Awie ajak peminat melancong
Awie ajak peminat melancong

PROGRAM artis bercuti bersama peminat bukanlah satu perkara yang asing di negara ini. Selain dapat merapatkan silaturahim dan jurang di kalangan artis dan peminat, program percutian ini juga dapat membuka minda peminat dan artis meninjau destinasi menarik di tempat orang.

Terbaru, penyanyi rock terkenal, Awie mengajak peminat untuk bercuti ke Beijing dan Mongolia pada 28 Jun sehingga 3 Julai ini.

Program pelancongan enam hari lima malam itu adalah anjuran syarikat pengurusan Arlief Event & Management yang pertama kalinya menganjurkan program bercuti bersama artis ke luar negara.

Pengasas Arlief Event & Management, Muhammad Alif Haziq Azman berkata, syarikatnya memilih Awie kerana mengetahui pengaruh besar penyanyi itu yang mempunyai ramai peminat di negara ini.

Menurutnya, program tersebut juga adalah sebagai memberi peluang kepada vokalis kumpulan Wings itu untuk bermesra bersama peminat, selain memberi pengalaman pertama bercuti bersama peminatnya.

“Pertama kali menganjurkan program bercuti bersama artis, yang terfikir di kepala adalah Awie, memandangkan dia mempunyai ramai peminat di sini. Malah, saya juga adalah salah seorang peminat setianya dan membesar bersama-sama lagu Wings.

“Selepas memberitahu perancangan ini kepada Awie, nyata dia juga turut berminat dan secara tidak langsung, Awie turut membantu kami dalam memberi idea dan pandangan mengenai program ini,” katanya semasa sidang media pelancaran eks’PDC 1Malaysia bersama Awie ke Beijing dan Mongolia di Hotel Royal Bintang, baru-baru ini.

Dengan menawarkan pakej berharga RM2,990 seorang, program ini turut beri peluang syarikat menghulurkan sumbangan kepada tabung anak yatim yang ada di negara ini.

Bagi Awie pula, peluang percutian sambil beramal itu tidak sewajarnya dilepaskan memandangkan pakej berpatutan yang ditawarkan oleh syarikat pengurusan tersebut.

“Seharusnya peminat tidak melepaskan peluang untuk melancong ke sini memandangkan banyak tempat menarik yang ada di China. Saya difahamkan kita akan berada selama tiga hari di Beijing dan tiga hari lagi di Mongolia.

“Selain melancong ke tempat orang, kita boleh berkongsi idea dan ilmu dengan mereka di sana untuk dibawa balik ke Malaysia,” katanya yang akan turut memikirkan aktiviti lain yang boleh menghiburkan peminat sepanjang program ini nanti.