Monday, April 30, 2012

Polis keliru pembunuh tukul besi


BRYAN CLAY ditangkap pada Jumaat lalu berkaitan kes pembunuhan seorang ibu, Ignacia Martinez dan anak perempuannya yang berusia 10 tahun, Karla Martinez di Las Vegas.


LAS VEGAS - Dengan menggunakan tukul besi sebagai senjata, seorang lelaki yang tidak mempunyai sejarah melakukan jenayah menyerang sebuah keluarga di Las Vegas dan membunuh seorang wanita serta anak perempuannya.

Serangan kejam tanpa motif itu membuatkan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) tergamam dan keliru.

Susulan kejadian rogol dan kematian Ignacia Martinez, 38, serta anaknya, Karla Martinez yang berusia 10 tahun, polis menahan seorang pemuda Bryan Clay pada Jumaat lalu.

Clay, 22 dikatakan tiada hubungan langsung dengan keluarga mangsa.

"Ia merupakan kejadian orang asing membunuh seorang ibu dan anaknya, selain menyerang bapa mangsa," kata seorang pegawai polis, Leftenan Ray Steiber.

"Saya sudah bertugas selama 24 tahun. Anda tidak akan dapat melihat kes seperti ini. Saya tidak tahu apa lagi yang hendak dikata," tambah Steiber.

Steiber juga memberitahu dia tidak faham kenapa dua orang budak lelaki yang berusia sembilan dan empat tahun yang berada di tempat kejadian tidak diapa-apakan.

Kejadian ngeri itu hanya diketahui pihak berkuasa selepas budak lelaki berkenaan pergi ke sekolah dan memberitahu gurunya bahawa ibu dan kakaknya mati dibunuh di rumah mereka.

Pihak berkuasa menemui mayat mangsa di dalam dua bilik berasingan.

Dua orang budak lelaki itu berada di dalam rumah selama kira-kira 24 jam bersama bapa mereka yang cedera parah.

Kanak-kanak tersebut kini berada di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Keluarga Daerah. Arturo Martinez, 39, suami dan ayah mangsa mengalami kecederaan kritikal dalam serangan itu.

Dia kini berada di hospital akibat cedera di kepala dan tidak boleh bercakap dengan pegawai penyiasat.

Menurut Steiber, kedua-dua mangsa turut diserang secara seksual.

Tiada barang berharga diambil daripada lokasi kejadian dan polis setakat ini tidak tahu apakah motif serangan tersebut.

"Tidak ada sebab kenapa serangan ini berlaku. Suspek juga tiada sejarah jenayah yang signifikan," kata Steiber.

Clay juga dituduh memukul dan merogol seorang wanita berusia 50 tahun di kawasan kejiranan Las Vegas beberapa jam sebelum kejadian pembunuhan berlaku. Mangsa dikatakan berjalan berhampiran satu simpang sebelum Clay memaksanya pergi ke satu kawasan sunyi dan merogolnya pada 15 April lalu.

"Mangsa dikejar, dipukul dan dirogol," jelas Steiber.

Hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengaitkan Clay dengan kedua-dua serangan itu.

Satu topi yang ditinggalkan oleh Clay juga menjadi bahan bukti penting.

Seramai 60 orang anggota polis terlibat dalam siasatan kes itu.

"Matlamat kami adalah untuk memastikan suspek ditahan. Kami tidak akan berhenti sehingga berjaya," tegas Steiber.

Clay ditahan tanpa ikat jamin pada kelmarin dan sedang menunggu perbicaraan.

Dia bakal berdepan dengan pelbagai tuduhan seperti membunuh, memukul menggunakan senjata berbahaya dan melakukan serangan seksual.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: