Saturday, April 28, 2012

1199 Panigale, ciptaan termaju Ducati



KORIDOR sepanjang 80 kilometer di antara daerah Reggio Emilia dan Bologna di Itali merupakan lokasi kelahiran banyak jenama kenderaan unggul dan eksotik dunia.

Antaranya ialah Ferrari, Lamborghini, Maserati, De Tomaso, Stanguellini, Pagani dan Ducati.

Kawasan yang dikenali sebagai Motor Valley itu dikelilingi oleh ratusan perniagaan kecil dan besar mendokong minat sama. Cinta terhadap prestasi tinggi dan semangat perlumbaan.

Meskipun jenama-jenama tersebut sudah dikenali umum di persada antarabangsa, masih ada juga pengeluar yang berbesar hati menamakan produk keluaran dengan nama kampung halaman sendiri.

Itulah yang dilakukan Ducati terhadap motosikal 1199 Panigale. Jentera berkuasa tinggi berkenaan diberi nama sempena kilang pengeluarannya di Borgo Panigale, Bologna.

Penampilan sulung motosikal terbaharu Ducati itu diadakan sewaktu Pameran Motosikal Milan (EICMA) di Itali, November lalu. Tiga varian iaitu 1199 Panigale, 1199 Panigale S dan 1199 Panigale S Tricolore dipertontonkan kepada orang ramai.

Kemunculan produk terbaharu itu menjadi topik perbualan para peminat motosikal serata dunia ekoran pembaharuan yang dibuat oleh Ducati.

“Ia adalah projek paling istimewa dalam sejarah Ducati. Jentera ini menguji kecemerlangan kejuruteraan dan soal emosi produk jenama kami dalam pasaran yang amat berdaya saing.


DARI kiri: Mukhriz, SM Faisal dan Bordiga pada majlis pelancaran 1199 Panigale di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


“Motosikal ini mewakili gaya asli Itali, pusat rujukan berkaitan prestasi dan peningkatan aspek keselamatan untuk pengguna di atas jalan mahupun di litar perlumbaan,” demikian kata Presiden Ducati, Gabriele Del Torchio.

Baru-baru ini, Next Bike Sdn. Bhd. (Next Bike) memperkenalkan ketiga-tiga varian 1199 Panigale untuk pasaran tempatan.

Anak syarikat Kumpulan Naza itu merupakan pengedar dan pengimport tunggal jenama Ducati di Malaysia. Percaya atau tidak, sudah ada lebih daripada 30 tempahan diterima untuk model berkenaan.

Majlis pelancaran 1199 Panigale disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, Ketua Pegawai Eksekutif Ducati Asia Pasifik, Mirko Bordiga dan Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.

Casis Monokok

Model 1199 Panigale tidak lagi mengguna pakai kerangka tradisional (trellis) Ducati. Kali ini, kerangka jenis monokok digunakan. Ia membantu mengurangkan berat jentera kira-kira 10 kilogram (kg).

Enjin baharu yang dinamakan sebagai Superquadro dipasang pada model itu. Ia juga berperanan sebagai penghubung lengan ayun, kerangka hadapan dan sub-bingkai hadapan dan belakang jentera.

Jika dibandingkan dengan model sebelumnya, Ducati 1198 Panigale, enjin Superquadro menawarkan kuasa kuda tambahan sebanyak 25hp. Ketiga-tiga varian 1199 Panigale dilengkapi tiga mode tunggangan iaitu Race, Sport dan Wet.


SUSPENSI Ohlins TTX36 yang boleh dilaras secara elektronik.


Bagi sistem suspensi varian 1199 Panigale, Ducati memasang fork hadapan baharu boleh laras jenis Marzocchi 50 milimeter (mm). Sementara suspensi jenama Sachs boleh laras dipasang pada roda belakang.

Untuk varian 1199 Panigale S and Tricolore pula, fork hadapan dan penyerap hentak tunggal belakang melibatkan komponen daripada Ohlins NIX30 43mm dan Ohlins TTX36. Tugas memberhentikan jentera seberat 164kg itu diserahkan kepada brek jenama Brembo.

Roda hadapan dilengkapi dua set brek cakera berukuran 330mm dan angkup Brembo Monobloc M50 empat omboh. Roda belakang menggunakan brek cakera bersaiz 245mm dan omboh berkembar.

Jika melihat model 1199 Panigale tanpa penutup (cover set), anda pasti terpegun dengan kekemasan rekaannya. Boleh dikatakan tidak ada ruang kosong langsung pada bahagian enjin.

Lihat sahaja ekzos model yang melingkar dari atas hingga ke bahagian bawah enjin. Ternyata jurutera-jurutera Ducati melakukan kerja yang cukup teliti dalam rekaan dan pembangunan 1199 Panigale.

Bagi memastikan jentera tersebut selesa ditunggang di atas jalan dan litar, Ducati memberi pelbagai sentuhan teknologi termaju bantuan tunggangan yang sofistikated.

Antaranya, Ducati Traction Control (DCT), Ducati Electronic Suspension (DES), Ducati Quick-Shift (DQS), Engine Brake Control (EBC), ABS dan sistem pendikit minyak Ride-by-Wire.

Pelaburan RM5 juta

Seiring dengan pelancaran 1199 Panigale, sebuah pusat Ducati dengan keluasan 1,394 meter persegi dibuka di Naza Automall di Petaling Jaya. Ia membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM5 juta.

Premis berkenaan dilengkapi kemudahan lapan ruang menyelenggara jentera, pusat selepas jualan, pusat talaan suspensi, pusat kecergasan, bilik pameran, tempat rehat dan jualan. Mekanik di sana juga sudah menerima latihan daripada Ducati.


PAPARAN meter berwarna transistor filem nipis (TFT) berubah warna mengikut persekitaran tunggangan.


Pelaburan signifikan itu mencerminkan objektif perjalanan Ducati di negara ini. Jelas Kumpulan Naza mahu memberikan yang terbaik untuk jenama tersebut dan para pemilik jentera berkenaan.

Bak kata Bordiga, Malaysia merupakan pasaran kedua terbesar buat jenama Itali itu di rantau Asia Pasifik. Beliau juga optimis unjuran jualan sebanyak 758 unit pada tahun 2012 mampu dicapai. Harapannya, Malaysia menjadi pasaran utama Ducati di rantau ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: