SEMUA lapisan masyarakat di Malaysia mengetahui bahawa Sabah dan Sarawak yang terletak di Pulau Borneo merupakan sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.
Namun begitu, masih ramai rakyat Malaysia terutamanya yang tinggal di Semenanjung kurang memahami adat dan budaya masyarakat di sana. Masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak cukup kaya dengan kehalusan seninya dan masih lagi terpelihara.
Jika terdapat orang Semenanjung yang tegar untuk belajar kebudayaan masyarakat peribumi itu, mereka perlu menempah tiket kapal terbang dan terokai sendiri.
Sehubungan itu, atas inisiatif mahu mempromosi warisan Sabah dan Sarawak, Persatuan Warisan Sarawak Kuala Lumpur dan Selangor bakal menganjurkan Festival Enggang Borneo Kuala Lumpur 2012 di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur.
Dengan bayaran masuk sebanyak RM30, para pengunjung berpeluang menyaksikan kebudayaan Sabah dan Sarawak selama tiga hari berturut-turut.
Faham budaya
"Acara ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat di Semenanjung memahami budaya masyarakat di sana," kata pengerusinya, Laurence John, 50.
Bakal berlangsung dari 6 hingga 8 Julai ini, para pengunjung akan dihidangkan pertandingan Kumang dan Keling pada malam pertama diikuti pertandingan Unduk Ngadau keesokan hari.
Kumang dan Keling merupakan sebuah pertandingan ratu cantik tradisional untuk kaum peribumi Sarawak manakala Unduk Ngadau, gelaran bagi pemenang ratu cantik Sabah.
Walaupun kedengaran seperti meniru pertandingan Ratu Cantik Universe, ujar Laurence, terdapat banyak perbezaan jika dibuat perbandingan.
Malah, pertandingan tersebut telah lama diadakan dan bersifat tradisional. Para peserta akan dinilai melalui keaslian pakaian, tarian, kemahiran memasak, panjang telinga dan kecantikan tatu.
Mengikut sejarah, pertandingan tersebut dibuat sebagai sambutan menuai hasil tanaman.
"Biarpun peserta itu merupakan yang paling cantik tetapi jika pakaian yang dipakai tidak cukup tradisional dengan menggunakan banyak aksesori moden, dia tidak akan menang," terang Laurence ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
jung, semua peserta dari Borneo yang terpilih mengeluarkan bajet sendiri.
Seramai 16 orang peserta untuk setiap kategori telah disenarai pendek. Sebuah siri jelajah kelima buah lokasi di Sarawak telah diadakan bertujuan mencari peserta yang layak.
Lebih kurang 150 orang telah datang untuk diuji bakat di Miri, Bintulu, Sibu, Kuching, Sarawak dan Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, akuinya, sukar untuk mencari pemenang yang boleh dianggap 100 peratus memiliki ciri-ciri tradisional kerana ramai yang telah berubah atau diasimilasi dengan kehidupan moden.
"Faktor perkahwinan campur, mahu mengejar cita-cita dan wang serta memeluk agama lain menghakis nilai budaya mereka," kata Laurence berdasarkan kepada pemerhatiannya yang mula mengenali Sarawak sejak tahun 1987.
Malam terakhir dikhaskan kepada mereka yang meminati seni tarian. Sebuah pertandingan tarian etnik diadakan. Terbuka kepada semua lapisan masyarakat, jenis tarian yang dipersembahkan wajib daripada jenis tarian tradisional Borneo.
Persatuan Warisan Sarawak ditubuhkan sebagai langkah mempromosi budaya masyarakat Bumi Kenyalang di Semenanjung sejak empat tahun lalu.
Melalui pemerhatian Laurence, masyarakat Semenanjung kurang memahami orang Borneo dan tiada usaha mempromosikannya.
Perkara tersebut menyebabkan berlaku salah anggap seperti menyangka mereka masih lagi hidup berpindah-randah.
"Selain itu, festival sebegini memberi peluang kepada orang Semenanjung menghayati budaya Borneo tanpa perlu ke sana," ujarnya yang boleh bertutur dalam bahasa Iban.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: