Saturday, May 19, 2012

‘Dia bukan ulat tiket’

SIASAT...anggota penguat kuasa SPAD menyoal siasat wanita  yang dipercayai ulat tiket.
SIASAT...anggota penguat kuasa SPAD menyoal siasat wanita yang dipercayai ulat tiket.
TAHAN...ulat tiket yang ditahan dalam operasi, semalam.
TAHAN...ulat tiket yang ditahan dalam operasi, semalam.

KUALA LUMPUR: Beberapa ‘ulat tiket’ yang memujuk orang ramai membeli tiket bas daripada mereka di Pudu Sentral, di sini, bertempiaran lari apabila pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menjalankan operasi membanteras aktiviti mereka, petang semalam.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa itu, ramai ulat tiket melarikan diri mengelak ditahan, namun lima daripada mereka berusia 20-an hingga 30-an ditahan dan pemeriksaan menemui beberapa tiket yang dipercayai untuk dijual kepada pengguna.


Malah, dalam operasi bermula jam 5 petang itu, berlaku insiden seorang lelaki warga emas tidak puas hati dan memarahi pegawai dan anggota bertugas ekoran mendakwa anak lelakinya berusia 20-an yang ditahan bukan ulat tiket.

Namun, lelaki itu kembali tenang apabila diberi penerangan mengenai operasi itu dan kelima-lima yang ditahan termasuk seorang wanita dibawa ke Balai Polis Tun H S Lee, di sini, untuk siasatan lanjut.


Ketua Penguat kuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi itu dijalankan bagi membasmi aktiviti haram ulat tiket.


“Kami hanya boleh mengekang dengan melaksana operasi penguatkuasaan secara berterusan, tetapi itu tidak langsung boleh membasmi kegiatan ini kerana selagi ada permintaan daripada penumpang, maka ulat terus menawarkan tiket untuk mereka.“Semua orang perlu hormat undang-undang dan kami menjalankan tugas demi untuk kepentingan pengguna serta memastikan keselamatan dan mencegah daripada berlaku penipuan pembelian tiket,” katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, operasi penguatkuasaan yang berakhir jam 10 malam itu dilakukan dalam dua fasa iaitu fasa pertama operasi tangkapan ulat dan fasa kedua pemeriksaan di kaunter tiket dan bas.

Katanya, pemeriksaan di kaunter penjualan tiket terbabit dilakukan untuk memastikan lebih 40 syarikat bas yang membuka kaunter di situ melaksanakan penjualan sendiri dan tidak menggunakan ejen tidak mempunyai lesen.


Malah, beliau memberitahu mana-mana pengusaha bas yang melanggar syarat, SPAD tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas mengikut Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: