Sunday, April 29, 2012

Darah raja Che Wong



KELIBAT Aki Gadong Raja Tek semakin jelas kelihatan selepas anak sungai separas lutut yang menghubungkan Kuala Gandah dengan Kampung Sungai Enggang berjaya direntasi.

Dengan sumpit buluh temiang yang kemas di pegangannya, lelaki berusia 56 tahun itu menunggu kedatangan kami dengan senyuman manis yang menampakkan seluruh isi gusinya.

Perjalanan melalui denai menuju ke rumah tradisi milik Gadong yang terletak dua kilometer dari Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah di Lanchang, Temerloh, Pahang ini dihiasi landskap hutan yang meredupkan.

Gadong lahir sebagai keturunan Che Wong, masyarakat minoriti Orang Asli dari puak Senoi yang masih ada di negara ini.

Hari ini, populasi masyarakat Che Wong dianggarkan hanya 300 orang.

Terdapat 30 keluarga yang tinggal di perkampungan Orang Asli Sungai Enggang manakala 10 keluarga lagi masih hidup secara primitif di dalam Hutan Simpan Krau, Pahang.

Mereka jarang bergaul dengan masyarakat umum dan lebih selesa hidup dalam lingkungan mereka sendiri.

Seperti kebanyakan Orang Asli Che Wong, Gadong menyara keluarganya dengan menanam ubi, mencari hasil hutan dan menangkap ikan di sungai.

"Kalau cuaca kurang baik seperti hari ini, kami tidak ke hutan.


KEBUN dan hutan sudah menjadi taman permainan orang Che Wong sejak kecil lagi.


"Kalau pergi pun, kami tidak pergi jauh. Kalau cuaca baik, mungkin kamu boleh makan jari buaya dan banyak lagi pucuk hutan di rumah saya nanti," ujar bapa kepada 11 anak ini.

Jangan salah sangka, jari buaya yang dimaksudkannya ialah sejenis pucuk hutan yang enak ditumis kering bersama bawang dan udang segar.

Rasanya yang lemak-lemak itu juga enak jika dicelur dan dinikmati bersama sambal belacan.

Racun getah ipoh

Sampai sahaja di rumah beratapkan daun cucuh itu, kelihatan isteri Gadong, Belau anak Patong, 50-an, sedang membancuh getah pokok ipoh di kawasan lapang halaman rumahnya.

Menurutnya, getah tersebut akan dimasak dan dicampurkan dengan ramuan-ramuan lain sebelum boleh dijadikan racun damak atau lebih dikenali sebagai tengloid dalam kalangan masyarakat Che Wong.

"Untuk hasilkan racun damak, getah pokok ipoh yang ada di tanah hulu perlu dicampurkan dengan getah pokok ipoh yang diambil dari Gunung Benom.

"Selepas dimasak, damak yang diraut dari batang pokok bertam sehingga lancip akan dicelupkan ke dalam acuan racun sebelum dijemur sehingga kering.

"Kesemua proses ini perlu dilakukan secara cermat dan tak boleh gopoh-gopoh.

"Baik haiwan mahupun manusia, sesiapa yang terkena damak beracun biasanya terpaksa bertarung dengan kematian," terang Gadong yang kemudiannya diterjemah oleh Penggerak Masyarakat Orang Asli Che Wong, Zaliah Ali.

Menurutnya lagi, ketika menyumpit, damak tersebut akan menembusi kulit mangsa.

Muncung damak yang beracun akan patah dan tertinggal di dalam tubuh.

"Racun akan memasuki aliran darah dan bergerak menuju ke jantung.

"Sebab itu, jika ada haiwan yang disumpit dengan damak beracun, ia akan jatuh dan menggelupur dalam tempoh tidak sampai lima minit," jelas Gadong.

Bercerita tentang keunikan senjata tradisi Che Wong ini, bisa racun hanya berkesan pada tempat yang terkena sumpitan sahaja.

"Jika kulit yang terkena sumpitan itu ditoreh dan dibuang, binatang tersebut masih boleh dimakan," katanya yang memberitahu orang yang terkena racun damak akan mengalami kejang otot, kancing gigi dan cirit-birit.


PAKAIAN tradisi Che Wong yang dihasilkan daripada kulit kayu ipoh dan kayu ara.


Namun, tambah Zaliah, sekiranya damak disasarkan kepada organ dalaman yang penting, mangsa berdepan risiko mati.

Zaliah merupakan anak Melayu berasal dari Jerantut yang telah 16 tahun mengajar di kampung tersebut.

Pada mulanya, kehadirannya sebagai Pembantu Majlis Agama Islam Pahang bertanggungjawab untuk mengajar Fardu Ain di situ.

Namun, selepas melihat kedaifan dan kemunduran penduduk di situ, wanita ini sanggup mempelajari bahasa Che Wong demi memudahkan dirinya berinteraksi dengan mereka.

"Lenggok pertuturan Che Wong juga berbeza jika dibandingkan dengan masyarakat Orang Asli lain malah ia dibuktikan mempunyai hubung kait dengan masyarakat di Myanmar, Thailand serta Indo-China.

"Mereka juga mendakwa mereka adalah waris kerabat diraja yang melarikan diri ke hutan ratusan tahun dahulu.

"Sebab itu, sehingga kini, waris pemimpin Che Wong memiliki daulat sehingga hari ini," ujar Zaliah yang digelar cikgu ustazah oleh masyarakat Che Wong.

Daulat

Kesempatan berbual dengan ketua masyarakat di situ, Tok Batin Bak Raja Tek, 68, yang sudi berkongsi cerita tentang sejarah awal salasilah Che Wong, sedikit sebanyak memberi gambaran tentang keluarga besarnya.

"Che Wong berasal dari Siam. Che ialah perempuan kebanyakan yang dicintai oleh Wong, pewaris takhta kerajaan Siam ratusan tahun dahulu.

"Bagaimanapun, hubungan dua darjat ini mengundang kemurkaan ayahanda dan bonda Wong.

"Dek kerana cinta yang mendalam terhadap Che, Wong sanggup meninggalkan istana dan lari bersama Che ke dalam hutan.

"Dari situlah salasilah Che Wong bermula," jelas Bak.

Bak yang sudah menjadi tok batin sejak berusia 18 tahun turut percaya, daulat atau tulah yang ada pada Wong diwarisi hingga ke hari ini.

Selain tulah, sistem politik masyarakat Orang Asli Che Wong juga lain daripada yang lain kerana Tok Batin adalah jawatan yang perlu diwarisi seperti sistem monarki.

Sementara itu, dalam satu buku bertajuk More On The Che Wong yang dikarang oleh sarjana Barat, C.S. Ogilvie, masyarakat minoriti yang bermata sepet ini disifatkan sebagai tidak jahil ataupun bendul, malahan cerdas dan bijak dengan pengetahuan yang meluas tentang tradisi hutan.

Ogilvie turut berpendapat, masyarakat Che Wong menimba pengetahuan daripada alam sekitar seperti pokok, bumi dan air. Malah, naluri haiwan juga sudah bersemadi dalam diri setiap Che Wong.

"Anak sulung atau waris lelaki paling tua kepada tok batin adalah pewaris utama dalam sistem politik Che Wong. Jika tiada waris lelaki, tempat itu akan diisi oleh saudara lelaki tok batin itu juga," terjemah Zaliah yang cukup fasih berbahasa Che Wong.


DAPUR terbuka milik satu keluarga Che Wong.


Bercerita lebih lanjut tentang undang-undang dalam masyarakat Che Wong, tiada cukai, sewaan ataupun jenayah boleh dilakukan dalam masyarakat mereka.

"Kami mempunyai peraturan sendiri tanpa kawalan penguat kuasa.

"Kami juga percaya wujudnya makhluk halus yang baik dan yang jahat," kata Bak yang juga berupaya mengubatkan anak buahnya jika menerima gangguan makhluk halus.

Menarik tentang upacara perubatan Che Wong, Bak memberitahu, jika seorang anak buahnya terkena gangguan, seluruh penduduk kampung perlu menjalani ritual perubatan.

Katanya, dalam upacara tersebut, kampung Orang Asli Che Wong akan ditutup kepada orang luar.

Setiap penjuru rumah akan dipacak dengan buluh yang dibakar sebagai simbolik untuk melenyapkan roh jahat daripada terus menganggu penduduk setempat.

Keadaan yang sama turut dilakukan ketika berlakunya kematian.

Di sebalik semua itu, ada perkara yang lebih penting untuk diberi perhatian iaitu kelangsungan kewujudan Orang Asli suku Che Wong di negara ini.

Menurut Zaliah, kadar kelahiran orang Che Wong terlalu rendah manakala kadar kematian bayi pula agak membimbangkan.

Kehidupan mereka juga sentiasa dibayangi kemiskinan dan kemunduran.

"Sungguhpun begitu, mereka selesa dengan keadaan itu, asalkan mereka ada tanah untuk bercucuk tanam," kata Zaliah.

1 comment:

  1. saya tertarik dengan tempat ini dan ingin buat pgrm kt tempat ni, boleh kongsi cara mcam mana nak contct supaya dapat ke kampung ni ..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: