MEMERHATI burung merupakan kegiatan masa lapang yang mudah dinikmati oleh orang ramai tidak kira usia.
Berbekalkan hanya sebuah binokular, pakaian yang sesuai bagi meredah belantara dan kasut getah memudahkan golongan 'Birder' memerhati sang unggas dari jarak yang lebih dekat.
Kaedah menggunakan sistem jam memudahkan si pemerhati burung ini menyesuaikan keselesaan mengikut kemampuan mata mereka menerusi lensa teropong.
Biasanya, selepas mendengar kicauan burung, si pemerhati akan menggunakan bahasa isyarat sistem jam seperti "atas pokok itu pukul 12, pukul 6, tengah pukul 9 atau pukul 3" sebelum memfokuskan binokular yang dibawa.
Selepas puas melihat haiwan berwarna-warni ini, Birder akan mencatatkan nama burung berkenaan diatas sebuah diari peribadi ataupun mengambil gambar burung tersebut sebelum ia hilang dari pandangan mata kasar.
Dari catatan tersebut dan gambar yang telah diambil memudahkan pemerhati burung pengenal pasti burung tersebut pada masa akan datang.
Antara catatan yang sering dicatitkan dalam nota kecil itu seperti spesis burung, tarikh, habitat, lokasi atau sekadar mencatatkan sebanyak mungkin butiran mengenai burung yang telah dilihat.
Sebaik yang mungkin, pemerhati burung akan mengawal pergerakan mereka tanpa sebarang bunyi bising bagi mengelakkan burung yang telah dikesan terbang ke lokasi lain.
Oleh yang demikian, apabila sebut sahaja Bukit Fraser, destinasi pelancongan ini pastinya digemari ramai lebih-lebih lagi buat si pemerhati burung dan pencinta alam.
Menurut sejarah, resort kolonial British lama ini telah ditemui oleh Louise James Fraser yang berasal dari Scotland pada 1890.
Dari kawasan lombong bijih timah dan emas, kini Bukit Fraser lebih dikenali ramai sebagai kawasan eko-pelancongan yang semakin dikunjungi ramai sekaligus menjadikan destinasi tersebut sebagai bandar asli British terakhir di Malaysia.
Terkenal dengan jolokan nama sebagai Little England, kebanyakan daripada bangunan-bangunan lama yang terdapat disana masih dikekalkan sehingga ke hari ini.
Buat mereka yang pertama kali melawat ke sana, pasti tertanya-tanya apa tarikan yang terdapat di Bukit Fraser selain berpeluang lari dari kesibukan kota raya.
Bersuhu sederhana dari 18 hingga 21 celsius membolehkan pengunjung menikmati udara segar dikelilingi kawasan hijau.
Bagi penulis, memerhati burung hijrah merupakan aktiviti kemuncak yang boleh dilakukan pengunjung kerana di sini terdapat lebih daripada 250 spesis burung telah dikenal pasti.
Untuk mereka yang gemar melakukan aktiviti meredah hutan, terdapat lapan trek semulajadi boleh diterokai di sana.
Antaranya seperti Hemmant Trail, Bishop's Trail, Pine Tree Trail, Maxwell Trail, Mager Trail, Kindersley Trail, Rompin Trail dan Abu Suradi Trails.
Di tengah pusat bandar Bukit Fraser, terdapat sebuah menara jam lama yang dijadikan ikon lokasi ini.
Pengunjung pastinya tidak akan melepaskan peluang bergambar di menara jam itu sebagai tanda kenangan.
Air Terjun Telaga
Jika pengunjung bergerak lima kilometer dari pusat bandar Fraser, para pelawat boleh mengunjungi kawasan Air Terjun Jeriau.
Kawasan perkelahan ini yang dipulihara oleh majlis perbandaran tempatan menjadikan kawasan ini lokasi strategik untuk meluahkan masa bersama keluarga.
Di sekeliling kawasan air terjun tersebut, pengunjung berpeluang menikmati keindahan panorama hutan tropika subur.
Selain Air Terjun Jeriau, 15 kilometer dari lokasi itu masih terdapat sebuah lagi kawasan pelancongan unik yang dipanggil dengan nama Air Terjun Telaga yang lebih cantik jika dibandingkan dengan Air Terjun Jeriau.
Bagi mereka yang berminat untuk melihat keindahan flora dan fauna yang terdapat di sekitar Bukit Fraser bolehlah mencuba menerokai kawasan ini dengan melakukan aktiviti memerhati burung.
Rhinoceros hornbill, mountain tailorbird, mountain imperial pigeon, silver eared mesia, long tailed sibia dan chestnut capped thrush merupakan antara spesis burung yang mudah dilihat di Bukit Fraser.
Maka tidak hairanlah mengapa acara Fraser's Hill International Bird Race mendapat sambutan setiap tahun sehingga pernah salah seorang daripada pemenang acara itu berjaya mengenal pasti, melihat dan mencatitkan 70 spesis burung dalam masa 24 jam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: