Monday, May 28, 2012

Boleh lompat setinggi dua meter



DUA orang anak muda sedang tekun memasang sejenis perkakasan di kedua-dua belah kaki masing-masing sambil mereka duduk.

Selepas berpuas hati dengan pemasangan yang dilakukan, mereka mula berdiri dan memulakan langkah menggunakan aksesori tersebut yang panjangnya kira-kira 76 sentimeter, sekali gus menambah ketinggian pemakainya.

Ketinggian yang disokong tapak yang mantap itu membuatkan dua orang anak muda itu menjadi tumpuan ramai di kawasan lapang dekat Dataran Masjid Putrajaya, Presint 2, Putrajaya.

Begitupun, sebelum memulakan aksi, Mohamad Naim Mohamad Isa, 27, dan rakannya Ahmad Alhafiz Najmi, 21, melakukan senaman regangan bagi mengelakkan kecederaan.

Tidak lama kemudian, mereka mula berlari, melompat dan tampil melakukan pelbagai aksi yang dinamakan Terkaman Helang (Diving Eagle), Kuak Lintang (180 Stretch), Tendangan Naga (Dragon Kick), Cengkaman Belakang (Back Grab) dan beberapa lagi aksi yang lincah.

“Alat ini dinamakan Madhop atau Skyrunner. Ia mula dibawa masuk ke Malaysia pada penghujung tahun 2010 dan awal 2011.

“Sukan ini sudah lama dimainkan di luar negara dan ia semakin berkembang di negara ini,” kata Mohamad Naim yang mengenali permainan Madhop melalui kenalannya ketika bercuti ke Bangkok, Thailand.

Tambah Mohamad Naim, di Thailand ia dipanggil Madhop tetapi sukan ini mempunyai banyak panggilan lain mengikut negara.

Antara nama lain bagi alat tersebut ialah Skyrunner, FlyJumper, Poweriser, Kangaroo Shoes, Powerskip dan Jumping Stilts.


TIDAK sukar untuk memainkan permainan ekstrem ini. Apa yang anda perlu lakukan ialah menguasai teknik mengimbangkan badan sebelum melanjutkannya kepada gerakan asas.


Alat skyrunner digunakan pada persembahan majlis penutup Sukan Olimpik Beijing 2008 oleh 199 penuntut dari Sekolah Shoalin Tagou Martial Art.

Pada majlis penutup tersebut, pelajar-pelajar sekolah berkenaan membuat lompatan setinggi dua meter di udara dan melakukan pelbagai aksi akrobatik.

Mengikut catatan, tidak ada pencipta atau negara asal permainan ini kerana ia dikatakan mendapat inspirasi daripada seorang pelari pecut kelainan upaya dari Afrika Selatan, Oscar Pistorius, 26, yang mula memakainya untuk berlari.

Bagaimanapun, Alexander Bock dari Jerman menjadi antara individu terawal mempatenkan permainan itu iaitu pada tahun 2003.

Nekad membeli

“Ketika kunjungan kali pertama ke Thailand, saya pulang dengan tangan kosong kerana tiada bajet untuk membeli Madhop ketika itu. Tidak lama kemudian, saya kembali semula dan terus membelinya.

Madhop berharga antara RM899 hingga RM1999 sepasang. Bagi mereka yang berkemampuan, harga yang dibayar itu pasti dirasakan berbaloi dengan keseronokan dan manfaat kesihatan fizikal yang dibawakannya.

“Saya tertarik dengan sukan ekstrem ini kerana ia lain daripada yang lain,” ujarnya yang menggunakan kaedah cuba jaya untuk belajar mengendalikan alat sukan tersebut secara sendiri.

Tampak mudah apabila melihat kedua-dua anak muda tersebut berjalan menggunakan Madhop tetapi ia tidak semudah yang disangka kerana ia memerlukan seseorang itu pandai mengimbangkan badan.

“Perkara pertama yang perlu dipelajari ialah bagaimana mahu mengimbangkan badan supaya tidak jatuh. Apabila memakai Madhop ini, kita tidak boleh berdiri statik tetapi perlu menggerakkan kedua-dua kaki seperti joging setempat.

“Kemahiran mengimbangkan diri ini mengambil masa lima hingga 20 minit bergantung kepada seseorang individu. Kemudian, apabila sudah boleh mengimbangkan diri, seseorang itu boleh belajar berjalan sambil tangan dipimpin oleh rakan bagi mengelakkan diri mereka daripada terjatuh,” jelasnya yang mempunyai lebih kurang 20 pengikut yang aktif.

Dalam masa sebulan sahaja, seseorang itu sudah boleh menguasai gerakan asas, melakukan lompatan sedikit dan beberapa kemahiran lain yang mudah.

Jika permainan ini kerap dimainkan, maka seseorang itu akan cepat menguasainya.

Menurut Mohamad Naim, seseorang yang mahu melibatkan diri dalam sukan ekstrem ini perlu ada minat dan berani untuk mencuba.

“Bagi mereka yang pertama kali mencuba, kaki akan terasa lenguh memandangkan berat setiap satu Madhop ialah 3.5 kilogram (kg), jadi berat untuk sepasang ialah 7kg.

“Alat ini mampu menampung berat pemakainya sehingga 110kg. Buat masa ini, tiada lagi orang yang melebihi berat tersebut mahu cuba bermain,” ujarnya.

Faktor keselamatan


MADHOP atau Skyrunner ini mampu membantu pemakainya melakukan lompatan setinggi dua meter.


Tambah Mohamad Naim, Madhop boleh dimainkan oleh semua peringkat usia. Kanak-kanak seawal usia 6 tahun dan dewasa dalam lingkungan usia 40-an juga turut memainkannya.

Melihat aksi ekstrem yang dilakukan kedua-dua sahabat tersebut yang sukar dilakukan oleh seseorang pemain amatur terfikir mengenai risiko kecederaan yang bakal dihadapi jika tersalah langkah.

“Jangan sesekali tiru aksi ini di rumah ya. Pastikan diri anda menguasai gerakan asas sebelum membuat pelbagai aksi yang boleh mendatangkan risiko kecederaan.

“Kecederaan merupakan perkara yang paling biasa apabila berkecimpung dalam sesuatu jenis sukan. Mula-mula main, pasti akan terjatuh. Maka, kita perlu belajar cara jatuh yang betul,” katanya yang menyarankan pemakaian pelindung lengan dan helmet.

Jangka hayat Madhop pula terpulang pada cara penggunaannya sementara penyelenggaraannya lebih kepada penukaran lapik tapak yang haus.

“Sukan ini mempunyai manfaat terhadap kesihatan kerana ia menggerakkan seluruh tubuh badan selain mempunyai potensi pengikut besar di negara ini.

“Buat masa ini sambutan terhadap sukan ini amat menggalakkan kerana ia sesuatu yang baharu. Apabila kami dijemput di karnival-karnival, ramai yang mahu merasai sendiri pengalaman bermain Madhop,” ujarnya sambil memberitahu bahawa ia turut dimainkan oleh kaum Hawa.

Bagi mengasah ketajaman kemahiran, komuniti Madhop Kuala Lumpur akan berkumpul jika ada kelapangan untuk mempelajari teknik-teknik terbaharu selain bertukar-tukar idea.

“Di ibu negara, kami selalu bermain di sekitar pusat beli-belah Lot 10 dan kadangkala di Tasik Titiwangsa. Secara tidak langsung, kami mengadakan promosi bergerak bagi menguar-uarkan sukan ini kepada orang awam.

“Saya berharap suatu hari nanti, Madhop akan menjadi cabang sukan yang dipertandingkan di peringkat negeri,” kata Mohamad Naim optimis.

Bagai cinta pandang pertama. Itu ungkapan paling tepat bagi menggambarkan minat Ahmad Alhafiz.

Pelajar Politeknik Port Dickson itu mula berjinak-jinak dengan Madhop sekjak Julai tahun lalu.

Jual fixie




“Saya hanya mengenali Madhop apabila melihat ada orang menggunakannya apabila saya sedang bersiar-siar di Kuala Lumpur.

“Kerana ingin memilikinya, saya sanggup jual basikal fixie. Percayalah, sesiapa yang sudah mencuba Madhop, pasti akan meninggalkan sukan lain,” katanya yang pernah terjatuh apabila berlari menggunakan Madhop.

Ujarnya, Madhop mudah untuk dikendalikan namun pada masa yang sama senang juga untuk jatuh jika seseorang itu tidak berhati-hati.

“Saya belajar berjalan dalam masa 15 hingga 20 minit. Dua hingga tiga hari untuk belajar berlari dan dua minggu untuk belajar melompat,” ceritanya.

Ahmad mengambil tempoh masa sebulan hingga dua bulan untuk mahir dalam lompatan dan menguasai pelbagai aksi. Semua skil itu banyak ditunjuk ajar oleh Mohamad Naim.

“Ia nampak mudah tetapi seseorang itu memerlukan stamina kerana jika tidak, anda akan cepat penat,” katanya.

Ketika kali pertama mencuba, Ahmad cuma mampu berjalan menggunakan Madhop selama 15 minit kerana mudah penat tetapi sekarang dia boleh bermain selama dua jam.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan komuniti Madhop ini, Mohamad Naim boleh dihubungi di talian 016-633 3301 atau kunjungi laman sosial Facebook Madhop Store Malaysia dan Mad Hop M’sia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: