Saturday, April 28, 2012

Keseronokan selepas 5,000rpm


WAJAH sedan terkini Proton yang mendapat sambutan hangat daripada orang ramai.


SUDAH lebih seminggu model terbaharu Proton, Prevé dilancarkan ke pasaran tempatan. Soalan yang saya terima daripada rakan-rakan juga semakin banyak. Ada yang tidak sabar untuk mencuba. Malah tidak kurang juga yang masih ragu-ragu sama ada patut atau tidak untuk memilikinya.

Impak Prevé nyata lebih besar berbanding model-model keluaran Proton sebelum ini. Senario itu banyak disumbang oleh kempen media rasmi dan tidak rasmi sejak model itu masih menggunakan kod P3-21A lagi.

Apa pun, sedan itu memang layak menerima semua perhatian tersebut. Sebabnya, Prevé mewakili era baharu produk Proton yang didakwa sudah sedia untuk meneroka pasaran lebih besar. Jadi, sudah tentulah ramai yang tidak sabar-sabar hendak tahu sebagus manakah Prevé.

Saya mengikuti program pandu uji Prevé ke Kuantan, Pahang pada awal minggu ini. Tidak keterlaluan juga jika saya katakan bahawa sesi tersebut mengubah persepsi ramai peserta program berkenaan terhadap model global pertama Proton itu.

Sebagaimana yang dapat dilihat dengan jelas, Prevé menampilkan arah tuju atau gaya rekaan baharu produk Proton. Walaupun ada yang menyatakan rekaan itu selamat dan ketinggalan zaman, ramai juga berpendapat bahawa ia kelihatan segar, maskulin serta mampu menarik perhatian.

Secara asasnya, kami berpeluang memandu uji Prevé selama dua hari. Hari pertama jaraknya lebih pendek dan lebih fokus kepada usaha merakam gambar terbaik serta menepati tema pertandingan fotografi yang dianjurkan oleh Proton. Sementara hari kedua pula, kami memandu pulang dari Kuantan ke Kuala Lumpur melalui jalan-jalan kampung dan lebuh raya.

Fabrik tidak telus air

Dua varian Prevé iaitu 1.6 CFE Premium dan manual lima kelajuan tersedia untuk diuji. Untuk ruangan pandu uji kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman memandu model manual sahaja. Untuk pandu uji varian 1.6 CFE Premium, akan saya siarkan tidak lama lagi.

Secara jujurnya, memang ada ekspektasi tertentu yang diletakkan ketika memegang stereng Prevé 1.6 manual tersebut. Masuk sahaja di dalamnya, pemandu dan penumpang akan dapat melihat peralatan atau cirinya tidaklah semeriah apa yang ada pada model 1.6 CFE Premium.

Papan pemukanya nampak ringkas. Tidak banyak butang kawalan dan ruang itu seolah-olah dibazirkan. Mungkin lebih baik jika ruang kosong itu boleh menempatkan barang-barang seperti kad Touch n Go, Smart Tag atau telefon bimbit. Saya juga sukakan unit audio yang mudah dioperasi berbanding sistem yang ada pada model lebih mahal.


Enjin Campro IAFM yang mampu menjana kuasa sehingga 80kW.


Ramai yang mahukan tempat duduk dibalut dengan material kulit. Namun, bagi saya fabrik tidak telus air berwarna hitam itu sebenarnya sudah cukup bagus dan selesa untuk mengharung perjalanan yang jauh. Bagi penumpang belakang, mereka pasti berpuas hati dengan ruang kaki dan kepala yang luas.

Saya tidak ada isu dengan kualiti pemanduan dan pengendalian Prevé. Sedia maklum bahawa Proton mahir dalam bidang itu. Malah, kualitinya jauh lebih baik kalau hendak dibandingkan dengan model-model sekelasnya sama ada buatan Jepun mahupun Korea.

Kerangka kukuh yang dikenali sebagai RESS (Reinforced Safety Structure) itu bertindak sewajarnya. Dipadankan dengan sistem suspensi hadapan jenis topang MacPherson dan multi-link bersama bar penstabil, olengan tubuh adalah minimum, biarpun varian itu tidak dipasang dengan Electronic Stability Control (ESC) atau sebagainya. Melayan selekoh masih menyeronokkan walapun kadang-kala terasa maklum balas sterengnya kurang tepat.

Jika anda mengharapkan enjin 1.6 IAFM itu mampu memberikan kuasa setiap kali pedal minyak ditekan, anda mungkin kecewa. Enjin itu bukanlah terlalu berkuasa yang mampu menawarkan kuasa serta-merta.

Jadi, pemandu perlu rajin dan bijak untuk merasai tujahan kuasanya. Jarum rpm perlu berada takat 5,000rpm ke atas. Pada ketika itulah anda dapat merasai kuasa enjin Campro tersebut.

Ketika memotong, adakalanya timbul sedikit kebimbangan. Selain enjin itu perlu diperah, ada masanya gear pula sukar untuk dimasukkan. Terutama jika hendak menukar ke gear rendah, misalnya dari gear lima, ke gear empat dan tiga.

Proton nampaknya mendengar maklum balas daripada pengguna versi manual sebelum ini. Antara perubahan yang dibuat adalah tolakan gearnya lebih pendek. Pedal klacnya juga agak lembut dan tidak memenatkan jika terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Saya harus beri pujian kepada brek yang sangat meyakinkan dan cemerlang. Walaupun membrek dengan keras, roda tidak terasa dikunci serta-merta. Harus tahu bahawa sistem brek itu menjanjikan jarak pemberhentian paling pendek jika dibandingkan dengan model lain sekelas dengannya.

Pendek kata, untuk menghargai Prevé 1.6 manual, kenali dulu karekter enjin, limitasi dan kemampuan sebenarnya. Sebaik sahaja anda faham mengenainya, jentera itu memang boleh membuatkan anda tersenyum. Secara tidak langsung, ia juga seolah-olah boleh mengembalikan nostalgia memandu Proton Wira 1.5 manual.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: