|
SEWAKTU kecil, aksi lasaknya dengan motosikal membuatkan ahli keluarga terutama ibunya sentiasa dihantui kebimbangan. Bagaimanapun kata Eigo Sato, keghairahannya menunggang motosikal seperti tidak mampu dikawal lagi.
Ujar lelaki itu, memang agak pelik apabila mendengar seorang kanak-kanak berusia seawal umur empat tahun sudah ghairah menunggang motosikal.
"Tapi itulah saya," katanya sambil tertawa kecil.
Namun kata Sato, apa juga persepsi yang dilemparkan kepadanya, dia tidak kisah.
Ceritanya ketika ditemui dalam satu pertemuan baru-baru ini, pada peringkat awal berkecimpung dalam arena sukan ekstrem itu, tanah lapang di sekitar Fukushima menjadi tempat dia akan mengekspresikan keghairahannya.
"Apabila sudah minat, kita sanggup melakukan apa sahaja," katanya sambil menyifatkan dirinya seorang yang suka dengan cabaran dan berani melakukan sesuatu di luar norma kebiasaan.
Kata Sato, sukan motor lasak sering dikaitkan dengan kecederaan. Bapa kepada dua anak itu secara berseloroh berkata, dia sudah lali dengan kecederaan.
Ada kebenaran di sebalik kata-katanya. Ketika wawancara sedang rancak berlangsung, dia acapkali memegang pinggangnya dan sekali-sekala membetulkan posisi duduknya.
"Pinggang saya tercedera ketika berlatih sebelum pertandingan Red Bull X-Fighters FMX berlangsung baru-baru ini. Saya sudah pergi urut tapi kesannya masih terasa," ungkapnya perlahan.
Sememangnya Sato seorang yang senang untuk didekati dan peramah. Ahli sukan antarabangsa itu juga tidak lokek menceritakan tentang susur galur dan kerjayanya.
Kata anak kelahiran Fukushima, Jepun itu lagi, kemuncak kepada minatnya dalam sukan motor lasak atau motocross itu bermula tatkala dia menonton sebuah video yang memaparkan aksi seorang penunggang motosikal profesional beraksi pada satu kejohanan.
"Pada waktu itu, aksi lasak berkenaan masih belum ada nama khusus. Tapi selepas ia mula mendapat perhatian, baharulah ia dikenali sebagai International Freestyler Motocross (FMX).
"Sejak itu, kesukaan saya kepada sukan ini semakin meluap-luap dan tak mampu dihalang oleh sesiapa lagi," katanya yang terbang ke Amerika Syarikat (AS) untuk mempelajari dan mengadakan latihan di salah sebuah pusat sukan motor lasak di negara itu.
Peminat fanatik
Kepada sesetengah rakyat Malaysia, sukan ekstrem itu barangkali kurang meniti di bibir masyarakat. Namun, ia mempunyai kumpulan peminat fanatiknya tersendiri dan nama Sato bukan asing kerana dia merupakan jaguh yang bukan calang-calang.
Selain dinobatkan sebagai rakyat Jepun pertama yang paling cemerlang dalam FMX pada tahun 2003, kejayaan berturut-turut yang dilakarkannya sejak tahun 2005 hingga 2012, meletakkan dirinya dalam kelompok 10 penunggang motor lasak terbaik dunia.
Untuk rekod, Sato daripada pasukan Freaking Good Motor-X Tour (FGMT) merupakan antara perintis kepada sukan ekstrem berkenaan di negara Matahari Terbit itu.
Bersua muka dengannya usai tamat pertandingan Red Bull X-Fighter FMX di Jumeirah, Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini, sememangnya penulis menemui sisi lain seorang yang bernama Sato.
Lelaki yang hanya tampil santai dengan baju T berwarna gelap, berseluar pendek dan bertopi itu memberitahu, karakternya sama sekali tidak sama seperti beraksi di gelanggang yang berlitarkan tanah dan debu.
"Bila menunggang motosikal, kita kena 100 peratus menumpukan perhatian, kita kena serius tetapi apabila di luar, saya seperti orang lain.
"Apabila berada di rumah pula, saya adalah bapa kepada seorang isteri dan dua anak yang sedang membesar," katanya yang terus menyeluk telefon bimbit iPhone dari kocek seluarnya secara tiba-tiba.
Sambil tersenyum-simpul, seperti mengimbau memori-memori indah, dia menunjukkan satu persatu foto keluarganya kepada penulis. Ujarnya, setiap gambar yang dirakamnya, ada cerita di sebaliknya.
"Saya nampak lainkan bila saya berada di rumah? Mahu tahu kenapa? Di rumah saya adalah seorang bapa kepada dua cahaya mata iaitu Sato Edai, 2, dan Sato Anna, enam bulan. Apabila berada di rumah, tanggungjawab saya lebih besar," katanya yang fasih berbahasa Inggeris.
Sato galak bercerita tentang sukan yang sudah pun menjadi kariernya sejak tahun 1982. Lelaki berusia 34 tahun itu mengakui, wujud kebimbangan dalam kalangan keluarga dan isterinya, Sato Kaori meskipun sudah lebih dua dekad dia beraksi dalam pertandingan di merata ceruk dunia.
Terbang di udara
"Keluarga saya memberi saya sokongan sepenuhnya tapi mereka tak dapat menyembunyikan ketakutan mereka apabila melihat saya cedera.
"Tapi apa-apa pun saya tetap tidak akan berganjak dan tak akan berhenti daripada menunggang motosikal," tegasnya.
Terbang di udara bersama motosikal yang lebih berat daripada berat badannya itu, membuatkan diri Sato puas.
"Apabila saya melakukan pelbagai aksi terbang di udara, mata saya akan terus memandang ke langit dan daripada situlah, seorang pemandu seperti saya terasa diri bebas dan kuat," ujarnya.
Sesungguhnya, perjalanan Sato sebagai penunggang motor lasak dunia tidak mudah seperti yang disangka.
Dia berterus-terang memberitahu, kerajaan negeri Jepun tidak menyokong kerjayanya sebagai penunggang sukan motor lasak.
Ujar Sato, kerajaannya masih berpegang kepada prinsip bahawa sukan ekstrem itu membahaya nyawa rakyatnya.
Namun begitu, persepsi itu secara perlahan-lahan cuba dikikisnya apabila tahun demi tahun, dia menghadiahkan kejayaan demi kejayaan dalam pertandingan yang disertainya di peringkat dunia.
Dalam pada itu, Sato mengakui bahawa sukan itu sering dikaitkan dengan gejala negatif.
"Sebenarnya ia sekadar imej yang sengaja dan sering digembar-gemburkan saja tapi hakikatnya, pandangan itu tidak tepat. Lagipun, untuk sukan ini, kami tidak berada di atas jalan raya tetapi di atas tanah. Kami juga tidak menunggang secara semberono sebaliknya memakai kelengkapan keselamatan dan sukan ini sudah diiktiraf dunia," katanya panjang lebar.
Sato memberitahu, dia mempunyai gagasan besar untuk sukan motocross dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi.
Selain mahu menganjurkan lebih banyak lagi kejohanan di Jepun, dia bersama-sama rakan-rakannya mahu melebar dan mempopularkan sukan ini di peringkat Asia Tenggara. Inisiatif Sato itu akan bermula pada Himpunan Jutaan Belia 2012 pada 23 hingga 27 Mei ini apabila dia akan beraksi bersama pasukannya sepanjang perhimpunan itu berlangsung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: