Wednesday, May 9, 2012

Isu kandungan nitrit jejas industri EBN

Noh Omar melihat sarang burung yang dikumpulkan di Pusat Dagangan dan Depositori Sarang Burung Autentik Malaysia yang pertama di Puchong, Selangor baru-baru ini.

JIKA dahulu industri sarang burung walet atau lebih dikenali sebagai EBN (Edible Bird Nest) melonjak naik akibat permintaan yang tinggi daripada negara pengimport utamanya iaitu China, kini industri tersebut diancam isu kandungan nitrit (NO2) yang berlebihan.

Berikutan itu, pihak kerajaan China telah mengehadkan pengambilan EBN dari Malaysia. Malah stok yang telah berada di negara tersebut juga telah dibekukan menjadikan harganya kini merudum teruk.

Kerajaan China mendakwa EBN yang dibekalkan oleh Malaysia mengandungi kandungan nitrit yang berlebihan di mana boleh menyebabkan masalah kesihatan.

Isu tersebut telah dipanjangkan sehingga kerajaan China menuntut sekiranya Malaysia ingin terus menjual EBN ke negaranya maka kandungan bahan kimia tersebut perlu di kurangkan, malah sehingga sifar.

Permintaan tersebut dilihat adalah agak mustahil berikutan kandungan nitrit sememangnya sedia ada dalam mana-mana tumbuhan organik, air dan pelbagai lagi.

Di samping itu, hanya EBN yang diimport dari Malaysia sahaja yang paling ketat dikenakan tindakan tersebut.

Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Saleha Abdul Aziz, nitrat atau nitrit adalah bahan kimia yang terdiri daripada kandungan oksigen dan nitrogen serta gabungan pelbagai sebatian organik dan bukan organik.

Jelas beliau, kandungan nitrit boleh ditemui di sekitar kita seperti air dan tumbuhan hijau yang mana boleh menghasilkan endogenously (kandungan yang terdapat dalam organisma atau sel).

"Malah nitrit juga kadang kala digunakan dalam produk makanan lain seperti penghasilan keju dan bahan berasaskan keju, daging mentah mahupun yang diproses dan pelbagai lagi.

"Ia juga digunakan dalam pelbagai produk makanan bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria clostridium botulinum dan juga sebagai bahan pengawet dalam industri daging," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja Isu Nitrat dalam EBN sempena Seminar Transformasi Industri Sarang Burung Malaysia: Mendepani Cabaran Piawaian Baharu anjuran Institut Teknologi Makanan (MIFT) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, kandungan nitrit tersebut jika diambil oleh manusia secara berlebihan ia mampu membantu mempercepatkan pertumbuhan sel kanser dan tumor di dalam badan terutamanya bagi orang dewasa dan mampu menyebabkan penyakit leukemia kepada kanak-kanak.

Justeru, kehadiran kandungan nitrit di dalam EBN bukan sesuatu yang baru dan ia boleh dikurangkan.

Jelas Dr. Saleha, kandungan nitrit boleh dikurangkan dengan cara membilas EBN menggunakan air biasa secara kerap.

Malah, proses pemanasan juga dapat mengurangkan kandungan nitrit dan semakin tinggi suhu digunakan maka semakin banyak nitrit dapat dikurangkan.

Bagaimana pun kandungan nitrit juga boleh berubah-ubah antaranya keadaan bahan mentah (EBN), selepas proses pembersihan dan produk akhir (sup sarang yang ditinkan).

Kandungan nitrit juga boleh bertambah dalam EBN melalui air yang digunakan semasa proses pembersihan serta beberapa faktor lain.

Justeru isu kandungan nitrit di dalam EBN bukanlah merupakan satu isu yang sepatutnya diketengahkan sehingga menyebabkan industri pengeluaran EBN negara terjejas dengan agak teruk.

Malah terdapat kajian yang menunjukkan terdapat beberapa produk makanan di China juga dikenal pasti mengandungi kandungan nitrit yang agak tinggi.

Ia seperti sayuran jeruk sebanyak 20 miligram setiap kilogram (mg/kg), susu segar 0.4 mg/kg malah tidak ketinggalan air mineral sebanyak 01 mg/kg.

Justeru kandungan nitrit bukan sahaja terdapat didalam EBN malah mana-mana makanan dan air yang digunakan oleh manusia, apa yang jelas isu tersebut hanya diperbesarkan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: