
KHABAR mengenai kemunculannya sudah digembar-gemburkan sewaktu acara Bikepalooza di Shah Alam, Selangor pada bulan Oktober tahun lalu. Sewaktu karnival motosikal dan kereta itu, risalah dan spesifikasi motosikal kapcai terbaharu Kumpulan Naza iaitu NZ125R sudahpun diedarkan kepada orang ramai.
Selepas tiga bulan menanti, motosikal itu akhirnya dilancarkan oleh Naza Bikes Sdn. Bhd. (Naza Bikes) sewaktu program rumah terbuka Tahun Baru Cina 2012 anjuran Kumpulan Naza di bilik pameran Naza Automall di Petaling Jaya, Selangor.
NZ125R merupakan produk keluaran kilang Naza Bikes di Shah Alam. Kilang dengan keluasan mencecah 2,229 meter persegi itu mula beroperasi sejak tahun 2003. Sehingga kini, kilang berkenaan sudah menghasilkan sebanyak 14 jenis motosikal termasuk NZ125R untuk pasaran tempatan dan eksport.
Ketibaan kapcai terbaharu itu menempatkan semula jenama Naza dalam segmen 125cc tempatan. Hampir dua tahun Naza menghilangkan diri dalam kelas itu selepas ketiadaan model Naza Flash.
NZ125R menggunakan enjin sejukan udara bersesaran 124.8cc sama seperti yang digunakan pada model Flash. Enjin tersebut adalah buatan China. Ia dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan dan sistem kaburator. Hasilnya, kuasa kuda maksimum yang mampu dicapainya mencecah 10.1hp. Sementara tork maksimum pula berada pada paras 10.3Nm @ 5,000rpm.
Ciptaan jurutera Naza
![]() |
| NZ125R dilengkapi poin elektrik untuk mengecas telefon bimbitatau sambungan pengecasan alat GPS. |
Ada dua cara untuk menghidupkan enjin iaitu melalui butang penghidup atau penendang kaki. Sekali pandang, kapcai itu mempunyai iras-iras motosikal keluaran jenama Jepun. Namun, harus tahu bahawa NZ125R dicipta oleh jurutera-jurutera Naza Bikes dan motosikal tersebut disiapkan dalam tempoh 18 bulan.
Baru-baru ini, saya berpeluang menunggang uji NZ125R. Kali pertama duduk di atas pelana, ia berasa cukup selesa. Posisi badan sewaktu tunggangan juga agak baik dan tidak melenguhkan. Menyusuri kesesakan trafik, memang tiada masalah.
Sebaik sahaja menaiki motosikal underbone seberat 95 kilogram itu, butang penghidup ditekan. Bunyi enjin dihidupkan kedengaran agak panjang. Ketika kaki kiri memijak gear pertama pula, jelas kedengaran bunyi kemasukan gearnya agak kasar.
Namun, sepanjang sesi tunggang uji didapati proses penukaran gear adalah lancar. Cuma sistem suspensi jenis pegas gegelung (spring) pada roda belakang berasa sedikit keras dan tidak selesa ketika tunggangan di atas laluan yang tidak rata. Biarpun begitu, pelarasan boleh dibuat oleh penunggang mengikut kesesuaiannya.
Kelajuan motosikal ini berjaya diperah sehingga 110 kilometer sejam (km/j) pada kedudukan gear ketiga. Selepas seketika memasuki gear keempat, jarum meter laju mula melepasi paras 125km/j.
Pencahayaan lampu utama perlu diubah. Bagi saya, pantulan sewaktu tunggangan malam kurang memuaskan. Ia kelihatan seperti imej daun pokok Jeremin yang samar-samar. Namun, pujian harus diberikan kepada prestasi lampu isyarat membelok dan brek, ia ternyata cukup terang.
Setiap liter petrol motosikal NZ125R menawarkan jarak perjalanan sejauh 65km jika ditunggang pada kelajuan bawah 80km/j. Pendek kata, motosikal itu didakwa mampu memberi penjimatan sebanyak RM500 setahun berhubung soal penggunaan petrol. Ia pasti menjadi satu kelegaan buat para pemilik sekiranya harga petrol naik.
Salah satu keunikan model itu ialah poin elektrik yang berperanan sebagai panel pengecas telefon mudah alih atau alat penentu kedudukan global (GPS). Ia pasti berguna buat mereka yang ingin melakukan aktiviti kembara dengan sebuah motosikal mampu milik.

Didatangkan dengan dua warna pilihan, NZ125R ditawarkan pada harga RM4,256 seunit (di atas jalan termasuk insurans).

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: