SELEPAS menampilkan penyanyi dangdut terkenal dari Indonesia, Inul Daratista dalam single Too Phat berjudul How Me Seksi, Joe Flizzow memilih Rossa pula untuk berduet dalam single terbarunya berjudul Katakan.
Saya sudah lama menyimpan impian untuk berduet bersama Rossa. - Joe Flizzow
Selain Rossa, pemilik nama sebenar Johan Ishak ini turut berduet bersama Amy Search dan Yassin untuk lagu Takbir Cinta. Dia juga turut merakamkan lagu Untukmu secara duet bersama protegenya dalam program Mentor yang lalu, Ila Damiaa. Semua lagu itu dimuatkan dalam album sulung berbahasa Melayu itu yang mengandungi 14 lagu.“Katakan adalah lagu berentak balada ciptaan Ajai. Saya memilih Ajai dan Yassin sebagai komposer kerana mereka ini adalah kawan lama jadi senang untuk bekerja sama dengan mereka sebab keserasian itu sudah ada.
“Saya sudah lama menyimpan impian untuk berduet bersama Rossa,” katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kartel Records.
Dua tahun menyepi selepas album pertamanya berjudul President, Joe mempertaruhkan lagu bahasa Melayu dalam album keduanya itu yang masih menekankan rentak hip hop.
Mengenai Ila pula Joe berkata, apa yang dilakukan itu kerana tidak mahu mensia-siakan bakat finalis Mentor 4 itu.
“Saya nak buktikan yang Ila sebenarnya boleh menyanyi dengan baik sejak dia di dalam Mentor lagi. Saya nampak bakatnya, dan saya masih mengasah bakatnya untuk menjadi penyanyi yang bagus.
“Saya percaya kebolehan dia dalam Mentor. Saya tidak mahu mengabaikannya kerana dia masih memerlukan tunjuk ajar untuk terus bertapak kukuh dalam industri muzik ini,” katanya yang juga juri tetap program realiti Showdown.
Meskipun ada yang mengaitkan keintiman dengan anak didiknya itu sehingga dikatakan bercinta, Joe sambil tersenyum, menjelaskan hubungan dengan Ila sebenarnya tidak lebih daripada seorang adik.
“Saya sudah macam pengasuh dia dalam mendidik untuk menjadi seorang penyanyi berjaya. Bagi saya, artis yang sibuk dengan gosip ini tidak mempunyai sebarang produk, jadi duduk di rumah tunggu sampai ada benda terjadi untuk mereka gosip.
“Artis sebegini boleh dianggap seperti telur di hujung tanduk menunggu masa untuk jatuh. Jadi untuk bagi orang nampak yang dirinya masih ada adalah dengan mereka gosip sendiri,” katanya sambil berseloroh.
Pada usia 33 tahun, Joe Flizzow belum terfikir untuk menamatkan zaman bujangnya meskipun ibunya sudah menetapkan tempoh dua tahun untuk dia membina kehidupan berkeluarga sendiri.
Melihat rakannya, Malique memiliki keluarga bahagia memang terdetik di hati Joe untuk mengikuti jejak langkahnya.
“Mak saya cakap bagi tempoh dua tahun untuk cari calon isteri, kalau tak kahwin juga dia kata ada masalah besar. Bukan tak mahu kahwin tetapi masih belum bersedia fizikal dan mental.
“Saya nak jadi suami dan bapa yang baik kerana tidak mahu menjadi seperti orang lain, kahwin lepas itu bercerai nanti kasihankan anak-anak. Saya juga mahukan anak seperti orang lain untuk meneruskan legasi tetapi buat masa sekarang saya masih belum terfikir untuk berkahwin tetapi sudah membuat perkiraan Insya-Allah ketika berusia 36 tahun mungkin,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: