Tuesday, May 15, 2012

Artis Aquila Emas Perlu Bersih Daripada Masalah Disiplin

Syarizan (berdiri, kiri) bersama para artis baru dan lama di bawah syarikat pengurusannya, Aquila Emas.

KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan artis Aquila Emas akan memastikan artis-artis di bawah syarikatnya bersih daripada masalah disiplin termasuklah menepati masa selain mengutamakan reputasi.

Pengarah urusannya, Syarizan Md Isa berkata, dia tidak mahu artis naungan syarikatnya hanyut dengan populariti yang akhirnya gagal membawa mereka untuk berjaya dalam bidang seni.

"Kita tidak mahu mereka hanya mempunyai pelan jangka pendek dan tiada perancangan untuk kejayaan mereka pada masa akan datang.

"Sebab itulah kami mahu merancang perjalanan seni mereka melalui Aquila Emas," katanya kepada mStar Online di sini Isnin pada sesi memperkenalkan barisan artis baru syarikat tersebut bagi sesi 2012/2013.

Lima artis berkenaan adalah Akhmar Ridhwan, Eva Emmanyna, Riaz Sopian, Azlea Firash dan Saniza Sabran.

Aquila Emas juga turut memiliki artis lain iaitu Zizan Nin, Tony Eusoff, Juliana Ibrahim, Ixora Chern, Diana Johor, Bil Azali dan Rizal Ayub.

Sementara itu, Syafizan berkata, Aquila Emas telah mengembangkan perniagaan mereka apabila mula aktif dalam penerbitan drama dan rancangan televisyen bagi merancakkan lagi industri kandungan kreatif tanah air.

Antara telefilem terbitan syarikat itu adalah Bertemu Kasih yang diarahkan oleh Roslan Hussain dan sebuah program berjudul Genius.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: