Monday, April 30, 2012

Afdlin perjuangkan hak


AFDLIN bangkit menyuarakan pandangan beraninya demi hak dan maruah filem tempatan yang dipinggirkan di negara sendiri.


PELAKON dan pengarah terkenal, Afdlin Shauki meluahkan rasa kecewanya apabila filem terbaharu arahannya Berani Punya Budak dipinggirkan oleh sesetengah pawagam tempatan.

Perkara itu berlaku dikatakan untuk memberi laluan dan memberikan sokongan yang lebih kepada filem Hollywood, The Avengers yang kebetulan ditayangkan sehari selepas filem aksi komedi tempatan itu mula ditayangkan di pawagam.

Berkongsi minggu yang sama permulaan tayangan dengan filem mega Hollywood yang ditunggu-tunggu itu pada minggu lalu, sebagai pengarah Berani Punya Budak, Afdlin sedar saingan yang cukup besar untuk filemnya dalam menghadapi The Avengers.

Namun, dia cukup kecewa apabila filemnya itu ditayangkan pada waktu tidak munasabah serta diberikan dewan tayangan yang kecil berbanding dengan filem Hollywood itu.

Tidak mahu melatah tanpa sebarang bukti kukuh, kata Afdlin, dia kini sedang mengumpulkan segala fakta dan bukti sebelum mengambil tindakan yang seterusnya.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Afdlin yang dihubungi semalam.

Kosmo!: Filem Berani Punya Budak sedang rancak ditayangkan di pawagam, apa yang membuat Afdlin yang dikhabarkan kecewa?

AFDLIN: Saya sendiri membuat tinjauan di beberapa buah pawagam dan mendapati sebuah daripadanya yang terletak di Kuala Lumpur tidak menayangkan filem Berani Punya Budak untuk slot tayangan lewat malam, pada hari Sabtu. Sedangkan pada waktu itulah orang ramai ingin menonton wayang, sebaliknya pihak pawagam memberi slot itu kepada filem luar.

Bukankah ada sistem wajib tayang yang mewajibkan setiap pawagam menayangkan filem tempatan selama dua minggu?

Ya, memang filem saya itu ditayangkan mengikut sistem wajib tayang tetapi ia dipinggirkan apabila pihak pawagam meletakkan waktu tayangan pada waktu yang tidak munasabah iaitu pada pukul 11 pagi, siapa yang mahu tonton wayang pada waktu pagi dan tayangan terakhir adalah pada pukul 8.30 malam.

Adakah Afdlin sedar bahawa pesaing filem Berani Punya Budak adalah filem bajet mega Hollywood The Avengers, yang ditunggu-tunggu peminat?

Saya sedar dan saya tahu. Sungguhpun begitu pihak pawagam sepatutnya memberi hak sama rata kepada filem tempatan untuk bersaing. Macam mana filem saya mahu bersaing jika mereka memberi dewan tayangan yang hanya boleh memuatkan sekitar 100 orang tetapi filem luar diberi dewan yang paling besar serta tayangan lewat malam. Saya belum mendapat tahu jumlah kutipan yang sebenar tetapi jika begini keadaannya, filem saya hanya mengutip kutipan yang sederhana sahaja.

Adakah Afdlin mahu mengambil sebarang tindakan?

Saya sedang mengumpul bukti dan fakta. Saya tidak mahu melakukan satu perkara dengan terburu-buru tanpa bukti yang kukuh. Jika benar perkara ini terjadi bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi seluruh negara, saya akan ambil tindakan dan berjuang habis-habisan.

Apakah jenis tindakan yang akan diambil Afdlin?

Saya tidak tahu tindakan macam mana yang akan diambil kerana masih mengumpulkan bukti. Saya meluahkan rasa kecewa ini bukan untuk filem saya sahaja tetapi industri filem tempatan secara keseluruhannya. Walaupun filem tempatan sudah berjaya mengutip kutipan jutaan ringgit hakikat sebenarnya, pihak pawagam masih memberi lebih sokongan kepada filem luar bukannya filem tempatan. Maknanya kita masih kalah.

Mungkinkah disebabkan lebih mendapat sambutan, maka, pihak pawagam memberi lebih ruang kepada filem luar?

Filem luar atau tempatan, bagus atau tidak sesebuah filem itu, pihak pawagam harus memberi peluang yang sama rata. Kita ada skim wajib tayang serta ada peraturan dan perjanjian yang harus diikut oleh pihak pawagam, jadi saya harap mereka ikut peraturan itu dengan telus.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: