Saturday, May 19, 2012

Berbakti di Kemboja

Shamsul Najmi Shamsuddin (dua kiri) bermesra dengan peserta sukarelawan yang akan menyertai Misi Kemanusiaan Kemboja 2012 pada Majlis Perlancarannya di Politeknik Metro Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PRIHATIN terhadap nasib yang menimpa saudara seIslam di Kemboja, Politeknik Metro dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Persatuan Suri Dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) menganjurkan Misi Kemanusiaan Kemboja 2012.

Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Md. Nor Yusof berkata, misi bantuan tersebut memilih Kemboja sebagai lokasi bantuan kerana melihat kepada taraf hidup umat Islam di Kemboja yang merupakan masyarakat minoriti di negara itu yang terlalu daif.

"Umat Islam di Kemboja merupakan kumpulan minoriti iaitu kira-kira tujuh peratus sahaja daripada keseluruhan penduduk. Malah, mereka hidup dalam keadaan yang sangat miskin dengan infrastruktur yang jauh ketinggalan berbanding Malaysia.

"Manakala dari aspek pendidikan, madrasah dijadikan tempat untuk menimba ilmu kepada anak-anak mereka secara percuma.

"Oleh itu, bagi membantu meringankan bebanan yang dihadapi, Politeknik Metro dengan kerjasama erat Yadim melancarkan misi bantuan kemanusiaan ini" katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Misi Kemanusiaan Kemboja 2012 di Politeknik Metro, Setiawangsa, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Naib Yang Dipertua Sektor Operasi Yadim, Datuk Shamsul Najmi Shamsudin.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, Datuk Taib Ali; Pengarah Politeknik Metro Kuala Lumpur, Rusmina Ismail dan Pengerusi Puspanita Jabatan Pengajian Politeknik, Normah Ismail.

Misi yang bertemakan Membumikan Erti Kasih Sayang itu telah diadakan pada 7 hingga 11 Mei lalu dengan sejumlah 156 orang yang terdiri daripada pelajar, tenaga pengajar Politeknik Metro dan wakil pemberi sumbangan.

Misi bantuan akan menyumbangkan modal membina perigi, mengagihkan barang keperluan rumah, keperluan solat, akikah dan menyampaikan wang derma.

"Seperti kita tahu, air merupakan sumber keperluan utama dalam kehidupan seharian. Kita melihat, sumber air bersih sukar didapati di sana. Justeru, sumbangan sebanyak 101 perigi ini pastinya akan memberi manfaat kepada sejumlah 872 buah rumah di Wilayah Cham.

"Selain itu, kontijen juga mengadakan program kemasyarakatan bersama penduduk di kampung terbabit, seperti penerangan, penjagaan dan pemeriksaan kesihatan," kata Md. Nor.

Tambahnya, program khidmat masyarakat ini juga dapat membuka minda dan memupuk kasih sayang dan keprihatinan pelajar dengan situasi semasa global.

"Penglibatan pelajar dalam program ini merupakan salah satu daripada aspek pengajaran dan pembelajaran yang boleh dijadikan amalan warga politeknik yang secara tidak langsung memberikan pengetahuan dan kemahiran kemanusiaan di luar kelas.

"Program ini juga dapat mendedahkan kepada pelajar dan semua pihak yang terlibat mengenai konteks kemanusiaan dan keprihatinan rakyat Malaysia tidak hanya terbatas dalam sempadan negara sahaja," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: