Saturday, May 19, 2012

Ana tinggal anak di rumah kebajikan

Ana melayan dua anaknya yang ditinggalkan sementara di rumah kebajikan.

pertemuan dengan ibu muda ini berlaku secara tidak sengaja ketika penulis mengikuti program anjuran akhbar Utusan Malaysia di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah (RKKTB), Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam keriuhan majlis, pandangan penulis tumpah pada sosok tubuh seorang wanita muda duduk sendirian di satu sudut bagai menantikan seseorang.

Betul bagai diduga, seketika kemudian muncul seorang kakitangan RKKTB mendukung bayi sambil diekori seorang kanak-kanak menghampiri wanita tersebut.

Dirangkul dan dicium bersungguh-sungguh dua kanak-kanak tersebut bagai mahu melepaskan kerinduan yang mendalam.

Adegan tersebut mengusik hati penulis lantas mendekatinya. Bermula dengan bertanya khabar perbualan berlarutan hingga kepada kisah hidupnya

Sekadar mahu dipanggil Ana, dia mengakui sejak sebulan lalu kerap berulang-alik ke RKKTB bagi menjenguk dua anaknya yang diletakkan di rumah kebajikan itu.

"Biasanya penghuni di sini adalah kanak-kanak terbuang atau yang tidak diketahui ibu bapanya. Tapi dalam kes saya ini, saya sendiri yang menghantar anak saya ke sini untuk dijaga sementara.

"Sebab itu mereka benarkan saya datang menjenguk anak," kata Ana sambil tangannya pantas membuka kotak kecil berisi sepotong yang dibawa untuk anaknya.

Menurut Ana, bukan keinginannya untuk menghantar anak-anak ke situ sekali gus berpisah dengan dua jantung hatinya itu.

Lantaran tiada tempat tinggal sekadar menyewa bilik kecil, Ana akur dengan desakan keadaan meninggalkan bayinya yang baru berusia lima bulan Haikal dan anak sulongnya, Aina, 6.

"Ibu mana yang sanggup berpisah dengan anak. Tapi demi kebajikan dan keselamatan mereka saya rela berpisah sementara menunggu kehidupan saya stabil dan mempunyai tempat tinggal sempurna.

"Di mata orang luar mungkin melihat tindakan saya itu seolah tidak sayang anak tapi apa yang mereka tahu tentang kesusahan saya, " katanya sambil menyeka air mata yang mula bergenang.

Menurut Ana, segalanya bermula apabila suami yang juga bapa kepada anak-anak itu ditahan polis pada awal tahun ini kerana terlibat dengan najis dadah dan membeli motor curi.

Disebabkan kesalahan itu suaminya dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan Ana tiga beranak hilang tempat bergantung.

"Ketika kejadian tersebut berlaku, saya masih dalam pantang melahirkan Haikal di rumah ayah di kampung.

"Saya tidak sampai hati memberitahu ayah tentang penahanan suami, bimbang ayah terkejut dan jatuh sakit.

"Jadi selepas habis pantang saya merancang balik ke Kuala Lumpur walaupun sedar tidak ada rumah dan tempat untuk dituju.

"Beberapa hari sebelum keluar dari rumah ayah, saya turun ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja dan pada masa sama ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memohon menumpangkan anak-anak saya di rumah kebajikan.

"Sekali lagi saya terpaksa berbohong pada ayah mengatakan anak-anak saya dijaga adik saya kerana tidak mahu dia risau.

"Alhamdulillah saya dapat kerja walaupun sekadar menjadi juruwang di sebuah pusat beli-belah.

"Setakat ini saya cuma mampu untuk menyewa bilik. Insya-Allah apabila keadaan makin stabil, saya akan sewa rumah dan mengambil semula anak-anak saya," katanya.

Buat masa ini Ana mengakui terpaksa berendam air mata siang dan malam merindui anak-anaknya yang jauh dari pandangan matanya.

"Namun saya tiada pilihan. Setiap saat saya teringatkan mereka sehingga kadang-kadang kerja terganggu kerana banyak memikirkan nasib Haikal dan Aina.

"Walaupun di rumah kebajikan ini mereka dijaga dengan baik, tapi saya pasti anak-anak juga merindui ketiadaan saya. Kasihan mereka," katanya dengan iringan air mata yang semakin deras.

Ana mengakui rentetan kisah malang hidupnya mungkin bermula apabila dia mengambil keputusan untuk menikahi Amar (bukan nama sebenar) biarpun menyedari lelaki itu penagih dadah.

Semuanya kerana didorong oleh perasaan cinta dan sayang yang mendalam.

"Kami berkenalan di Genting Highlands. Ketika itu saya bekerja sebagai pembantu tukang masak dan suami pula bekerja di sebuah pusat karaoke.

"Walaupun tahu dia penagih dadah saya tak kisah berkahwin dengannya kerana dia seorang yang baik dan yakin dia mampu membimbing saya," katanya jujur.

Sangkaan suami akan berubah setelah berkahwin nyata meleset sama sekali malah ketagihan kepada dadah semakin menjadi-jadi.

Malah Ana mengakui sepanjang berkahwin dialah yang banyak membantu dan menyara keperluan keluarga berbanding suami.

"Suami kalau kerja sekalipun tidak kekal dan sering bertukar-tukar kerja menyebabkan pendapatan keluarga tidak cukup.

"Disebabkan itu juga, pernah beberapa kali kami sekeluarga dihalau dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar sewa.

"Kami sekeluarga juga sudah biasa menumpang tidur di surau atau masjid kerana tiada ada tempat tinggal setiap kali dihalau pemilik rumah," katanya.

Ditanya soalan kenapa tidak ditinggalkan saja suami yang ketagihan dadah itu, katanya, rasa sayang masih menebal lagi pun anak-anak rapat dengan bapa mereka.

Ketika ini Ana hanya mampu berdoa semoga suaminya berubah setelah keluar dari penjara nanti demi masa depan mereka sekeluarga.

"Tapi kalau dia tidak berubah dan masih dengan tabiat lama, saya mungkin tidak ada pilihan berpisah dengannya demi masa depan anak-anak kami," katanya.

Ana juga mengharapkan ada pihak yang bersimpati terutama mendapatkannya rumah sewa bagi membolehkan dia membawa pulang anak-anaknya lebih cepat.

Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Ana di talian 012-2163409.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: