PETALING JAYA: Aksi sulung kumpulan heavy metal Avenged Sevenfold (atau lebih dikenali sebagai A7X) pada konsert Avenged Sevenfold Live in Kuala Lumpur 2012 di Surf Beach, Sunway Lagoon, di sini, malam Ahad, memang gah.
Kumpulan dari California, Amerika Syarikat itu bagai menepati jangkaan dengan persembahan gred pertama. Malah momentum konsert itu dilonjakkan dengan sambutan luar biasa kira-kira 15,000 peminat yang membanjiri persekitaran pantai buatan itu.
Tampil ringkas dan memukau dengan 11 rangkaian lagu, A7X membuktikan kehebatan mereka seawal tirai pembukaan menerusi lagu terbaru berjudul Nightmare.
Tenaga dan kuasa muzik kumpulan yang berusia 13 tahun itu berlanjutan selama satu jam setengah konsert berlangsung.
Jelas di sini, persembahan A7X menepati standard tinggi dan berhak dipuji ketika mereka menyampaikan satu demi satu lagu popular dari album pertama hingga terkini termasuk Critical Acclaim, Second Heartbeat, Afterlife, Beast and the Hartlot, A Little Piece of Heaven dan banyak lagi.
Antara lagu dari album terbaru A7X yang sempat didendangkan adalah Nightmare, Welcome to The Family dan So Far Away.
Tiga aspek terbaik tentang persembahan A7X adalah mutu vokal, petikan gitar dan hentakan dram yang selaras dan bertenaga, sekaligus memberikan impak ekstra pada konsert tersebut.
Kerancakan konsert bertukar suasana apabila kumpulan ini menyampaikan lagu So Far Away yang ditujukan kepada bekas ahli kumpulan yang meninggal dunia beberapa tahun lalu iaitu The Rev (pemain dram).
Persembahan itu diiringi nyanyian beramai-ramai para peminat serta dihiasi nyalaan pemetik api yang melengkapkan suasana sedih dan murung. Difahamkan, lagu tersebut merupakan luahan kerinduan A7X kepada sahabat mereka itu.
Mereka melabuhkan persembahan dengan lagu Unholy Confessions yang dipetik daripada album kedua Wakin the Fallen (2003).
Walaupun kepuasan jelas terpancar pada wajah para peminat, ramai juga yang terkilan kerana tidak berpeluang untuk melihat A7X mendendangkan lagu Dear God yang turut dinanti-nantikan.
A7X dianggotai M. Shadows (vokalis), Synyster Gates (gitar utama), Zacky Vengeance (gitar rhythm) dan Johnny Christ (gitar bass).
Kunjungan buat julung kali mereka ke Malaysia adalah bersempena siri jelajah promosi album kelima iaitu Nightmare.
Mereka pernah mengeluarkan empat album sebelum ini iaitu Sounding the Seventh Trumpet (2001), Waking the Fallen (2003), City of Evil (2005) dan Avenged Sevenfold (2007).
Konsert itu dianjurkan Fat Boys dengan kerjasama Tune Talk dan JS Concert Productions.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: