Monday, April 30, 2012

Ketenangan di Eagle Nest Eco Resort

KHEMAH gergasi yang disediakan di Eagle Nest Eco Resort, Ulu Yam, Selangor ini mampu memuatkan sehingga 16 orang dalam satu-satu masa.

SEKIRANYA anda masih tercari-cari lokasi bagi melakukan aktiviti lasak terutama pada hujung minggu, apa kata berkunjung ke Eagle Nest Outbound Adventure Eco Resort atau nama singkatannya Eagle Nest Eco Resort (ENER) di Ulu Yam, Selangor.

ENER yang terletak 75 kilometer dari ibu kota merupakan pilihan paling tepat bagi mereka yang mahu melakukan aktiviti lasak dan mencari ketenangan jauh dari hiruk-pikuk kota.

Menariknya, resort ini terletak berhampiran air terjun tiga tingkat Sungai Sendat yang sering menjadi tumpuan orang ramai bermandi-manda di hujung minggu terutama pada musim cuti persekolahan.

Sekali imbas, resort ini tidak ubah seperti sarang burung helang. Maka tidak hairanlah ia menggunakan nama burung tersebut sebagai simbol pengenalannya.

Resort ini menyediakan kemudahan program latihan luar yang berkonsepkan kembali ke alam semula jadi selain menyediakan kawasan bagi pelbagai aktiviti lasak seperti zon perang, paintball, merentas hutan dan sungai, memanjat tembok serta bola tampar air.

Terdapat dua pakej ditawarkan dengan harga yang berpatutan iaitu pakej korporat RM150 bagi satu malam dan pakej pelajar, RM100.

Resort yang dibuka pada Jun 2010 itu mempunyai lokasi yang strategik berlatar belakang bukit dan sungai. Ia pasti memukau mata memandang dan meredakan segala kepenatan bekerja sambil melakukan aktiviti-aktiviti berkenaan.

Selain itu, resort yang dibina di atas tanah seluas 1.8 hektar ini turut dipenuhi dengan 30 pokok buah-buahan seperti durian, cempedak, manggis dan jering yang pastinya memberi kelainan kepada pengunjung.

JAMBATAN gantung yang menghubungkan tebing Sungai Sendat ini pastinya mencabar keberanian pengunjung setiap kali ia bergoyang.

Antara kemudahan lain yang terdapat di resort ini ialah surau, dewan, tempat makan, penginapan berupa asrama yang memuatkan hampir 50 orang serta 12 khemah gergasi.

Menurut Pengurus Besar ENER, Ahmad Ridzuan Aziz, resort tersebut mampu menampung kira-kira 300 peserta pada satu-satu masa dan mempunyai hampir 20 aktiviti untuk pengunjung.

"Kebanyakan peserta yang datang ke sini merupakan kumpulan daripada syarikat-syarikat korporat dan pelajar.

"Malah individu popular seperti atlet kebangsaan dan pelukis terkenal datang ke sini untuk melakukan aktiviti lasak serta mencari ilham dalam karya mereka," katanya ketika ditemui S2 di resort tersebut baru-baru ini.

Jelas beliau, pihaknya memilih konsep kembali ke alam semulajadi kerana ia jarang diaplikasikan dalam sesebuah resort.

"Kami mendapat banyak permintaan daripada pelanggan yang mahu konsep seperti ini diwujudkan kerana mahukan satu resort bercirikan cintakan alam sekitar.

"Rata-rata peserta yang datang ke sini pasti teruja kerana konsep seperti ini jarang terdapat di mana-mana," ujarnya.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai aktiviti lasak dan menginap di ENER boleh menghubungi talian 03-58829407 atau layari laman web www.eaglenest.my untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: