Wednesday, May 9, 2012

Debaran AJARR 2011


PARA peminat yang berkunjung ke previu AJARR 2011 anjuran CATS FM tidak melepaskan peluang turut serta dalam tarian poco-poco di Wisma Sanyan di Sibu.


BAHANG anugerah muzik Iban iaitu Anugerah Juara Rentak Ruai (AJARR) 2011 semakin dirasai dalam kalangan peminat-peminat muzik tersebut di seluruh Sarawak terutamanya di Sibu apabila acara itu bakal berlangsung

di Dewan Suarah Sibu, lokasi pertamanya di luar bandar raya Kuching pada 12 Mei ini.

Hujung minggu lalu, kembara promosi AJARR 2011 melabuhkan tirainya di bandar Sibu setelah menjelajah Bintulu, Sri Aman dan Kuching.

Previu AJARR 2011 di bandar Sibu telah diadakan di pekarangan pusat beli-belah Wisma Sanyan.

Ribuan pengunjung dari bandar Sibu dan kawasan sekitar seperti Julau, Salim, Mukah, Kanowit, Song dan Kapit membanjiri Wisma Sanyan untuk menyaksikan sendiri artis kesayangan masing-masing.

Apa yang menariknya, para pengunjung hadir terdiri daripada pelbagai keturunan termasuk Melayu, Cina dan Orang Ulu. Mereka sanggup bersesak ke lokasi previu terbabit dari pagi hingga ke petang.

Pada acara previu itu, para peminat telah dihiburkan dengan persembahan oleh finalis AJARR 2011, antaranya Lucy M, Aldrich vokalis Hevance, Inochi Austin dan Rolisawati.

Beberapa artis jemputan turut memeriahkan previu AJARR 2011 iaitu Eddie Kuwing, Gabriel Firuz Louis dan bekas finalis AJARR iaitu Urai, Gordon John dan Stevenson.

Turut membuat persembahan ialah penyampai-penyampai CATS FM iaitu Ijau dan Sima. CATS FM merupakan penganjur edisi kelima AJARR.

Salah seorang finalis, Lucy M, 30, ketika ditemui berkata, tahun ini merupakan kenangan manis buat dirinya sebagai artis apabila lagu pertama ciptaannya sendiri, Buya Bepangan, terpilih ke AJARR 2011.

“Terima kasih kepada CATS FM kerana memilih lagu Buya Bepangan antara lagu terbaik Iban sepanjang tahun lalu. Ini merupakan kali ketiga saya muncul dalam final AJARR. AJARR benar-benar telah membantu karier saya terutama ketika mula-mula bertapak sebagai penyanyi baharu,” katanya.

Penyanyi kecil molek yang berasal dari Bintulu itu merupakan pemenang AJARR 2010 dalam kategori Lagu Paling Popular menerusi lagu Dendam Enda Padam.

Sementara itu, Inochi Austin, 25, yang mempertaruhkan lagu Rachun Dalam Pengerindu pula berharap dia akan mendapat keputusan yang lebih baik berbanding AJARR 2004. Lagu duetnya bersama Claudia Geres iaitu Joget Semaia Tua menang tempat kedua Lagu Paling Popular.


PENYAMPAI-PENYAMPAI radio CATS FM iaitu Freddy (kiri) dan Wayne berinteraksi dengan para peminat di Wisma Sanyan di Sibu.


Penyanyi berasal dari Kuching itu turut mendendangkan beberapa buah lagu daripada album keduanya pada previu AJARR 2011 di Wisma Sanyan baru-baru ini.

Bagi seorang lagi finalis, Melissa Francis memberitahu, dia akan melakukan gimik pada persembahan malam final tersebut dengan dibantu oleh sebuah kumpulan band yang dianggotai tiga adik lelakinya.

Melissa turut berbangga kerana terpilih pada AJARR kali ini. Dia telah membawa lagu Mutus Ati yang dicipta oleh adiknya sendiri iaitu Hairee Francis yang baru berusia 17 tahun.

“Dua orang lagi adik saya yang turut serta pada persembahan malam final nanti ialah Franky Francis, 24, selaku pemain dram dan Ricky Francis (gitar bass) sementara Hairee pula memainkan gitar utama.

“Saya berharap dapat memperoleh keputusan yang baik pada AJARR ini, meskipun sedar para peserta akhir kali ini semuanya hebat-hebat,” ujar Melissa lagi.

Selain lagu Buya Bepangan, Rachun Dalam Pengerindu dan Mutus Ati, sembilan lagu lain turut terpilih untuk merebut gelaran Lagu Terbaik dan Lagu Popular AJARR 2011 ialah Mengkang Dikenang Dalam Ati (Rolisawati); Dara Jala Pisit (Wendy); Engkerecam Cuka (Rickie Andrewson); Pulai Pengujung (Ethnic Transmission) serta Aku Nemu (Hevance).

Selain itu, lagu Merindang Ati Ti Balat Sunyi (Betty); Nadai Andau Duri Melintang (James Jacob); Panjai Begulai (Clemence Joys) dan Bekayuh Langkan (Jennarino Jeraki) turut dipertandingkan.

Selain kedua-dua kategori itu, finalis turut bersaing untuk kategori persembahan terbaik dan vokal terbaik pada malam kemuncak AJARR 2011.

Lagu-lagu tersebut terpilih selepas beberapa minggu menjuarai carta Lagu Terbilang Cats, yang disiarkan setiap Ahad pada pukul 4 hingga 6 petang dalam program Cats Ujung Minggu di CATS FM.

Sementara itu, undian untuk Lagu Paling Popular terletak di tangan peminat dengan undian ditentukan menerusi khidmat pesanan ringkas.

Untuk mengundi, taip AJ penyanyi dan hantar ke 33080. Sebarang maklumat lanjut, sila layari www.catsfm.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: