AWANBAND...kerjasama dengan Tasha untuk video klip mereka.
SEHARI selepas kemenangannya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2011 (ABPBH2011), Tasha Shila selaku penerima gelaran Artis Wanita Baru Popular, dikatakan mengusung trofi kemenangannya di pusat membeli-belah terkemuka, Pavilion, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Perihal itu menjadi gosip yang hangat dan bintang yang dilahirkan dengan nama Natasha Sheila Abdul Razak, 25, itu mendapat kritikan daripada ramai pihak lantas tampil menjelaskan keadaan sebenar.
Sesudah memperjelaskan hal itu dalam sebuah akhbar baru-baru ini, gosip usung dan tayang trofi dianggap sudah berakhir baginya. Pun begitu, saat ingin dia melupakan, gosip itu kembali hebat diperkatakan.
Berlaku di pusat membeli-belah yang sama, namun pada hari yang berbeza dan kali ini Tasha dikatakan menayangkan trofinya sejurus menghadiri sidang media penyampaian hadiah ABPBH2011, baru-baru ini.“Cerita itu memang mengarut! Saya tidak ke Pavilion sebaik sidang media majlis penyampaian hadiah itu. Apa motif orang yang buat cerita sebegini? Saya pun tak tahu.“Kalau sehari selepas ABPBH2011 berlangsung, saya tidak menafikan ada ke sana. Saya ke sana untuk bertemu sahabat baik saya, Reza, yang bekerja di butik Prada.
“Dia mahu melihat trofi kemenangan saya dan saya ke sana untuk menunaikan permintaannya sekali gus berkongsi kemenangan itu. Mungkin orang luar yang tidak tahu hujung pangkal kunjungan itu tersalah erti dengan apa yang mereka lihat lantas membuat spekulasi.
“Ini adalah yang terakhir saya menjawab isu ini dan enggan mengulasnya lagi di masa akan datang kerana gosip yang tersebar ini amat memalukan!” katanya.
Ditemui di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Isnin lalu, pelakon berbintang Aquarius itu terbabit dalam penggambaran klip video single kedua, AwanBand berjudul Lintasan Bintang.
Agak mengejutkan apabila Tasha menerima tawaran itu kerana jarang artis yang sudah popular mahu bekerjasama dengan sebuah band yang masih mencari tempat dalam industri.
Ringkas saja pendirian Tasha, seawal kemunculannya dia pun bukan siapa-siapa, malah dia sendiri gembira dapat berlakon di samping nama-nama besar dan pelakon senior kerana tempias kehebatan sebuah drama atau telefilem turut dirasainya.
“Kalau benar populariti Tasha yang sedikit ini boleh dikongsi dengan AwanBand dan membantu menjadikan klip video ini sesuatu yang berjaya, itu kan satu kerjasama yang baik dan amalan sihat yang patut dipupuk oleh semua penggiat dalam industri hiburan.
“Saya percaya sikap saling membantu antara satu sama lain dan mendukung karier masing-masing, industri hiburan akan lebih maju dan dihormati,” katanya pernah muncul dalam klip video, Shahir iaitu Luar Biasa.
Mengakui lebih dikenali sejak memenangi ABPBH2011, Tasha kini tersepit antara pendirian dan peluang. Baru-baru ini, dia menghadiri sebuah ‘casting’ filem di Singapura dan tidak disangka-sangka namanya disenarai pendek.
Filem itu, mengangkat kisah benar gitaris handalan dunia juga ‘singer-songwriter’, Jimi Hendrix.
“Tawaran diberikan memang menarik kerana boleh menjadi batu loncatan buat saya untuk mencipta nama di luar. Tambahan pula, saya amat mengagumi pencapaian Datuk Michelle Yeoh, artis Malaysia yang diiktiraf dunia dan kalau boleh mahu mengikuti jejak langkahnya.
“Tetapi saya perlu melihat dulu watak apa yang ingin diberikan. Saya ada menetapkan beberapa syarat di mana tidak mahu berpakaian seksi atau terbabit dalam adegan intim seperti bercium, di atas ranjang termasuk hal-hal yang bertentangan dengan agama.
“Saya masih menjunjung tinggi adat Melayu dan agama Islam, justeru itu, saya tidak mahu terbabit dengan sesuatu yang boleh mencalarkan maruah saya serta keluarga termasuklah mengguris hati penyokong saya yang rata-ratanya juga berbangsa Melayu.
“Jika pihak produser tidak boleh menerima syarat yang ditetapkan, saya sanggup lepaskan peluang asalkan tidak memperjudi maruah serta pendirian. Tidak mengapalah rezeki ada di mana-mana selagi kita rajin dan berusaha keras,” katanya.
Rezeki gadis persis wajah diva Krisdayanti itu, kebelakangan ini melimpah ruah. Penghujung Mei nanti iaitu 27 hingga 30, Tasha akan berangkat ke Jakarta untuk bertemu pelakon dan pengarah terkenal, Anjasmara bagi menyerahkan ‘portfolio’.
Bagaimanapun sebelum kunjungannya ke sana, Tasha sibuk di set penggambaran telefilem Saleha, arahan Ismail Yaakob, terbitan BKB Production khusus untuk slot Cerekarama, TV3.
“Saya memainkan watak Saleha seorang budak perempuan yang luarannya nampak normal tetapi sebenarnya ‘lembam’ (slow learner). Watak seperti ini sememangnya saya nanti-nantikan untuk menguji kemampuan serta mempelbagaikan lakonan,” katanya.
Terdahulu sebelum memasuki set penggambaran Saleha, Tasha baru saja selesai menjalani penggambaran drama Adiwira pertama terbitan RTM iaitu Adi & Meon.
Barangkali ramai peminat kepada gadis berasal dari Ampang, Selangor, itu tidak tahu bahawa Tasha, selain berbakat dalam bidang lakonan dia juga berkebolehan menyanyi. Khabarnya, dia memiliki suara yang boleh diketengahkan sebagai artis rakaman.
“Hahahaha! Nyanyi dekat karaoke bolehlah! Sebenarnya kalau ikutkan cita-cita saya dulu hendak jadi penyanyi, pelakon dan model tetapi saya letakkan nyanyian sebagai keutamaan.
“Pernah saya mengikuti uji bakat Akademi Fantasia dan Mentor, tetapi saya tak lulus ujian mungkin nyanyian saya tidak mencapai piawaian. Bila menceburi bidang lakonan pula, Alhamdulillah, rezeki saya berpihak di sini.
“Sekarang peluang sudah di depan mata, takkan hendak dipersiakan. Saya ingin memberi tumpuan sepenuhnya dalam bidang ini, mendapatkan watak-watak yang diinginkan. Kemudian, bila saya sudah mencapai satu kepuasan, masa itu hendak buat single ke atau album, barulah saya akan fikirkan.
“Baru-baru ini pun saya ada menerima tawaran mengacara di Astro tetapi saya tidak berani ambil kerana belum bersedia,” kata bintang Ratu The Movie dan Klik 3GP itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: