LINDSAY LOHAN dilaporkan telah menjadi suatu mimpi ngeri buat karyawan siri popular Glee apabila aktres kontroversi itu dikatakan telah membuat perangai di set penggambaran siri drama muzikal televisyen popular itu.
Satu sumber memberitahu, Lohan yang dijemput sebagai pelakon undangan khas Glee datang lambat ke set penggambaran, selain tidak membuat persediaan untuk karakter lakonannya.
Sumber memberitahu E! News: "Lindsay Lohan menjadi mimpi ngeri semalam (pada 25 April lalu). Dia datang ke set penggambaran Glee lewat tiga jam daripada waktu yang telah ditetapkan dan apabila dia tiba, lain pula jadinya. Dia enggan terbabit dengan penggambaran dan selalu menghilangkan diri sehingga kru terpaksa mencarinya di merata-rata tempat di set penggambaran itu. Sebabnya dia tidak menghafal skrip."
Tambah sumber, Lohan sudah menghabiskan penggambaran untuk bahagian pertama kemunculannya dalam Glee dengan melakonkan watak dirinya sendiri pada minggu sebelumnya, namun gagal menyempurnakan lakonannya untuk bahagian kedua pada 25 April lalu.
Bagaimanapun, jurucakap Lohan, Steve Honig mendakwa berlaku kesilapan teknikal. Katanya: "Kru produksi Glee memberitahu pihak kami bahawa Lindsay akan terbabit dengan penggambaran pada pukul 2 petang, sejurus selepas makan tengah hari.
"Namun, mereka kemudian berkata Lindsay hanya akan terbabit dengan penggambaran bermula pada pukul 3 petang, sebab itu dia tiada di set kerana ketika itu dia sedang bersiap dengan solekan dan dandanan rambut. Ini satu bukti ada pihak yang suka mengaitkan Lindsay dengan kontroversi."
Episod Glee yang menampilkan Lohan akan mula disiarkan di TV Amerika Syarikat pada 15 Mei ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: