Friday, May 11, 2012

10 tahun di gelanggang dakwah

LEBAR SAYAP...menerusi UNICDOTMY PRO Sdn Bhd, UNIC meneroka bidang berbeza antaranya bidang konsultan.
LEBAR SAYAP...menerusi UNICDOTMY PRO Sdn Bhd, UNIC meneroka bidang berbeza antaranya bidang konsultan.

MEREKA agak tenggelam dek populariti dikecapi oleh penyanyi nasyid senior seperti Raihan, Rabbani dan Hijjaz. Bagaimanapun UNIC yang ditubuhkan sejak 2002 tetap mempunyai peminat tersendiri terutama di kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan golongan remaja.

Buktinya, album mereka berjudul You & I See berkonsep pop nasyid berjaya mencatat jualan melebihi 40,000 unit pada tahun yang sama. Namun memegang status kumpulan popular bukanlah mudah kerana pelbagai gelombang turut melanda UNIC.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Akhirnya, pada 2009 berlaku perubahan apabila dua anggota asal iaitu Hafiz Hamidun dan Fitri menarik diri menyaksikan UNIC kekal dianggotai oleh Ahmad Fadzli Ab. Aziz, Bazli Hazwan Che Osman dan Mohd Fakhrulradhi Khamaruddin.

“Sepanjang berada dalam industri seni, UNIC juga mengalami banyak halangan dan pasang surut sehingga menyaksikan pertukaran anggota. Bagaimanapun selepas itu kami melakukan penjenamaan semula dalam semua bidang termasuk lagu, lirik, kelab peminat dan sebagainya lagi.


“Bagi kami, UNIC bukan berdiri atas individu sebaliknya kerana lagu dan nama sendiri. Ini boleh dilihat apabila sokongan peminat menerusi laman fanpage facebook kami disukai oleh 227,000 peminat.


“Ini menjadi inspirasi untuk kami terus berkarya. Bahkan ia juga sebagai tanda aras kejayaan kami yang berdikari selepas meninggalkan Hijjaz Records pada 2008,” kata Bazli.

Menyambung cerita, Bazli memberitahu pelbagai kejayaan lain turut diraih antaranya UNIC dijemput mengadakan persembahan di Afrika Selatan untuk Islamic Festival. Mereka juga turut mengadakan persembahan di Thailand dan berduet dengan penyanyi dari Perancis.

“Kami berbesar hati apabila penyanyi bernama Le Rappel yang terkenal sebagai penasyid solo Perancis sudi bekerjasama dengan UNIC. Lagu pilihannya ialah lagu UNIC sendiri iaitu Binnabil Huda yang akan dikeluarkan tidak lama lagi.

“Alhamdulillah lagu ini juga baru muncul pemenang kategori Nasyeed Selawat dalam Anugerah Nasyid yang berlangsung baru-baru ini. Ini terus memberikan kami semangat untuk terus berjuang dalam bidang seni khususnya dakwah.

“Kami turut gembira kerana artis nasyid popular Amerika Syarikat, Zain Bikha juga sudi berkolaborasi dengan UNIC menerusi lagu Gift Thanks To Allah. Ini adalah lagu asal beliau namun diberikan nafas baru.

“Proses rakamannya sedang berlangsung dan dibuat secara berasingan. Insya-Allah kami menjangkakan ia menemui peminat pada tahun ini juga,” tambah Bazli lagi.

Diam tak diam, UNIC sudah 10 tahun berada di gelanggang dakwah dan bagi mereka konsep hiburan perlu diubah. Tampil dengan slogan Hiburan Berilmu Rohani Terpandu, tiga anak muda ini mahukan persembahan mereka meninggalkan input yang boleh dikongsi bersama peminat.

“Menerusi pengalaman dan ilmu yang ditimba dalam industri nasyid dan pelajaran, UNIC sedang menguruskan syarikat-syarikat sendiri di bawah bumbung UNICDOTMY PRO Sdn Bhd.

“Ia terdiri dari UNIC Records yang menjalankan bisnes penerbitan album nasyid, zikir, bacaan Al-Quran dan motivasi. UNIC Nasyeed & Training Consultants bagi mengurus jadual persembahan dan aktiviti UNIC dan khidmat perundingan motivasi di sekolah, IPT, sektor swasta dan kerajaan. Satu lagi ialah UNIC MySHOP bagi menyelia urus niaga secara atas talian (online).

“Kursus motivasi dan latihan bermula secara serius sejak Disember lalu. Kami beruntung kerana setiap anggota ada kelulusan dalam bidang masing-masing. Saya berkelulusan ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan & Kaunseling) dengan Kepujian Kelas Pertama Universiti Putra Malaysia dan turut memiliki anugerah kepujian lain.

“Bazli pula lulusan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah Jabatan Tafsir Universiti Al Azhar dan kepujian lain. Manakala Fakhrul ialah lulusan ijazah Sarjana Muda Usuluddin, Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kedah di samping memiliki anugerah kepujian lain. Dia juga juara musim ketiga Akademi Al-Quran TV9.

“Inspirasi untuk menceburi bidang ini terhasil selepas melihat pencapaian Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah. Dia bukan saja hebat sebagai bekas pensyarah tapi bakatnya merangkumi pelbagai bidang.

“Alhamdulillah kami mendapat kerjasama pelbagai pihak dari sekolah, jabatan kerajaan dan swasta serta pelajar IPT yang sering menggunakan khidmat kami. Selain kami bertiga, kami juga ada fasilitator yang dilantik khas dan panel penceramah undangan.

“Kami gunakan slogan Hiburan Berilmu Rohani Terpandu kerana inginkan dalam hiburan ada ilmu. Kami mendekati pelajar dan turun sehingga ke dasar dan setiap bulan ada program sebegini.

“Untung ada penganjur yang minta kami gabungkan konsert dan motivasi. Secara tak langsung, kami dapat guna modul kursus yang digarap sendiri berdasarkan kehendak penganjur. Kami berikan ikut modul yang ditetapkan dan menerima reaksi positif dari semua pihak,” kata Fadzli.

Tumpuan terhadap bisnes baru langsung tidak menjejaskan komitmen UNIC sebagai penyanyi. Mereka baru saja tampil dengan album berjudul UNIC Special Edition dan album Selawat Relaksasi.

“UNIC Special Edition memuatkan lagu dan doa-doa. Ia mula dipasarkan sejak 12 Februari lalu dan jualannya kini sudah hampir 10,000 unit. Manakala Selawat Relaksasi pula dihasilkan sebagai satu cara untuk meredakan ketegangan fikiran.

“Selawat adalah subjek utama album ini dan penghasilannya mengambil masa lama kerana kami mengkaji secara terperinci mengenai elemen terapi diri. Susunan muziknya dibuat oleh Along Exist.

“Kami percaya alunan selawat dalam album ini mampu menurunkan gelombang di dalam diri kita dan meletakkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang. Itulah sebabnya kami tak galakkan pendengar memasang lagunya dengan kuat. Peminat boleh memiliki album ini di kedai muzik dan agama serta menerusi www.unic.my,” kata Fakhrul pula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: