Saturday, April 28, 2012

Kuga: SUV Kompak Ford




PASARAN SUV (Sport Utility Vehicle) kompak di pasaran tempatan sebenarnya agak besar. Ini boleh dibuktikan dengan jumlah Perodua Kembara yang banyak di atas jalan raya.

Perodua Kembara ialah kenderaan yang versatil. Kelegaan jarak buminya tinggi, bersaiz kompak dan didatangkan dengan pacuan empat roda. Berikutan saiznya tinggi, ciri itu menjadikan Perodua Kembara sebuah kenderaan yang praktikal jika hendak mengharung banjir kilat di bandar atau meninjau apa yang berlaku di hadapan sewaktu kesesakan jalan raya.

Paling penting, harga Perodua Kembara masih lagi boleh diterima akal. Tidak silap saya, varian Perodua Kembara paling mahal beberapa tahun lepas adalah sekitar RM60,000.

Namun begitu, popularitinya dilihat tidak konsisten dan tiada kesinambungan kerana prestasi jualan model penggantinya, Nautica adalah rendah. Bukan kerana Nautica tidak bagus, tetapi lebih kerana harganya yang mahal iaitu kira-kira RM90,000.

Tidak berada lama di pasaran, Perodua mengambil keputusan untuk menghentikan penjualannya. Langkah itu disambut dengan senang hati oleh UMW Toyota apabila terus menawarkan model Toyota Rush.

Rush ialah kenderaan yang mempunyai penampilan lebih kurang sama dengan Nautica, tetapi dengan tujuh tempat duduk dan harga yang boleh diterima pasaran.

Apa yang membuatkan saya teringat kembali kepada Perodua Kembara ialah model Kuga keluaran Ford. Walaupun Ford merupakan antara syarikat pengeluar automotif paling lama, namun mereka tidak pernah menghasilkan sebuah kompak SUV sehinggalah terhasilnya Kuga.

Citarasa berbeza

Tugas itu nyata bukan mudah kerana Kuga bukanlah model eksklusif untuk sesebuah pasaran sahaja tetapi bertindak selaku model global. Pakar-pakar di Ford telah mengenal pasti bahawa citarasa sesebuah benua bertentangan sama sekali.

Sebagai contoh, kenderaan bersaiz besar di Amerika Syarikat (AS) cukup popular, sedangkan di Eropah mereka lebih gemarkan kereta kompak. Di Asia pula, majoriti konsumer sukakan warna ruang kabin yang cerah berbanding skema warna gelap untuk pelanggan Eropah.

Justeru, mahu tidak mahu, Ford perlu mengikut ‘adat dan budaya’ sesuatu pasaran. Malah menurut Ford, sumber insprasi palet warna ruang dalaman kenderaan untuk Kuga sangat luas bermula daripada kasut mendaki, alat solek, barang kemas hinggalah kepada hiasan di dalam rumah.

“Rekaan yang bagus mampu menukar sesuatu objek yang kita perlukan kepada objek yang kita sukai,” kata Pengarah Reka Bentuk, Ford Europe, Chris Bird. Beliau bertanggungjawab berkaitan aspek warna, material dan personifikasi kenderaan.


RUANG kabin yang moden dan padat dengan pelbagai butang kawalan.


Jelas Bird lagi, persepsi mengenai saiz adalah tidak sama mengikut pasaran. Kini, semakin ramai pelanggan di Eropah dan Asia memilih SUV kompak sebagai alternatif kepada produk niche konvensional seperti kereta coupe.

Sementara di AS, trend untuk pengecilan kenderaan semakin meningkat. Namun pelanggan Ford di sana masih mahukan gabungan antara gaya dan ruang. Jadi mendapat keseimbangan antara citarasa itu adalah amat penting.

“Kami melakukan tugas ini melalui berkolaborasi rapat dengan bahagian kejuruteraan untuk mendapatkan saiz roda yang sesuai. Selain mengekalkan identiti rekaan utama Ford iaitu Kinetic Design pada reka bentuk kenderaan,” tambah Bird.

“Di Asia, mereka sukakan ruang dalaman yang lebih cerah,” kata penyelia warna dan kemasan Ford Europe Ulrike Dahm yang tugas khususnya adalah untuk pasaran Asia.

“Bagi ramai orang yang tinggal di bandar-bandar besar di Asia, ruang adalah suatu yang premium. Oleh itu, ruang dalaman cerah dan luas akan menampakkannya sebagai suatu yang mewah. Di Eropah, warna dan kemasan banyak dipengaruhi oleh industri teknologi dan kebiasaannya lebih gelap. Warna hitam yang berkilat adalah pilihan yang popular,” jelas Dahm.

Memandangkan Ford banyak mengambil kira citarasa Asia pada Kuga, maka bolehlah dibuat kesimpulan mudah bahawa model kompak SUV itu mungkin bakal memasuki pasaran tempatan.

Dengar kata, Malaysia kini adalah pasaran yang penting buat Ford. Terima kasih kepada larisnya model Fiesta. Untuk 18 bulan akan datang, Ford bakal melancarkan enam model baharu. Dua antaranya ialah Ranger dan Focus. Masih ada empat lagi kekosongan, harapnya Kuga turut tersenarai.

Paling penting, janganlah ulangi kesilapan formula Perodua Nautica.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: