Thursday, May 24, 2012

Empat penyanyi legenda pukau penonton


(DARI kiri) ZAINAL ABDIN, Sheila Majid, Jamal Abdilah dan Amy Search bakal menghiburkan peminat mereka di Johor Bahru dan Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat ini.


BUKAN mudah untuk mengumpulkan empat nama besar dalam industri muzik tanah air di bawah satu bumbung dan pentas yang sama.

Namun, tidak mahu kalah dengan faktor kekangan masa setiap legenda tersebut, Afro Zapin Venture Sdn. Bhd. menggabungkan Jamal Abdillah, Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin dan Amy Search dalam The Legendary Concert 2012-Dulu, Kini dan Selamanya.

Kali pertama bergabung di pentas yang sama, ternyata mereka masing-masing berkongsi keterujaan mempamerkan magis buat peminat di Dewan Canselor Universiti Malaysia Sabah pada 5 Mei yang lalu walaupun hanya 2,000 penonton hadir, persembahan mereka amat memuaskan.

Tanggal 19 Mei lalu pula, konsert diteruskan di Stadium Pisa Pulau Pinang yang dihadiri lebih 5,000 penonton.

Konsert seterusnya di Johor Bahru pada 26 Mei ini. Seterusnya, sebagai penutup tirai, empat figura berwibawa ini akan menggamatkan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini.

Sebagai orang penting konsert, Zainal melahirkan rasa terujanya kerana sudah lama tidak muncul di konsert besar seperti ini.

"Selain bertujuan untuk menggabungkan empat legenda, saya juga ingin kembalikan nostalgia konsert berbayar yang sudah jarang dilakukan artis tanah air.

"Sebagai konsert berbayar, sudah pastinya banyak perkara akan dilakukan dan gabungan sebegini bakal memberi kepuasan dan pulangan yang berbaloi kepada peminat.

"Malah paduan tenaga empat legenda ini dapat mengumpulkan setiap peminat masing-masing yang tentunya sudah lama menunggu kami untuk bergabung di atas satu pentas," katanya sambil memberitahu sambutan yang diterima cukup menggalakkan.

Menurut Ratu Jazz, Sheila Majid, dia menerima pelawaan tersebut kerana diberitahu, sebahagian daripada hasil kutipan konsert akan disalurkan kepada rumah kebajikan.

Biarpun sering melakukan konsert-konsert solo, namun Jamal tidak dapat menyangkal keterujaannya untuk bergabung dengan legenda yang cukup disegani.

"Peluang untuk menyanyi bersama dengan tiga lagi legenda yang masing-masing cukup hebat membawakan genre mereka sendiri tidak harus saya lepaskan," katanya.

Seorang lagi legenda yang cukup terkenal, Amy pula merumuskan gabungan keempat-empat mereka bakal mencipta fenomena memandangkan masing-masing adalah daripada latar belakang muzik yang berbeza.

"Saya percaya kami masing-masing mempunyai pengikut tersendiri yang memang menunggu kami untuk bersama di atas satu pentas," katanya.

Bagi peminat peminat di Johor Bahru boleh mendapatkan tiket di Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru, Plaza Angsana (aras bawah), dan boleh menghubungi nombor hotline di talian 012-745 9609 atau 019-215 5455.

Apa yang menarik, bagi setiap pembelian tiket berharga RM100 dan RM200 masing-masing layak mendapat satu tiket percuma manakala bagi pembeli tiket yang berharga RM300 dan RM600 masing-masing akan mendapat potongan harga sebanyak 15 peratus. Tiket adalah terhad.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: