
KUCHING - Malam kemuncak sambutan World Harvest Festival (WHF) 2012 anjuran Kampung Budaya Sarawak yang dijadualkan pada 26 Mei ini dijangka berlangsung dalam suasana meriah dan bakal menarik lebih 5,000 pengunjung.
Pengurus Besar Kampung Budaya Sarawak, Jane Lian Labang berkata, acara tahunan tersebut semakin mendapat tempat bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan malah diminati para pelancong dari luar negara.
Menurutnya, program tersebut pada asalnya bermula dengan nama Gawai Tourism Night pada tahun 1998 tetapi telah ditukar kepada WHF pada 2006 ekoran sambutan hangat daripada pelbagai pihak.
"World Harvest Festival diadakan sempena sambutan Hari Gawai Dayak yang meraikan kemenangan selepas habis musim menuai padi dan kita cuba menjadikan acara ini satu program bertaraf antarabangsa.
"Ini kerana menuai bukan hanya terhad di Sarawak, bahkan di negara-negara lain turut ada aktiviti yang sama. Kita ingin memulakan festival ini sebagai model kepada sambutan-sambutan perayaan yang lain," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Jane memberitahu, WHF kali ini menjanjikan pengalaman berharga kepada pengunjung iaitu pementasan drama tari berlatar belakang prop alam semula jadi yang tidak dipersembahkan di tempat lain.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: