|
APABILA membicarakan tentang sebuah lokasi yang dikenali sebagai Chow Kit, sudah terbayang dalam minda segelintir masyarakat tentang kegiatan seperti pelacuran, kongsi gelap dan dadah.
Itulah sekelumit kisah yang cuba dipaparkan menerusi filem berjudul Chow Kit dengan menyingkap dua kisah yang berbeza dengan berlatar belakang realiti kehidupan yang dilalui segelintir masyarakat di kawasan tersebut.
Bakal ditayangkan pada 3 Mei ini di pawagam seluruh Malaysia, filem terbitan Lightbulb Pictures itu turut menampilkan beberapa pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Namron, Dira Abu Zahar, Yasmin Hani dan Lana Nodin.
Salah seorang pelakon filem Chow Kit, Beto Kusyairy yang hadir pada sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini berkata, penampilannya dalam filem tersebut agak berbeza dengan watak-watak yang pernah dibawakannya sebelum ini.
“Dalam filem ini saya membawakan watak sebagai Mojo, seorang lelaki yang dibebaskan daripada hukuman penjara dan berazam untuk memulakan kehidupan baharu bersama ibunya yang tinggal di Chow Kit.
“Bagaimanapun, Mojo masih terus melakukan kerja-kerja kotor seperti meragut dan menjadi orang tengah untuk mengedar dadah yang kemudiannya berada dalam keadaan dilema apabila tersepit antara dua kumpulan kongsi gelap semasa melakukan satu tugasan bersama rakan baiknya,” ujarnya.
Kisah pertama dalam filem tersebut adalah mengenai sekumpulan remaja terbiar yang mengharungi kehidupan hitam di sebuah lorong Chow Kit. Apabila salah seorang rakan ahli kumpulan tersebut dirogol, mereka bersatu mencari keadilan untuk menuntut bela atas kejadian tersebut.
Sementara itu, kisah kedua pula berdasarkan tentang seorang ahli bekas kumpulan kongsi gelap di Chow Kit yang dibebaskan daripada hukuman penjara berada dalam keadaan dilema apabila terperangkap dalam situasi genting ketika melakukan satu tugasan terakhir.
Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai watak yang dibawakannya itu, Beto atau nama sebenarnya Nurkusyairy Zakuan memberitahu, salah satu sebab dia menerima tawaran untuk berlakon dalam filem berkenaan kerana tertarik dengan karakter Mojo.
Jelasnya, meskipun watak Mojo digambarkan sebagai seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja jahat bersama rakan baiknya, tetapi apa yang dilakukan semata-mata mahu memberikan kehidupan yang lebih sempurna buat ibunya.
|
|
“Pembabitan saya untuk filem ini lebih kepada kisah kedua yang menjurus kepada paparan mengenai permasalahan yang berlaku apabila kongsi gelap dan gengsterisme yang berlaku di Chow Kit.
“Di sebalik kegiatan negatif yang dilakukan, Mojo sebenarnya seorang lelaki yang sangat sayangkan ibunya setelah dia ditinggalkan oleh bapanya sejak kecil. Sejujurnya, saya cukup kagum dengan Mojo yang sanggup melakukan apa sahaja demi ibunya,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia risau sekiranya filem Chow Kit boleh menimbulkan kontroversi kerana memaparkan kisah hitam di kawasan yang paling menjadi tumpuan di ibu kota, pelakon berkenaan menyatakan banyak pengajaran yang boleh diperolehi menerusi filem tersebut.
“Saya rasa tidak akan timbul sebarang isu atau kontroversi dan saya percaya penonton sekarang sudah semakin bijak untuk menilai. Tidak dinafikan banyak juga pengajaran yang boleh didapati menerusi filem ini.
“Di sebalik tanggapan serong masyarakat terhadap Chow Kit, sebenarnya tempat tersebut cukup unik kerana di situlah dapat dilihat pelbagai kaum bekerjasama antara satu sama lain terutamanya menerusi kegiatan perniagaan yang dijalankan di situ,” tutur pelakon berusia 32 tahun itu.
Namun begitu, Beto tetap berpandangan bahawa pihak berwajib sudah sewajarnya melakukan sesuatu supaya Chow Kit tidak terus dipandang sebagai sebuah kawasan hitam oleh masyarakat. Malah kata Beto, Chow Kit merupakan salah sebuah tempat yang paling menarik di Kuala Lumpur.
Gosip hubungan dengan Amani
Semenjak terbabit secara serius dalam bidang lakonan sejak tahun 2003, ternyata Beto yang sudah berumah tangga sangat jarang dikaitkan dengan cerita kontroversi yang membabitkan dirinya.
Apatah lagi kariernya sebagai pelakon telah diuruskan sendiri oleh isterinya iaitu Tisha Shahar dan menyatakan sangat selesa apabila mempunyai seorang isteri yang mampu menguruskan kerjayanya.
Bagaimanapun, baru-baru ini timbul dakwaan yang mengatakan bahawa pelakon berkenaan telah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pelakon wanita yang cukup popular iaitu Sharifah Amani.
Sewaktu ditanya mengenai dakwaan tersebut, ternyata pelakon yang ketika ini sedang sibuk menjalani penggambaran filem berjudul Bravo 5 itu meluahkan rasa terkejutnya terhadap dakwaan tersebut.
“Sebenarnya saya sangat terkejut kerana belum pernah lagi mendengar tentang perkara tersebut. Lagipun agak mustahil untuk saya menjalinkan hubungan dengan mana-mana wanita kerana isteri sentiasa berada bersama memandangkan dia juga merangkap pengurus saya.
"Jadi, saya anggap dakwaan ini sebagai mengarut dan tidak masuk akal langsung. Kalau boleh saya tidak mahu mengulas mengenainya dan mengenai hubungan saya dengan Amani pula tidak lebih sekadar seorang abang dan adik.
Menurut Beto, dakwaan mengenai hubungan istimewanya dengan Amani boleh timbul apabila mereka berdua dilihat selalu digandingkan dengan pelakon tersebut menerusi drama dan telefilem.
"Memang kami selalu berlakon bersama seperti drama Cita & Cinta, Kashaf Imani dan Sesungguhnya. Malah, saya tidak nafikan kami berdua merupakan pelakon yang serasi apabila digandingkan bersama-sama.”
Selesa penampilan seksi
Sementara bagi pelakon Mazlina Hasan Nodin, 33, atau Lana Nodin, melakonkan watak sebagai seorang pelacur bernama Siah dirasakan paling mencabar sepanjang kariernya sebagai pelakon.
|
|
Namun, dia bersetuju melakonkan watak tersebut kerana tertarik dengan jalan cerita yang dihasilkan oleh penulis skrip, Shaharizal Hamzah dan Eenaz Mokhtar.
Jelasnya lagi, jika sebelum ini dia sudah sering melakonkan watak antagonis dan penggoda dalam drama dan telefilem, menerusi filem tersebut dia berpeluang untuk mencuba membawakan watak yang berlainan.
“Pembabitan saya dalam filem ini menerusi kisah yang pertama dan tiada kaitan dengan kisah yang kedua. Walaupun Siah merupakan seorang pelacur, namun naluri keibuannya sangat kuat dan dia tidak mahu anaknya, Tika mengalami nasib yang sama sepertinya.
“Setahu saya, apa yang dipaparkan dalam filem ini adalah berdasarkan kisah benar yang pernah berlaku. Saya akui ketika membaca skrip yang diberikan, tiba-tiba saya menjadi sebak dan perasaan saya cukup tersentuh terutamanya babak anak Siah telah dirogol oleh pelanggannya sendiri,” katanya.
Menceritakan pengalamannya sepanjang penggambaran filem tersebut sekitar awal tahun lalu, Lana memberitahu, dia dapat melihat sendiri situasi sebenar yang dilalui oleh penduduk di tempat tersebut.
“Jika mempunyai pilihan, saya percaya tidak ada wanita di dunia ini yang mahu menjadi seorang pelacur. Jadi saya berharap golongan sebegini tidak terus dipandang hina kerana ada dalam kalangan mereka yang sebenarnya tertindas dan menjadi mangsa keadaan,” ungkapnya.
Sepanjang bergelar pelakon, nama Lana Nodin sememangnya sering menjadi sebutan ramai terutamanya penampilannya yang kelihat seksi pada pandangan mata sesetengah orang sehingga pernah digelar Pamela Anderson Malaysia.
Ujar Lana, dia menegaskan bahawa dia sama sekali tidak mengubah penampilannya itu kerana berasa selesa dan menganggap seksi adalah sesuatu perkara yang subjektif dan terpulang kepada penilaian masing-masing.
"Cara pemakaian adalah hak peribadi saya dan biasanya saya akan berpakaian mengikut keselesaan diri. Adakalanya, apabila saya tampil dengan memakai baju-T pun orang akan cakap saya seksi.
“Saya tidak mahu terlalu cepat melatah dengan isu-isu sebegini. Orang ramai berhak untuk menilai dan berkata apa sahaja, tetapi yang penting saya tidak menjejaskan nama baik keluarga dengan melakukan perkara-perkara terkutuk,” tegasnya.
Jelasnya, dia lebih gemar sekiranya peminat memberi penilaian terhadap mutu dan gaya lakonan berbanding penampilannya. Malah, dia menegaskan akan terus kekal dengan imej dan penampilannya sekarang ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: