Wednesday, May 16, 2012

Cabaran mendidik di pedalaman


SYIMIR tetap menjalankan tugasnya dengan komited walaupun dihantar jauh ke kawasan pedalaman.


BAGI kebanyakan guru baharu, menunggu waktu penempatan untuk sekolah yang bakal diajar merupakan saat yang mendebarkan. Malah, boleh dikatakan masing-masing berharap akan ditempatkan di sekolah yang terletak di lokasi strategik seperti di bandar-bandar terkemuka, daerah atau negeri yang tidak jauh dari tempat kelahiran mereka.

Justeru, apabila dimaklumkan status penempatan sekolah mereka di kawasan pedalaman atau luar bandar, pasti terdetik rasa kecewa kerana apa yang diharapkan tidak kesampaian.

Bagaimanapun, sebagai seorang guru setiap amanah yang diberi akan dilaksanakan sebaik mungkin demi mendidik anak bangsa agar menjadi orang berguna.

Itu antara fasa hidup yang dilalui Siti Herdawati Hamidun, 29, seorang guru yang ditugaskan mengajar di Sekolah Kebangsaan Pendam yang terletak di daerah Samarahan, Sarawak walaupun beliau menjalani latihan praktikal di ibu kota.

Menurut anak kelahiran Raub, Pahang yang mesra dengan panggilan Wawa itu, sewaktu mengetahui dia bakal ditempatkan di Sarawak, hatinya berbunga riang memandangkan si suami turut bertugas di Bumi Kenyalang.

"Namun, apabila keputusan rasmi dikeluarkan iaitu saya akan mengajar di daerah Samarahan, saya sedikit sedih kerana ia terletak jauh dari lokasi suami bekerja iaitu di Kuching.

"Tetapi, akhirnya saya sedar ia merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul dan saya terima keputusan itu dengan hati terbuka. Ternyata sikap positif itu menjadikan saya lebih bersemangat untuk mendidik anak-anak di sekolah tersebut," ujar Wawa yang mula bertugas di Samarahan sejak tiga tahun lalu sejurus menamatkan diploma Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.


REZEKI yang diperoleh ibu bapa biasanya akan turut dikongsi bersama guru anak-anak mereka.


Tambah Wawa, pada mulanya dia mengalami kesukaran untuk memahami pertuturan murid-murid di sekolah itu kerana loghat mereka dalam bahasa ibunda Sarawak yang pekat.

Hadiah berharga

Justeru, secara perlahan-lahan, ibu kepada dua cahaya mata itu cuba mempelajari bahasa pertuturan mereka untuk mendekatkan diri dengan murid-murid di sekolah tersebut.

"Alhamdulillah, kini masalah tidak faham dialek sudah berjaya diatasi dan saya seronok mengajar anak-anak ini yang sentiasa bersemangat untuk belajar terutama apabila gunakan teknologi komputer.

"Paling terharu apabila pelajar-pelajar menghadiahkan saya barang-barang seperti sabun, beras dan buah-buahan sempena Hari Guru atau ketika dusun milik ibu dan ayah mereka berbuah.

"Bagi saya hadiah sebegitu amat berharga walaupun bukan barangan yang mahal kerana apa yang penting ialah ingatan mereka kepada guru yang telah mendidik mereka," jelas Wawa yang mengajar subjek Bahasa Melayu di sekolah tersebut.

Sementara itu, anak muda bernama Faris Syimir Rozaini, 24, yang turut ditugaskan mengajar di daerah Kapit, Sarawak memberitahu, cabaran mengajar di pedalaman sangat berbeza berbanding mengajar di kawasan bandar.

Kesusahan hidup di kawasan luar bandar secara tidak langsung menjadikan proses pengajaran itu semakin sukar. Ditambah pula dengan bahasa ibunda yang berlainan, ia juga menyumbang kepada cabaran yang dihadapi pendidik.

Hormat guru

"Guru-guru yang mengajar di kawasan pedalaman boleh dianggap sebagai tentera kerana tugas mereka tidak sekadar mendidik. Di bandar, kita selalu dengar apabila murid sakit, gurulah doktornya dan bila murid hendak bermain bola, gurulah jurulatihnya.


KEKURANGAN infrastruktur seperti jalan yang berlumpur tidak menghalang pelajar untuk ke sekolah.


"Tetapi di pedalaman, jika sekolah tiada air, gurulah yang akan meredah sungai dan mendaki bukit semata-mata untuk menyambung paip air yang tercabut dan membekalkan air kepada semua penghuni sekolah," ujar Syimir dalam aspek cabaran fizikal yang dihadapi guru-guru di pedalaman.

Tambah guru subjek Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral dan Dunia Seni Visual itu, dari satu aspek lain, guru-guru di kawasan luar bandar begitu dihormati oleh masyarakat setempat kerana sanggup meninggalkan keluarga, isteri dan anak-anak demi mengajar anak-anak mereka.

Justeru, ibu bapa biasanya tidak lokek berkongsi rezeki dengan guru di sekolah anak mereka.

"Di sini, kami sering menerima hadiah dalam bentuk hasil hutan. Pernah sekali seorang rakan sejawat saya menerima seekor rusa hasil buruan penduduk tempatan. Ia memang sesuatu yang tidak dijangka dan membuatkan kami rasa amat dihargai," terang Syimir yang melahirkan harapan agar anak didiknya mampu mengamalkan apa yang telah diajar kepada mereka untuk menjadi insan yang berjaya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: