SUASANA tenang dan hening walau sejuk dek pendingin hawa di Dewan Dewan Experimental, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, lokasi berlangsung Seminar Motivasi Spiritual dan Perawatan Islam pada Ahad lalu membolehkan peserta memberi tumpuan penuh kepada topik yang dibicarakan.
Para peserta hampir 50 orang begitu menumpukan perhatian terhadap perkongsian pengalaman dan ilmu yang disampaikan oleh seorang pakar yang tidak asing lagi dalam menangani 'jenayah' ilmu hitam, iaitu Datuk Engku Ansaruddin Agus yang lebih dikenali sebagai Pak Engku.
Sebelum Pak Engku menyampaikan ceramah, pakar motivasi terkenal Dr. Robiah Kulop berjaya menghidupkan suasana tanpa sebarang 'gangguan' dengan pelbagai celoteh membinanya ketika mengupas tajuk Kehancuran Rumah Tangga Kerana Ancaman Sihir.
Tetapi apabila tiba giliran Pak Engku yang ceria menyampaikan ceramah, tiba-tiba raut wajahnya berubah.
Wajah Pak Engku bertukar serius dan dengan pandangan mata yang tajam menuju kepada salah seorang peserta kursus yang duduk betul-betul bertentangan dengannya yang ketika itu berdiri menyampaikan ceramah di hadapan pentas dewan tersebut.
Suasana menjadi gempar apabila peserta tersebut, seorang wanita yang memakai tudung merah jambu mula 'mengamuk'.
Dia menjerit-jerit mengeluarkan perkataan-perkataan kasar sambil mengacu-acukan tangan dan melepaskan kemarahan yang meluap-luap terhadap Pak Engku.
Daripada seorang yang kelihatan begitu lemah-lembut, wanita itu bertukar ganas yang menyebabkan Pak Engku terpaksa membuat perhitungan.
Ceramah tergendala dek ada yang mula kerasukan jin.
Pak Engku menggunakan segala kepakaran yang ada bagi berhadapan dengan jin yang dipercayai telah lama berada dalam tubuh wanita yang berstatus ustazah itu.
Pak Engku langsung tidak memberi peluang kepada jin tersebut. Lalu memberi amaran supaya tidak menganggu 'anak Adam' sambil berjaya 'menangkap' jin tersebut apabila ditekan di bahagian leher dan kepala wanita itu.
Sambil menekan pada bahagian-bahagian tersebut makhluk halus tersebut mula melolong-lolong kesakitan.
Namun, bukan sahaja ustazah itu yang diganggu jin semasa seminar tersebut berlangsung, tidak lama kemudian sekali lagi Pak Engku terpaksa bertarung dengan jin yang menganggu seorang lagi peserta perempuan yang masih muda remaja.
Remaja tersebut tidak berhenti-henti mengalami batuk yang teruk dan kemudiannya tidak sedarkan diri.
Ini diikuti seorang lagi peserta wanita, Engku Wan Zakira juga dirasuk jin yang dipercayai buatan orang yang busuk hati terhadapnya.
Ini apabila terdengar antara lain yang keluar daripada wanita ini ketika dalam keadaan kerasukan: "Aku benci perempuan nih! Aku benci!!! Dia perempuan baik! Aku tak suka dia baca kitab hijau (al-Quran)! Aku tak suka anak aku jadi baik bila kahwin dengan perempuan ini!"
Mungkin 'adegan-adegan' seperti itu biasa dilihat atau pernah dialami oleh kita setiap kali berlakunya pertembungan makhluk halus dan manusia.
Begitupun bagi mereka yang tidak pernah melihat dan alami, tentu menganggap bahawa semua itu adalah lakonan dan sukar untuk diterima akal walaupun kita percaya mengenai kewujudan jin dan syaitan.
Tetapi dengan berkongsi kisah mereka yang pernah dan sedang mengalami gangguan jin dan syaitan mungkin banyak pengajaran yang boleh diambil iktibar.
Cuma kat org melayu aja..yg ada serangan2 sebgini...jin lah..hantu lah...histeria lah..
ReplyDelete