Monday, April 30, 2012

Jejak Portugis di Melaka

BARANG siapa yang ingin menawan Venice, Itali sekitar 500 tahun lalu, mereka perlu berjaya menawan Melaka. Begitulah hebatnya Melaka sebagai kota perdagangan dunia pada masa itu yang digambarkan pelayar Portugal, Tom Pires dalam bukunya Suma Oriental.

Atas sebab itulah, penjajah Eropah mula berminat untuk menakluki Melaka yang menjanjikan sumber kekayaan dunia dan menguasai bahagian timur dunia ketika itu.

Hasil dagangan utama seperti rempah ratus yang harganya lebih tinggi daripada emas membuatkan orang Eropah begitu berminat untuk menawan kota masyhur berkenaan.

Niat mereka akhirnya kesampaian apabila bangsa Eropah yang dipelopori Portugis berjaya menakluki Melaka pada 24 Ogos 1511, sekali gus meruntuhkan Empayar Melayu Melaka pada era pemerintahan Sultan Mahmud Shah.

Gabenor dan Ketua Nakhoda Portugis di Timur, Alfonso D’ Albuquerque merupakan individu yang bertanggungjawab menakluki Melaka bersama 800 tentera Portugis dan 600 India Malabar dari Goa.

Itulah perjalanan sejarah yang menjadikan Melaka hari ini masih dipenuhi peninggalan Portugis seperti gereja, kubur dan juga kota lama.

Walaupun peristiwa itu telah berlaku lebih 500 tahun lalu, peninggalannya masih dirasai termasuk sebuah kampung yang dibuka pada 1930 bagi menempatkan kaum Portugis.

Kampung yang terletak di Ujong Pasir itu turut diwartakan sebagai perkampungan warisan oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2002.

Wartawan S2, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan jurugambar ASWAD YAHYA menjejaki kehidupan masyarakat Portugis dan sejarah perkampungan itu.

Selain itu, ia turut menyingkap peninggalan Portugis yang merupakan penjajah Eropah pertama bertapak di Melaka.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: