Tuesday, April 3, 2012

Sammi wajah baharu Skechers

BARISAN model dan selebriti tempatan meraikan pelantikan Sammi sebagai duta Skechers.


JENAMA kasut dari Amerika Syarikat (AS), Skechers baru-baru ini melancarkan keluaran baharu mereka iaitu Skechers GOrun.

Bagi membuktikan pengukuhan mereka di Asia, jenama kasut nombor dua di AS itu telah melantik pelakon dan penyanyi Hong Kong, Sammi Cheng sebagai jurucakap rasmi mereka.

Ia juga merupakan sebahagian daripada kempen bagi mempromosikan produk terbaharu mereka itu yang sudah pun berada di semua stor di seluruh dunia.

Timbalan Presiden Skechers Hong Kong dan Asia Tenggara, Vincent Leung menyatakan bahawa, Sammi merupakan antara 10 selebriti Asia paling berpengaruh dalam dunia fesyen.

“Skechers GOrun adalah gabungan fesyen dan teknologi yang sangat sesuai untuk gaya hidup aktif Sammi,” jelas Vincent pada majlis pelancaran Skechers GOrun di Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Vincent turut memberitahu, dalam tempoh 18 tahun lalu, Skechers telah berjaya mengekalkan imej jenama mereka dengan menjadikan artis dan atlet berpengaruh dunia selaku jurucakap.

“Britney Spears, Christina Aguilera, Carrie Underwood, Robert Downey Jr., Kim Kardashian dan Joe Montana menjadi bukti kepercayaan individu ini terhadap keupayaan Skechers.

“Disebabkan permintaan yang tinggi di Asia, kami bercadang menjadikan Sammi sebagai ikon kecergasan Skechers. Dengan pelantikan ini, orang Asia akan berasa lebih dekat dengan personaliti kebanggaan mereka,” jelas Vincent.

Sementara itu, Sammi yang turut ditemui di Pavilion pada majlis pelancaran itu menyatakan, ini merupakan kali pertama beliau menjadi jurucakap untuk kasut kecergasan profesional.

Tambah Sammi, beliau suka membeli kasut sukan yang berkualiti tinggi kerana ia tahan lama dan dapat memaksimumkan prestasi ketika beriadah.

“Semenjak saya memakai Skechers GOrun ini, kecergasan diri saya dapat dikekalkan sepanjang hari. Kombinasi rekaannya yang stailo juga mampu menarik perhatian ramai.

“Warna-warna terang yang digunakan meningkatkan semangat si pemakai dan yang paling penting, ia tidak akan menghampakan anda,” ujar Sammi yang berjoging sejauh tujuh hingga sembilan kilometer (km) setiap hari.

Selain reka bentuk dan warna Skechers GOrun yang menarik, Sammi turut memberitahu, beliau sangat tertarik dengan sifat kasut tersebut yang ringan dan selesa.

Sebagai seorang individu yang suka berjoging, kelainan yang dirasai Sammi ketika menyarungkan kasut itu membuatkan beliau rasa perbezaan besar saat menyarung kasut tersebut.

Teknologi sensor

Skechers GOrun merupakan produk pertama yang dilancarkan di bawah koleksi GOimpulse. Ia menggunakan teknologi sensor bagi memberi tindak balas kepada otak.

Si pemakai akan mengesan tindak balas tersebut dan memperbetulkan posisi larian mereka sekali gus menjadikan larian lebih selesa.

Menggunakan teknologi serupa, koleksi GOimpulse juga akan melibatkan Skechers GOtrain, GOwalk dan GOplay yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Buat masa ini, Skechers GOrun telah pun menjengah pasaran dan dijual pada harga RM379 untuk lelaki dan RM339 buat wanita.

Skechers pernah dinobatkan sebagai produk kecergasan terbaik oleh Health.com pada 2011 dan merangkul gelaran jenama terhangat AS pada 2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: