|
TAHUN 2012 bukan permulaan yang positif buat Tasha Shila dalam mencorakkan fasa kedua usia perjalanan kariernya dalam industri lakonan.
Awal tahun ini, suasana industri hiburan tanah air dikejutkan dengan dakwaan pelakon filem Ratu The Movie itu terbabit dengan sebuah parti liar di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur dengan melakukan tarian tiang dan menjelang beberapa bulan selepas itu namanya dikaitkan pula dengan golongan kenamaan.
Baru-baru ini pula muncul gosip nakal membawa perkhabaran bahawa dia berlagak diva apabila sanggup mengusung trofi kemenangannya dalam Anugerah Bintang Popular 2011 untuk kategori Artis Baharu Wanita Popular ke mana-mana sahaja dia pergi.
Tasha yang ditemui di Holiday Villa Hotel and Suites, Subang, Selangor baru-baru ini menjawab dakwaan yang ditohmah terhadap dirinya itu.
Menurut pemilik nama sebenar Natasha Sheila Abd. Razak itu, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya sedikit kasar dan mengganggu kehidupan peribadinya. Ini kerana hal itu tidak benar sama sekali.
"Saya menafikan dakwaan bahawa saya mengusung trofi kemenangan saya merata-rata! Kenapa perlu saya berbuat demikian sedangkan umum sudah mengetahui akan kemenangan saya? Apatah lagi untuk berlagak dengan orang ramai, perkara ini mengarut dan tidak benar sama sekali," tegas pelakon berusia 25 tahun itu.
Berangan
Menurut Tasha lagi, dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya itu telah ditokok tambah dan dijadikan provokasi untuk memanaskan keadaan.
"Perkara ini terjadi selepas saya pulang dari Genting Highlands usai majlis tersebut pada hari Isnin bersama keluarga saya. Kebetulan saya singgah di Pavilion (Kuala Lumpur) untuk berjumpa dengan kawan baik saya, Reza yang bekerja di butik Prada.
"Dia antara individu yang sentiasa menyokong saya dalam industri dan perkenalan dengannya sudah lama terjalin iaitu sejak ketika saya bekerja di sana sebagai eksekutif kanan jualan sebelum bergelar artis.
|
"Jadi, saya memang membawa trofi itu untuk berkongsi saat-saat manis bersama kawan baik saya itu. Mungkin orang dari luar melihat saya di butik itu membuat andaian bahawa saya mengusung trofi merata-rata dan mahu menunjuk-nunjuk.
"Apa salahnya berkongsi kemenangan dengan kawan baik?" ujarnya yang kemudiannya menghabiskan masa bersama keluarga untuk makan tengah hari di restoran yang terletak berdekatan pada hari yang sama.
Sebagai pendatang baharu kata Tasha, dia sememangnya teruja dan gembira apabila namanya diumumkan sebagai pemenang dan langkah terbaik adalah berkongsi dengan kawan rapatnya.
Ditanya sama ada gosip yang disebarkan akibat hasad dengki sesetengah pihak yang tidak ditabalkan sebagai pemenang anugerah itu, Tasha lebih selesa mengunci mulut dan mengandaikan kalah menang adat bertanding.
Perasan bagus atau berangan barangkali frasa yang melampau untuk ditujukan kepada seseorang artis baharu. Namun Tasha dengan tenang menjawab perilaku itu sebenarnya berbalik kepada niat seseorang.
"Berangan, bagi saya sama sekali tidak, cuma orang salah erti pasal niat. Kalau difikirkan masing-masing layak menang cuma rezeki berpihak kepada saya. Hendak dikatakan popular pun, belum lagi sebab saya masih baharu dan banyak yang perlu dipelajari.
"Alhamdulillah, penghargaan yang diberikan merupakan permulaan yang bagus untuk memecut karier dalam bidang seni cuma perlu menyusun kerjaya dengan lebih teratur dan berhati-hati," katanya yang kini sedang berada di landasan yang betul sebagai anak seni.
Golongan kenamaan
|
Sudah beberapa lelaki yang bergelar Datuk telah dikaitkan dengan pelakon manis kelahiran Ampang, Selangor itu.
Sebelum ini kecoh juga isu dia mendapat tajaan dan kini hal itu diheret kembali ke kancah kontroversi.
"Saya mengaku saya memang banyak berhubung dengan golongan kenamaan sejak saya bekerja di butik Prada lagi. Ia juga sebelum saya bergelar artis dan mereka sebelum ini pelanggan tetap Tasha.
"Kalau berhubung pun sebelum ini sekadar pelanggan dan penjual, itu saja. Pelik juga tiba-tiba nama saya dikaitkan dengan macam-macam nama Datuk.
"Selepas saya berhenti bekerja di butik itu, saya tidak pernah berhubung dengan mana-mana Datuk atau golongan kenamaan pun. Cuma kalau terserempak, kami memang akan bertegur sapa saja," jelasnya yang sama sekali menafikan dirinya ditaja oleh golongan kenamaan berpangkat Datuk.
Tasha sekeras-kerasnya menafikan dakwaan dia ditaja dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada individu yang terlibat menyebarkan fitnah.
Bagaimanapun saat ditanya tentang kesahihan seorang lelaki berpangkat Datuk telah menaja kelab peminatnya sehingga dia dinobatkan sebagai artis baharu paling popular, Tasha mempunyai jawapan sendiri.
Katanya: "Saya tak tahu, mungkin tanpa pengetahuan saya, ada insan yang sudi menaja kelab peminat saya dan diucapkan terima kasih serta syukur Alhamdulillah.
"Kalau betul perkara yang diperkatakan mengenai lelaki berpangkat Datuk itu, terima kasih juga kepada yang sudi menaja."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: