Hafiz pula memenangi wang berjumlah RM300,000.
Tempat kedua dimenangi oleh penyanyi di bawah bimbingan komposer Datuk M. Nasir iaitu Stacy yang berjaya membawa pulang RM200,000. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Jaclyn Victor dengan wang yang dibawa pulang sebanyak RM100,000.
Namun apa yang menjadi tanda tanya ialah nasib Jaclyn atau lebih mesra disapa Jac yang bernaung di bawah komposer Aubrey Suwito. Ini kerana sepanjang Mania berlangsung, Jac sentiasa menduduki tangga teratas. Tambahan pula ramai yang menjangkakan Jac akan muncul sebagai juara Mania.
Pada pentas final Mania malam itu, Jac menyampaikan dua buah lagu iaitu Arjuna dari kumpulan asal Dewa 19 berduet dengan Tiar Jinbara dan Kenangan Terindah, nyanyian asal grupSamson. Bagi penyanyi bersuara lantang ini, ramai yang mengharapkan Jac menyampaikan lagu bernota tinggi yang sudah sinonim dengan dirinya.
Jac tidak kecewa
Jac mempunyai alasan tersendiri mengenai pemilihan lagu Kenangan Terindah yang mungkin dirasakan kurang kuat untuk menjulang dirinya sebagai juara Mania.
“Jujurnya, sejak awal pertandingan, saya dapat rasakan diri ini tidak akan menang. Bukan kerana saya tidak yakin, namun bagi saya ia adalah perkara biasa apabila tiba peringkat akhir. Sudah pasti peminat akan mengundi atau menyokong hingga ke saat akhir.
“Namun kini saya tahu, ramai yang mungkin berkata saya salah pilih lagu (Kenangan Terindah). Itu sebenarnya tujuan saya, ingin kembalikan kenangan susah senang kami semasa dalam Mania,” jelas Jac yang berkata dia sememangnya inginkan perbezaan dalam setiap persembahannya.
Ujarnya lagi, sebagai seorang penyanyi, sememangnya dia terkenal sebagai seorang yang bersuara lantang. Namun katanya, sekali-sekala adalah baik untuk menjadi tidak terlalu lantang bagi memberi kesan berbeza dan warna dalam nyanyiannya.
Walaupun ia sebuah pertandingan, namun tidak semestinya setiap nyanyian perlu punya not tinggi. Katanya kelak persembahan akan kelihatan sekata dan bosan kerana tiada perubahan.
Tambah Jac, buktinya, dalam Mania, dia pernah cuba untuk menari serta menyampaikan lagu-lagu seperti Terukir Di Bintang dan Joget Angan Tak Sudah.
“Impak Mania adalah sangat bagus kerana ia platform yang besar. Saya jenis suka mengambil kesempatan dan bila ada kesempatan itu, saya tidak akan teragak-agak untuk lakukannya. Saya bukan masuk untuk mengejar glamor atau nama, tapi untuk menyanyi atau meluahkan bakat saya.
“Rezeki saya, walaupun saya tidak dipilih untuk berada di bawah empayar Ahmad Dhani, namun saya dipilih olehnya untuk perkara lain. Mungkin jika saya tidak sertai Mania, dia juga tidak akan mengenali saya. Banyak perkara yang saya rasa dan mungkin salah satunya ialah penonton saya semakin besar,” tutur Jac yang terima keputusan dengan hati terbuka dan tidak terdetik rasa kecewa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: