Wednesday, May 16, 2012

Ibu! Apa salah saya?

Rakaman video yang menggemparkan masyarakat Malaysia baru-baru ini menyaksikan seorang ibu memukul, mencubit dan menyepak bayinya berusia 10 tahun tanpa belas kasihan.

SEBAIK sahaja selesai menonton rakaman klip video seorang bayi didera ibunya dengan kejam, tiada perkataan yang mampu diluahkan melainkan dada yang sebak.

Tiada apa yang mampu dikatakan lagi cuma, terdetik di dalam hati, "perempuan ini manusia atau binatang?"

Penonton sememangnya tidak mengetahui apakah dosa yang telah dilakukan bayi tersebut sehingga ibunya sanggup memperlakukan sedemikian rupa.

Tetapi apabila difikirkan kembali, apa sangat kesalahan yang mampu dilakukan oleh bayi yang baru berusia 10 bulan ini.

Pada umur tersebut seorang bayi hanya mampu menangis sama ada untuk memberitahu dia kelaparan, mengantuk ataupun kesakitan.

Sememangnya rakaman klip video tersebut mampu meruntun jiwa setiap insan apatah lagi yang terbaru dipaparkan pula gambar si kecil tidak sedarkan diri selepas dipukul, diterajang, disepak dan dicubit oleh ibunya yang seolah tidak langsung berperasaan.

Walaupun dikhabarkan perkara tersebut berlaku pada tahun lalu, ia tetap tidak boleh diterima akal bagi mereka yang masih berfikiran waras.

Kita boleh membuat pelbagai andaian termasuklah mengandaikan wanita tersebut mungkin mengalami masalah mental atau apa jua masalah hingga membuatkannya bertindak di luar kawalan.

Tetapi pada hakikatnya, sesiapa sahaja yang berbuat demikian (mendera), mereka sememangnya mempunyai masalah kerana menurut Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Hazli Zakaria, individu normal tidak akan bertindak demikian kerana mereka masih boleh berfikir dengan waras.

Ulas Dr. Hazli, wanita yang dikaitkan dalam video klip tersebut pastinya mempunyai sesuatu masalah yang tidak diketahui sesiapa tetapi secara tidak langsung ia boleh dikaitkan masalah dari sudut psikologi.

Katanya lagi, banyak faktor yang perlu diambil kira dalam usaha mengenal pasti masalah yang dialami wanita terbabit termasuklah membuat pemeriksaan rapi ke atas wanita tersebut.

"Wanita di dalam klip video tersebut pada dasarnya boleh dikatakan mempunyai masalah kerana ibu adalah individu yang paling rapat dengan bayi dan mereka tidak akan bertindak kejam terhadap zuriat sendiri melainkan mempunyai masalah mental.

"Jadi, seelok-eloknya, wanita tersebut haruslah diperiksa oleh pakar psikiatri bagi mengetahui tahap kestabilan mentalnya sebelum sesuatu keputusan dibuat atau diambil.

"Bagaimanapun, hati saya kuat mengatakan wanita ini berkemungkinan besar mengalami gila meroyan," ujarnya ketika dihubungi Mega, baru-baru ini.

Tambah Dr. Hazli, wanita tersebut seharusnya dibantu kerana perlakuannya pasti bersebab dan apakah sebabnya itulah yang harus diketahui dan dicari dalam usaha membantunya menangani masalah yang dihadapi.

Secara tidak langsung, jelas Dr. Hazli, selalunya apa yang dilakukan oleh individu-individu ini bukanlah di atas kehendak mereka sendiri melainkan mengalami tekanan masalah yang sedang mereka hadapi ketika itu.

Dengan ini perlakuan wanita itu juga boleh diibaratkan tindakan luar sedar mereka.

Bagaimanapun, kebanyakan mereka ini akan mendapat kepuasan dengan apa yang telah mereka lakukan.

Untuk itu Dr. Hazli mengkategorikan mereka ini mungkin mempunyai masalah daripada sudut personaliti mahupun mental.

Berbicara lanjut mengenai kejadian tersebut, Dr. Hazli turut menyatakan, bayi yang didera itu kemungkinan besar akan mengalami trauma yang berpanjangan.

Bagaimanapun ia juga sebenarnya bergantung kepada individu-individu tersebut tetapi menurut Dr. Hazli, bayi seawal usia sembilan bulan sudah boleh mengingati apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Yang pasti, bayi malang tersebut akan terganggu daripada sudut pemikirannya selain berisiko tinggi untuk mengalami trauma dan juga masalah psikologi.

Antara masalah psikologi yang disenaraikan oleh Dr. Hazli ialah seperti mengalami kemurungan, kegelisahan, penyesuaian diri, perhubungan dengan masyarakat sekeliling serta lain-lain lagi.

Secara tidak langsung, kejadian tersebut juga mampu mempengaruhi perhubungan mental dan fizikal bayi tersebut.

Yang pasti, Dr. Hazli menekankan, wanita tersebut seharusnya dibantu dalam usaha mengenal pasti apakah masalah yang sedang dihadapinya selain dijatuhi hukuman yang setimpal dengan apa yang telah dilakukannya terhadap darah dagingnya sendiri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: