Tuesday, April 3, 2012

Seni gubahan ikebana tujuh abad



SIAPA sangka dengan menggunakan kacang panjang, lobak merah, sayur sawi dan barang terpakai yang terdapat di dapur rumah, anda mampu menghasilkan gubahan hiasan yang cantik dan menarik untuk dijadikan perhiasan.

Berbeza dengan gubahan bunga kebiasaan yang mementingkan hasil yang berwarna-warni, seni gubahan dari Jepun yang dikenali sebagai ikebana tidak memfokuskan kepada kecantikan bunga semata-mata.

Sebaliknya, dengan hanya menyusun dahan, daun dan sayuran malah rumput ke dalam bekas bunga yang unik ataupun bekas kitar semula, kreativiti mampu menghasilkan gubahan yang sungguh menawan.

Seorang peminat ikebana, Mastura Ibrahim, 29, berkata, walaupun tidak menggunakan bunga yang banyak atau terlalu berwarna-warni, gubahan tersebut mampu menyerikan kediaman sekali gus menyejukkan pandangan mata.

"Seni gubahan ikebana ternyata jauh berbeza dengan gubahan bunga yang biasa kita lihat dan ketahui.

"Ilmu seni gubah yang dipelajari dalam setiap bengkel yang disertai pasti berbeza-beza. Melaluinya, idea gubahan ikebana yang baharu dapat dihasilkan peserta," katanya yang ditemui dalam acara dan pameran Ikebana International Kuala Lumpur Chapter 72 di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, ikebana menguji kreativiti penggubah melalui penggunaan ranting, daun dan bunga dalam bekas unik. Jika kene pada konsepnya, hasil akhirnya mampu membuatkan seseorang yang memandangnya tersentuh perasaan.

"Keserasian antara penggubah bunga dan bahan yang digubah sangat penting. Aspek itu mewujudkan kesesuaian agar gubahan yang disiapkan itu menepati kehendak," kata ibu kepada dua orang anak itu.

Sumber pelbagai

Menurut Mastura, negara ini terdapat banyak sumber pokok bunga tropika yang cantik dan berwarna-warni untuk digunakan dalam gubahan ikebana.

"Oleh itu, saya rasa tidak salah jika kita menggunakan kekayaan alam semula jadi seperti daun palma dan bunga sepit ketam bagi mencipta hasil gubahan ikebana yang unik," ujarnya.


PELBAGAI gaya gubahan kreatif dapat dilihat dalam seni ikebana, daripada yang menggunakan dawai, ranting, bekas seramik, tangkai daun hinggalah kepada sayur-sayuran.


Gubahan ikebana ternyata amat berbeza dengan gubahan bunga Inggeris. Gubahan bunga Inggeris menggunakan terlalu banyak bunga sehingga hilang keindahan dan keunikan sesuatu jenis bunga itu.

Sebaliknya, gubahan ikebana hanya menggunakan satu atau dua kuntum bunga dengan sedikit daun dan ranting. Dari situlah seseorang dapat menilai dan menghargai secara khusus tentang betapa indahnya bunga dan daun tersebut.

Satu lagi keunikan ikebana adalah ia tidak boleh menggunakan bunga tiruan. Ikebana hanya menggunakan bunga hidup dan seelok-eloknya yang ditanam sendiri di sekitar rumah bagi menambah nilai keistimewaannya.

Pakar tunjuk cara daripada Sogetsu School of Ikebana, Chong Ooi Fong, 50, berkata, ikebana merupakan seni gubahan bunga dari Jepun yang sudah berusia lebih 700 tahun.

Menurutnya, ikebana mementingkan jalinan alam semula jadi dengan konsep kemanusiaan selain mementingkan hasil garisan serta bentuk.

"Ikebana dipercayai berasal daripada tradisi mempersembahkan bunga pada upacara keagamaan Buddha dan berkembang selari dengan perkembangan agama tersebut sebelum diajar secara meluas kepada seluruh masyarakat di Negara Matahari Terbit itu.

Lalang juga digunakan

Tambah Ooi Fong, bahan-bahan untuk ikebana sebenarnya mudah diperoleh di pekarangan rumah, taman bunga, kebun, kawasan kampung atau dalam hutan.

Ikebana tidak memerlukan bunga pelbagai jenis dan warna. Sebaliknya, lalang, lidi, ranting kayu, akar dan pucuk daun kelapa juga boleh dijadikan bahan bagi menghasilkan gubahan yang penuh pengertian.

"Paling utama dalam gubahan ini, seseorang itu perlu mententeramkan minda dan menikmati proses menggubah berdasarkan perasaannya," ujarnya lagi.

Jelas Ooi Fong, terdapat bermacam-macam jenis ikebana di dunia ini dan setiap satunya mempunyai kaedah tersendiri.

"Mereka yang belajar mengenai ikebana mengetahui bahawa ia adalah suatu keraian dalam kehidupan. Jika diteliti secara halus, pada gubahan itu boleh tergambar keindahan landskap, gunung-ganang dan sungai-sungai," kata guru gubahan itu.

Menurut seorang lagi tenaga pengajar ikebana dari Jepun yang menetap di Malaysia, Hiroko Shibata, 50, ikebana berkait rapat tentang hubungan manusia dengan alam semula jadi.

Secara realiti, kehidupan setiap orang dikelilingi flora dan fauna dan ia membawa maksud tertentu yang begitu mendalam.

"Gubahan ikebana pasti menghiasi rumah orang Jepun dan diletakkan pada tempat tertentu. Tetamu yang datang dapat menikmati gubahan itu daripada sebarang sudut pandangan mereka.

"Benda penting dan pertama yang dilihat oleh tetamu dalam sesebuah rumah ialah bekas gubahan ikebana itu sendiri," katanya.

Tambah Hiroko, gubahan ikebana menggunakan bahan yang mudah didapati dan semakin ringkas sesebuah gubahan itu, ia dilihat lebih cantik dan menarik.

Penggubah lelaki


OOI FONG (kanan) memberi tunjuk ajar tentang cara menggubah ikebana kepada kanak-kanak yang menyertai bengkel khas.


Menurut sifu ikebana itu, mengikut tradisi awalnya, hanya kaum lelaki dibenarkan membuat gubahan itu memandangkan ia berkaitan dengan persembahan dalam upacara agama. Namun lama-kelamaan, ia menjadi budaya dan wanita turut membuatnya.

Hiroko menjelaskan lebih lanjut, terdapat tiga gaya dalam gubahan Ikebana, iaitu rikka, shoka dan jiyuka.

Rikka merupakan gaya tradisional yang banyak digunakan dalam perayaan keagamaan. Gaya ini menampilkan keindahan landskap tanaman dan berkembang sekitar awal abad ke-16.

Shoka pula adalah rangkaian ikebana yang tidak terlalu formal namun masih mengekalkan ciri tradisional. Tumpuan diberikan kepada pengekalan bentuk asal tumbuh-tumbuhan.

Sementara jiyuka pula adalah rangkaian gubahan yang bersifat bebas mengikut kreativiti dan imaginasi penggubahnya

"Gaya jiyuka lebih terkenal selepas Perang Dunia Kedua. Ia turut menggunakan bahan-bahan asas seperti kawat, logam dan batu," ujar Hiroko lagi.

Hari ini, ikebana dilihat sebagai seni gubahan bunga ala Timur dan bukan sekadar menjadi sebahagian daripada warisan budaya Jepun. Lebih membanggakan, seni unik itu telah diperkembangkan ke seluruh dunia.

"Ketika menggubah ikebana, kita perlu membayangkan diri sebagai seekor rama-rama atau lebah yang terbang mengelilingi ikebana itu.

"Kita perlu pastikan serangga tersebut dapat terbang dengan lancar dan tidak tersekat-sekat ketika mengelilingi sesuatu hasil gubahan," terangnya seolah-olah berfalsafah.

Peraturan


RAMAI kanak-kanak menunjukkan minat mendalam terhadap seni gubahan ikebana di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.


Walaupun pengubah ikebana bebas menggunakan kreativiti tersendiri dalam proses gubahan, Hiroko menegaskan bahawa masih terdapat peraturan yang perlu dipatuhi.

"Tidak boleh memilih pelbagai jenis bunga dan melakukannya seperti gubahan bunga ala Barat. Lebih utama, penggubah perlu menghasilkan gubahan yang bersih, kemas dan mementingkan aspek ruang," katanya sambil menambah, penggunaan pasu atau bekas yang pelbagai bagaimanapun dibenarkan.

Selain menggunakan pasu dan bekas bunga yang biasa, bekas-bekas lain seperti yang berbentuk separuh bulat, congkak, dulang, paip dan pelbagai bahan lain juga boleh digunakan mengikut kesesuaian dan kreativiti.

"Bagaimanapun, untuk memastikan kecantikannya tidak terjejas, bekas yang dibuat daripada plastik tidak sesuai digunakan. Bekas seramik adalah yang terbaik.

"Pastikan bekas tersebut sentiasa diisi dengan air sebab ikebana memerlukan air. Ia bukan ikebana kalau bekasnya tidak berair," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini:

Post a Comment