CANTIK...Chloe dan Emma kelihatan sama menawan.
AKRAB...Chloe bersama Culkin, pelakon yang turut membintangi Hick.
MEREKA sama-sama aktres muda yang menikmati kejayaan yang hanya dapat diimpikan oleh kebanyakan orang dewasa.
Bintang Kick-Ass, Chloe Moretz dan aktres Wild Child, Emma Roberts kelihatan semakin dewasa ketika ditemui dalam acara tayangan perdana filem Hick arahan Derick Martini di Hotel Crosby Street di New York.
Chloe, 15, yang melakonkan watak Luli, remaja berusia 13 tahun yang lari dari rumah dalam Hick nampak elegan berbanding usia sebenarnya dengan gaun vintaj bermotif bunga.
Emma, 21, pula tampil bergaya dengan gaun hitam berenda di pinggang dan hujung lengan.
Bintang lain Hick, Rory Culkin juga tidak ketinggalan muncul kasual dengan jeans, kemeja-T merah dan kemeja.
Chloe melakonkan watak Luli, remaja bermasalah yang melarikan diri dari kediaman treler ibu dan teman lelaki ibunya di Nebraska untuk pergi ke Las Vegas.
Di sana, dia menemui seorang penipu yang ramah dilakonkan oleh Blake Lively dan koboi lakonan Eddie Redmayne.
Bagaimanapun, perbezaan usia nampaknya mewujudkan masalah lain apabila terdapat khabar angin menyatakan keserasian antara Chloe dan Redmayne mungkin menimbulkan rasa tidak selesa sesetengah pihak.
Bercakap mengenai pemilihan watak filem, Chloe yang baru-baru ini mengesahkan akan mengambil watak utama dalam pembikinan semula filem Carrie menjelaskan bagaimana wataknya berubah daripada karakter sebenar dirinya.
“Ya, saya ada buat perkara yang dilakukan oleh kanak-kanak, tetapi maksud saya, saya terdorong untuk melakukan perkara yang tidak akan saya lakukan selama ini.
“Saya perlu berbincang dengan pengarah dan menyemak tiga halaman nota mengenai psikologi karakter itu dan
pemikiran serta masa lampaunya. Rasanya ia serumit mempelajari mengenai genetik,” katanya.
Berpacaran adalah perkara sensitif buat Chloe yang masih mentah dan masih mendapat perlindungan keluarga.
Dia memberitahu majalah Seventeen: “Memandangkan saya mempunyai empat abang, ia tidak mudah.
“Saya mempunyai ramai teman dan kawan lelaki yang comel, tetapi keluarga saya tidak menggalakkan saya berpacaran. Keluarga saya ramai dan mereka amat melindungi saya,” katanya.
Chloe juga mengakui ibunya merampas telefon bimbit miliknya kerana dia ketagih bermain permainan video lebih teruk daripada budak lelaki.
Dia yang menjelaskan ibunya baru memberikan semula telefon bimbitnya berkata: “Ibu saya menyimpannya selama dua hari. Saya disuruh membaca buku, tetapi saya benar-benar mahu bermain Call of Duty.
“Bukannya saya membaca kisah panas dalam Cosmo...Tidak, saya ditangkap kerana bermain permainan video,” katanya berseloroh.
Sementara itu, Emma Roberts yang berusia 21 tahun tentunya lebih banyak memperoleh kebebasan apabila menyentuh soal berpacaran. Dia dilaporkan menjalin hubungan dengan bintang Glee, Chord Overstreet.
Satu sumber sebelum ini memberitahu JustJared: “Mereka berada dalam haluan berbeza dalam kehidupan. Mereka semakin menjauh dan memutuskan untuk membawa haluan masing-masing.”
Bagaimanapun, kedua-duanya menyedari mereka masih saling merindui antara satu sama lain dan memutuskan untuk memberi peluang sekali lagi kepada hubungan mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: