Monday, April 30, 2012

Tatu moden di wilayah konservatif


SATHISH (kanan) sanggup membelanjakan beribu rupee (Rs) demi mencacah tatu di lengannya.


SATHISH KUMAR, 23, ialah antara remaja terawal yang mengenakan tatu moden di spa dan salun lelaki, Fair On, di wilayah Vellore di Tamil Nadu. Namun, dia terpaksa menyembunyikan tatunya daripada ahli keluarga yang lain termasuk harga yang telah dibayarnya.

Dalam masyarakat Hindu di India, mencacah tatu bukanlah perkara baharu. Generasi demi generasi, amalan bertatu sudah ada dalam kalangan komuniti tersebut.

Begitupun, tatu yang dimaksudkan itu hanyalah berdasarkan simbol-simbol tertentu dan bersaiz kecil iaitu sama ada di pergelangan tangan, lengan, dada atau tanda bindi di tengah dahi.

Lazimnya tanda itu terdiri daripada nama mereka, nama ibu bapa, suami atau isteri, tuhan, simbol keagamaan atau huruf pertama nama seseorang.

Tindakan remaja muda seperti Sathish mengenakan tatu moden iaitu imej zodiak kelahiran secara abstrak dilihat bertentangan dengan gaya hidup tipikal mereka.

"Saya teruja melihat tatu kerana ia melambangkan keberanian seseorang berhadapan dengan prosedur yang menggerunkan.

"Bayangkan selama satu hingga dua atau tiga jam, anda perlu menahan sakit dan lelehan darah. Tetapi, selepas itu, anda dilihat seperti hero," kata lelaki muda yang tinggal bersama keluarga di jalan pejabat RTO Fasa 2, Sathuvachari, Vellore.

Namun, tindakannya itu sama sekali tidak disenangi ahli keluarga.

Pengaruh Barat

"Saya tidak dapat berkata apa-apa kerana dia sudah melakukannya. Saya memang tidak menyukai. Nenek dan ibu Sathish juga tidak menyenangi perbuatan itu.

"Tetapi remaja sekarang enggan mendengar nasihat kami. Mereka hanya mahu kelihatan glamor, angkara pengaruh dunia hiburan Barat," kata bapa Satish, Devaraj, 50 yang turut ditemani isterinya yang hanya mahu dikenali Suri, 46.

Pemilik Fair On, D. Thanasegaran, 29, percaya lebih ramai pemuda dan belia akan tampil di salonnya untuk mencacah tatu sekali gus meninggalkan jauh tabu terhadap tatu moden tersebut.

"Ia bukan sesuatu yang baru dibuat, cuma rekaannya yang baharu - lebih besar atau berani. Itu yang kurang disenangi golongan tua.

"Harganya pula lebih mahal daripada tatu tradisional tetapi di sini kami mengenakan harga yang jauh lebih murah berbanding Chennai (ibu negeri Tamil Nadu) yang hanya dua jam perjalanan dari sini," kata Ramesh merujuk kepada tatu Sathish yang berharga Rp1,800 (RM130).

Menyifatkan tatu sebagai trend yang kian berkembang, Ramesh, antara pembuat tatu moden terawal di Vellore iaitu sejak dua tahun lalu melakukan pelbagai promosi dan pengiklanan termasuk di televisyen wilayah mereka.

"Iklan sahaja, kami membelanjakan 10,600 rupee (RM700). Kami mengikut prosedur keselamatan seperti mensteril jarum dan tidak mengulang guna. Dakwat dan bahan pembuatan juga dipastikan bersih dan selamat."

Tarik perhatian gadis

Sathish sudah dua kali membuat tatu moden itu dan ia dilakukan tanpa kebenaran ahli keluarga. Kini dia berhasrat mencari rekaan yang paling sesuai untuk tatu ketiganya. Selepas tatu pertama di lengan kiri dan kedua di jari, dia mahukan tatu ketiga di tangan kanan pula.

"Tatu pertama saya berada di bahagian atas lengan, ia tidak begitu kelihatan jika saya pakai kemeja T. Jadi saya mahu buat sedikit ke bawah, supaya ia mudah kelihatan," katanya.

Seorang lagi rakan Sathish yang turut membuat tatu ialah Harish Nagaraj, 20. Juga tanpa kebenaran keluarga, Harish sudah memiliki dua cacahan tatu iaitu imej bumi di lengan kiri dan satu lagi di jari cincin kanan bermotif huruf N yang mewakili huruf pertama nama bapanya.

"Saya diperkenalkan oleh Sathish. Ia sangat trendy. Apabila anda mempunyai tatu sebegini, ia menarik perhatian orang, khususnya gadis di kolej saya," kata Harish sambil tersenyum, satu lagi sebab mengapa remaja muda sepertinya meminati tatu.

"Trendy, glamour atau untuk menarik perhatian, semua itu alasan sahaja. Mereka sangat terpengaruh dengan budaya barat yang kurang sihat.

"Walaupun tatu satu tradisi lama, ia sudahpun dimanipulasi dengan idea kemodenan yang tidak sihat," kata seorang warga tua di jalan yang sama, K. Muniamma, 84.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: